Suku Tahun Pertama setiap tahun merupakan tempoh sensitif dan kritikal dalam kerjaya aku dibidang Sumber Manusia. Inilah waktunya organisasi akan mengumumkan prestasi kewangan tahunan melalui perjumpaan pihak Pengurusan Bersama Kakitangan (Management-Employee Meeting).
Rekod kewangan untuk tahun 2008 merupakan prestasi terbaik sepanjang sejarah penubuhan organisasi yang kini telah menjangkau 21 tahun. Umur remaja yang kekal agresif untuk bersaing diarena perniagaan telekomunikasi Malaysia. Segar sahaja wajah kakitangan apabila GCEO mengumumkan bahawa bayaran bonus akan dibuat sebelum memasuki bulan Mac 2009. Disudut fikiran aku, bermulalah detik-detik hangat yang pastinya akan mengulangi sejarah lama. Masihku terasa.
Menangani isu semangat (morale) dan motivasi kakitangan berkaitan dengan bonus, insentif, merit, kenaikan gaji tahunan, kenaikan pangkat dan sebagainya bukanlah sesuatu yang baru kepada aku. Pihak Sumber Manusia pastinya akan menjadi perhatian dan sasaran utama kakitangan untuk merujuk terhadap apa jua kemusykilan dan permasalahan. Waktu yang memerlukan aku memakai baju kalis untuk menangkis peluru mulut yang menyakitkan.
Selama lebih 10 tahun aku bergelumang dalam bidang Sumber Manusia, aku sudah masak dengan pelbagai karenah kakitangan. Tidak kira umur, pangkat dan latar belakang pendidikan, apabila bercakap soal wang (RM) rungutannya tetap sama. Bagi yang mendapat betis merasakan sepatutnya mendapat paha. Bagi yang memperolehi tulang pula merasakan diri mereka dikhianati.
Setiap tahun pasti akan timbul kes-kes baru apabila surat bayaran bonus dan insentif dikeluarkan. Tahun 2006 merupakan senario terhebat dalam sejarah aku menangani isu bayaran bonus. Pada tahun berkenaan, jumlah kakitangan yang tidak layak mendapat bonus amat ramai. Kebanyakannya daripada kakitangan Perkhidmatan Pelanggan, Operasi Rangkaian Teknikal dan Jualan serta Pemasaran. Kerusi tamu aku hangat membara dengan punggung kakitangan yang menanti giliran untuk melepaskan geram dan perasaan. Ada yang menangis dan tidak kurang juga merayu agar aku membantu mereka. Bagi kakitangan yang kurang sabar, meja akan dihentak dengan nada suara yang menggegarkan dunia. Ada juga yang sanggup mengejar aku di lif bangunan sejurus perasan aku keluar untuk menghadiri mesyuarat. Suasana panik yang amat melemaskan.
Tahun 2009 tidaklah sehebat tahun 2006. Kebanyakan kakitangan yang tidak mendapat bonus merupakan kakitangan yang mempunyai rekod prestasi yang kurang sihat semada melalui rekod rasmi Sumber Manusia atau melalui pemerhatian pihak pengurusan. Sebagai kakitangan Sumber Manusia, aku akan tetap mendengar rintihan mereka. Ada juga kakitangan yang menjadi mangsa keadaan yang cukup rumit untuk aku jelaskan kepada mereka.
Disudut pemikiran reflektif aku, tempoh kritikal ini sebenarnya amat bermakna bagi aku sebagai kakitangan Sumber Manusia. Secara positifnya, kehadiran kakitangan untuk merujuk kepada aku membuktikan bahawa aku masih lagi "valid" dalam organisasi untuk mendengar rungutan dan rintihan mereka. Dalam banyak keadaan aku hanya mampu menunjukkan simpati. Membiarkan mereka bercakap sehingga mereka sendiri meletakkan tanda noktah.
"En. Zamer tak tau macamana kami rasa. Encik Zamer pernah ke tak dapat bonus? En. Zamer cakap senanglah. Isteri dan anak-anak saya berharap sangat bonus ini."
Dialog kakitangan diatas amat memilukan. Memang benar aku sukar menunjukkan empati kerana aku tidak pernah mengalaminya sepanjang kerjaya aku.
Aku akan terus menjadi pendengar yang hebat. Sekiranya ada ruang, aku akan menyampuk bagi memberikan nasihat semasa mereka leka bermain emosi. Aku lebih menekankan teknik kaunseling dalam menangani isu semangat dan motivasi. Ada kakitangan yang mahu menerima nasihat tetapi ada juga yang terus berapi mengeluarkan hujah-hujah hebat.
Seorang kakitangan Jualan dan Pemasaran pernah berkata kepada aku bahawa bidang kerjaya yang paling mencabar sebenarnya adalah Sumber Manusia. Kenapa? Kerana masalah orang adalah masalah aku, masalah aku adalah masalah aku. Bukankah unik dan hebat. Entahlah. Bagi aku, menangani masalah kakitangan adalah sebahagian daripada tanggungjawab aku. Tidak timbul soal beban kerana elemen simpati dan empati telahpun aku fahami sedalam-dalamnya.
Coretan "Intipati" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment