"...Seperti yang aku pasti sejak daripada awal, sememangnya kejayaan demi kejayaan adalah hak milik aku sepanjang tahun. Aku tidak leka dan tidak menoleh kebelakang lagi. Tahun 1981 adalah kejayaan mutlak aku. Siti Fatimah hanya berjaya memperolehi dua (2) kejayaan yang tidak membanggakan. Sekadar No. 1 Ujian bulan Februari dan Tempat Kedua untuk Keputusan Keseluruhan Tahun 1981. Siti Fatimah hanya sekadar mengekori aku dengan rapat tanpa berjaya "mencantas" aku. Aku berjaya mengekalkan prestasi No. 1 dalam kelas untuk semua Ujian Bulanan (bermula bulan Mac), Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun. Begitu konsisten."
Catatan di atas adalah sebahagian daripada skrip babak siri "Akulah No. 1...Back To The Future I" bertarikh 22 Februari 2008. Kini, setelah hampir setahun dan lebih istimewa lagi setelah 28 tahun berlalu, aku telah dijejaki melalui laman "search" oleh Siti Fatimah pada 30 Januari 2009. Teknologi Maklumat yang telah memudahkan dunia pencarian.
"Salam, Mungkin nama saya secara kebetulan juga Siti Fatimah...mungkin secara kebetulan juga...pernah bersekolah di Sekolah Rendah Salak South Garden pada 1981 dalam darjah 5. Robin juga pernah jadi kawan saya begitu juga Hartini Othman, Hezlin Jamil, Kamisah Wahab dan ramai lagi. Cikgu Rohana juga pernah menjadi guru saya....cuma..hari ini saya terfikir...ketika itu...adakah lagi murid yang namanya seperti saya" - AngahMadeena
"ZoRrO: AngahMadeena, sy baca komen sdr dlm coretan sy bertajuk "Akulah No.1...Back To The Future I". Ya, x salah lg..sdr adalah rakan sekelas sy 28 thn dulu...sila hub sy melalui email..."
Siti Fatimah telah menambah koleksi aku untuk siri Edisi Khas "Mencari Orang Hilang". Siti Fatimah telah memecahkan rekod Wan Kamazira (1984-24 tahun), Kak Siti Nor dan Amri (1986-22 tahun) serta Samari dan Intan (1987-21 tahun). Cuma, aku masih lagi terkilan kerana sehingga kini gagal mengesan rakan baik aku yang bernama Hasmansah Hashim yang kali terakhir aku berjumpa sekitar tahun 1985. Anak seorang Pegawai Waran Tentera Darat, Kem Sungai Besi yang berhijrah ke Muar, Johor. Masih lagi hilang.
Aku benar-benar Back To The Future apabila kali pertama berbual ditelefon dengan Siti Fatimah. Dua identiti dan personaliti yang berbeza. Keliru untuk menganggap samada diri ini berumur 11 tahun atau 39 tahun. Kami bukanlah rapat sangat semasa Darjah 5 kerana Siti Fatimah tidak gemar bercampur dengan rakan-rakan lelaki. Lagipun, waktu itu naluri aku lebih tertarik untuk mendekati Hartini yang sebenarnya tiada sejarah hebat untuk aku kenangi berbanding Siti Fatimah.
Jarak waktu 28 tahun bukanlah penghalang untuk kami berbual seolah-olah rakan rapat. Siti Fatimah tidak gemar bercakap (katanya) tetapi nada suaranya kedengaran seperti agak peramah. Mungkin masing-masing teruja dan terasa amat unik dengan senario yang berlaku.
Sesekali aku terlupa dengan umur aku. Tak sedar dirilah pulak. Berbicara dan berbual nakal seolah-olah kanak-kanak 11 tahun bermain pondok-pondok. Benar-benar "Back To The Future". Apatah lagi Siti Fatimah menyambut perbualan dengan lagak spontan dan bersahaja. Cukup selesa.
Kadangkala aku tertanya-tanya bagaimana ingin menjelaskan nilai kejujuran dalam persahabatan. Memang aku tidak mampu menerangkannya kerana nilai ini hanya boleh dirasai oleh hati. Terlalu subjektif untuk ditulis dengan minda dalam bentuk objektif. Hanya Wan Kamazira, Kak Siti Nor, Amri, Samari, Intan dan kini Siti Fatimah yang memahami dengan makna sebenar-benarnya dan merasai dengan dasar jiwa yang sedalam-dalamnya.
Selamat Datang Siti Fatimah ke dunia reflektif dan halimunanku...dunia persahabatan tanpa sempadan.
Back To The Future...
Coretan "Jejak Sahabat" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment