Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, February 7, 2009

Edisi Khas 3 : Politik Perak Bersadur Karat

IPOH 6 Feb. - Tindakan pakatan pembangkang mahu menyaman Sultan Perak di mahkamah merupakan satu perbuatan menghina raja yang tidak wajar sama sekali dilakukan oleh sesiapa yang menyanjung tinggi Raja Berperlembagaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak menegaskan, perbuatan itu jelas mempersoalkan maruah dan imej Sultan Azlan Shah sebagai raja pemerintah yang mempunyai hak membuat tafsiran dari segi perlembagaan berhubung kedudukan seseorang Menteri Besar.

Ingatkan sudah tamat babak Pasca Pilihanraya Umum Ke-12. Harapkan panas hingga ke petang, rupanya hujan di tengahari. Itulah senario semasa politik di negeri Perak yang kini kembali kepada kepimpinan Barisan Nasional (BN) setelah Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak, Jamaluddin Mohd. Radzi, Mohd. Osman Jailu, Hee Yit Fong dan Nasharuddin Hashim tiba-tiba "terpukau dan hilang akal" lalu keluar daripada Pakatan Rakyat. Tindakan "kurang waras" yang membolehkan Parti BN memperolehi kelebihan "cuci dan goyang kaki". Pakatan Rakyat yang kini hanya menelan air liur dan kempunan untuk memerintah lebih lama. Gagal untuk meneruskan sejarah "Dinasti Pembangkang" seumpama negeri Kelantan. Tidakpun sampai setahun, badai telah menimpa. Harapkan pagar, pagar makan padi. Kerusi empuk dan sofa pemerintah yang masih belum sempat hangat dan "diconteng".

Aku tidak mahu berfikir secara reaktif terhadap isu ini. Ianya sudah pasti menjadi medan perang kenyataan antara media pemerintah dan media pembangkang dalam tempoh seminggu-dua ini. Buat sakit kepala sahaja memikirkan siapa benar dan siapa salah. Siapa bersih dan siapa kotor. Siapa yang menikam dan siapa yang tertikam. Sentimen dan teori politik Malaysia yang tidak bernoktah sejak zaman pemerintahan Parameswara dan Kesultanan Melaka lagi. Cuba baca sejarah. Hasad-dengki, tamak-haloba dan dendam-kesumat yang telah menjadi darah daging sebahagian orang-orang politik. Cukup meloyakan.

Pemikiran reflektif aku hanya ingin menilai bahawa inilah senario politik Malaysia yang tidak pernah matang dan tidak pernah cerdik (bodoh). Tidak kira parti Pemerintah (BN) atau parti Pembangkang, acuan dan rupa bentuknya tetap sama cuma berlainan jenama. Masing-masing ada kepentingan tersendiri. Aku tidak mahu mengulas samada kepentingan peribadi atau kepentingan parti atau kepentingan negara atau kepentingan agama. Orang-orang politik memang sudah terkenal cukup bijak bermain kata dan bahasa. Satu perkataan mampu diterjemahkan dalam pelbagai sudut dan definasi. Itulah orang politik. Kenal sangat.

Aku cuba patah kebelakang untuk mengimbas kembali detik-detik keramat sebelum Pilihanraya Umum (PRU 12) pada tahun lepas. Aku melihat empat ADUN Pembangkang yang kini telah melompat parti kelihatan cukup berapi apabila berkempen bermati-matian atas tiket Pembangkang. Kala itu parti BN umpama seteru yang harus "dibunuh" atas semangat kepartian. Rela berjuang atas "prinsip peribadi". Rela berkorban demi menegakkan KeADILan. Kini, dimanakah prinsip peribadi yang dibangga-banggakan dan dilaung-laungkan hampir setahun yang lalu. Umpama bara api yang disiram air longkang. Pantas terpadam membebaskan asap busuk yang menerokai ruang. Lama-kelamaan hilang diruang udara kosong atau dicekup tangan-tangan ajaib yang tiba-tiba muncul.

Parti BN pula, atas nama kepentingan negara rela membuka tangan dan melapangkan dada menerima empat ADUN yang kini berubah prinsip perjuangan. "Mereka telah insaf dan kami sanggup menerima sesiapa sahaja yang ingin pulang kepangkal jalan". Walaupun disudut pemikiran yang lain mereka ini bukanlah ahli-ahli politik yang patut diberi muka setelah mereka adalah antara seteru yang telah mencalitkan debu kotor dan arang hitam dalam sejarah politik negeri Perak dan negara Malaysia. Memalukan BN diseluruh pelusuk dunia. Semua sentimen ini mampu dilupa dan diabaikan atas nama apa? Atas nama PERJUANGAN dan PERPADUAN. Ya ke?

Senario politik terkini benar-benar memahatkan kefahaman reflektif aku bahawa orang-orang politik ini umpama badut yang bijak bermain wajah. Ini bukan kenyataan hasutan dan keterlaluan. Lihat sahaja era pemerintahan M-G (Mahathir-Ghafar), M-A (Mahathir-Anwar), M-A (Mahathir-Abdullah) dan kini A-N (Abdullah-Najib). Apa yang berlaku sepanjang pemerintahan mereka? Dahulu Kawan kini Lawan. Dahulu Lawan kini Kawan. Dahulu Permata kini Kaca. Adakah kita tidak pernah belajar daripada sejarah. Orang-orang politik ini lupa bahawa rakyat kini semakin bijak membaca dan menilai telatah sandiwara mereka. Mereka masih leka meneruskan skrip drama yang telah lapuk. Tidak kira parti Pemerintah atau parti Pembangkang, dua-dua umpama badut yang terus mabuk bermain wayang kulit.

Hari ini, skrip mereka kian berkembang dengan pembabitan institusi Raja Berperlembagaan pula. Inilah namanya sudah sakit, meroyan pula. Sudah gila, sakan pula. Sudah-sudahlah tu wahai orang-orang politik. Cuba-cubalah belajar merungkaikan belitan kuasa yang sudah terbelit diminda. Rakyat serius memerhati. Bukan sekadar memerhati tetapi bingung dengan telatah pelakon-pelakon hebat yang tidak reti untuk belajar perkataan TAMAT.

Coretan "Berkarat" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: