Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, July 18, 2009

Edisi Khas 15: Kosmetik Isu Negara


Berdasarkan penilaian cetek saya, didapati isu-isu dinegara kita seolah-olah hanya hebat diperdebatkan di media massa dan elektronik dengan pelbagai jenama.

Kita memang juara dalam mengupas dan menangani isu yang berorientasikan "sudah terantuk baru nak terngadah". Lihat dan nilai sahaja arkib berita tentang isu alam sekitar, kepenggunaan, kes ragut, jenayah pelajar sekolah, bohsia, mat rempit@samseng jalanan, Along, pendatang tanpa izin dan sebagainya. Dari dulu sehingga sekarang kita masih leka dan sibuk membicarakan perkara asas iaitu penguatkuasaan. Hari ini hangat, esok sejuk dan tahun depan melatah kembali. Letih.

Mengapakah budaya menangani isu ini terus menjadi tradisi di negara kita? Adakah landasan dan arus media tidak cukup kuat untuk mengetuk minda golongan bijak-pandai di Kementerian dan organisasi penguatkuasaan undang-undang?

Adakah mereka hanya berkhidmat sekadar "melepaskan batok ditangga". Menggubal dasar dan melaksanakan pelan tindakan yang "dangkal" yang membuat rakyat terus meluat seperti isu tol. Rebet promosi "diluar waktu puncak (12am-7am)" dan bilangan 80 transaksi tol sebulan ternyata mengaburi mata rakyat yang secara amnya tidak akan menjangkau majoriti pengguna. Sekadar jernih dipermukaan tetapi keruh didasar.

Komen realistik dan praktikal rakyat pasca pelaksanaan sepatutnya dikaji secara "proaktif" bukan reaktif oleh pemimpin dan pihak-pihak yang diamanahkan tanggungjawab.

Saya ingin mempercayai bahawa isu-isu di negara kita akan terus diperdebatkan seumpama kosmetik yang kian tebal. Berubah rupa tetapi muka tetap sama.

Catatan "Kulit Tebal" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: