Saya terasa begitu sesak nafas dengan isu-isu baru dan lapuk yang terus berlegar dimedan perdebatan tanpa titik noktah.
Madu telah diberikan oleh YAB PM dengan 11 hadiah sempena 100 hari pemerintahan. Difikiran saya, ini satu "budaya tidak sihat" kerajaan seolah-olah menunggu tempoh 100 hari berpantang macam orang bersalin pula.
Tidak perlu menarik perhatian rakyat dengan cara politik begini kerana ianya hanya akan meninggalkan persepsi dan perspektif negatif kepada rakyat. Pasti selepas ini akan ada ura-ura apakah hadiah selepas 200 hari, 500 hari atau 1001 hari?
"Hadiah" yang saya anggap madu minggu lepas telahpun hilang kemanisannya kerana kini kita diberikan pula racun dengan berita kenaikan kadar tambang pengangkutan awam dan potensi besar kenaikan tarif letrik yang memberi kesan langsung kepada rakyat. Apakah 11 lagi racun yang akan diberikan selepas ini?
Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar lebih berhati-hati dalam menghebahkan sesuatu perkara kepada rakyat. Kaji dan cipta mekanisma atau kaedah pelaksanaan yang lebih teratur, khusus dan sistematik dahulu sebelum diumumkan dalam media untuk mengelakkan situasi panik rakyat. Ini tidak, apabila rakyat memberikan komen realistik, baru kerajaan hendak mengkaji. Suka melatah apabila dicucuk.
Persoalan yang bermain diminda saya, adakah kerajaan kita benar-benar ingin menterjemahkan slogan "Satu Malaysia, Rakyat DIDAHULUKAN, Pencapaian Diutamakan"? Saya hanya rakyat biasa yang berfikir secara biasa. Apa yang berlaku pasti mempengaruhi satu undi saya dalam PRU-13 kelak.
Catatan "Wayang Kulit" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment