Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, December 26, 2009

Pra Kembali Ke Sekolah 2010

26 Disember 2009

Kos membeli buku sekolah Abang (Zuhairi Razi) RM150.80, buku sekolah Adik (Nur Amira) RM85.60, pakaian, kasut dan peralatan sekolah hampir mencecah RM300. Apabila bermula sesi persekolahan, menanti pula yuran pendaftaran "itu dan ini" berjumlah RM XXX. Bak kata nenek aku, segala macam "duit nenek moyang" kena dibayar.

Kos pembelajaran dan pendidikan formal yang tidak boleh dielakkan. Mampu mencecah ribuan ringgit setiap kali sesi baru persekolahan bermula. Itu baru dua orang anak.

Tentu membebankan bagi keluarga yang mempunyai ramai anak-anak yang bersekolah. Harga buku dan peralatan sekolah tetap sama. Mana ada buku dan peralatan sekolah yang bergred B, C, D atau E. Semuanya gred A yang baru dan berbau wangi.

Ditambah pula sekarang, kita disuapkan dengan pelbagai rekabentuk kelengkapan sekolah. Pensil tekan, pelekat berwarna, pen bersinar, pemadam berjenama, plastik buku mudah pasang dan sebagainya. Mahu kita mengaru kepala dan rambang biji mata melihatnya. Rasa ingin pula aku kembali ke sekolah dengan kelengkapan yang amat mengujakan.


Rakaman "Serba Baru" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, December 13, 2009

Santai Kehidupan 8: Geng Strike Rangers

13 Disember 2009, 2:30-5:30pm, Ampang Superbowl, Ampang Point

Inilah Kumpulan Jabatan Sumber Manusia (HR) yang digelar "Geng Strike Rangers" yang "mempertaruhkan" kemahiran "janji golek" sempena "RCS Bowling Tournament 2009".



Rakaman "HR Rangers" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, December 12, 2009

Sambutan Hari Lahir Ke-39

11 Disember 2009, 6:30 pm
Selesai bertugas di pejabat, aku bergegas menuju The Mall, Jalan Putra, Kuala Lumpur. Cukup lemas mengharungi kesesakan jalanraya yang bermula dari Jalan Ampang lagi. Keluargaku telahpun menanti untuk menjamu selera.

Seperti biasa Amira mengulangi sekali lagi hadiah pemberian berbentuk jam. Gemar sangat dengan jam, manakala Zuhairi menghadiahkan tali leher pula kali ini.



Rakaman "39" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, December 5, 2009

Edisi Khas 22: Slogan 1Malaysia dan 1001 Kisah


Apa yang kita faham tentang falsafah, prinsip dan konsep "1Malaysia" yang diwar-warkan oleh kerajaan? Perkara barukah ia atau perkara yang hanya sekadar "diperbaharui".

Beberapa peristiwa dan pengalaman hidup tiba-tiba memetik suis fikiran aku untuk mengomel perkara ini. Berikut adalah sebahagian senario yang membuat aku termenung sejenak:

Semasa aku menghadiri Latihan Pengurusan dan Kepimpinan baru-baru ini, penceramah yang telahpun memanjat usia hampir 6o tahun memaklumkan bahawa dahulu bapanya yang berbangsa Cina tidak pernah bimbang sekiranya beliau merayap disekitar kampung. Ini adalah kerana bapanya pasti bahawa jiran tetangganya yang bernama Pak Mat, Pak Dollah dan Pakcik Gopal sentiasa mengambil berat dan mengambil kisah perihal anak-anak jiran tetangga.

Seketika semasa membaca ruang borak dalam Facebook, aku tertarik dengan pengalaman seorang rakan yang telah menyentuh naluri keibuannya apabila anaknya diberikan plastik pelindung oleh seorang budak berbangsa India ketika berteduh daripada hujan lebat disebuah gerai India.

Bagi aku, selain daripada peristiwa di atas, prinsip, falsafah dan konsep 1Malaysia harus menjangkau lebih jauh. Aku tertanya-tanya adakah ianya sekadar slogan politik bermusim?

Aku bingung kerana sehingga kini masih lagi kedengaran isu-isu "perkauman" yang tidak dinafikan masih lagi wujud yang menjadi virus kepada falsafah 1Malaysia seperti senario di bawah:

Pengambilan pekerja disesetengah organisasi yang jelas melambangkan sentimen perkauman seperti "mesti FASIH berbahasa Mandarin" sebagai syarat asas untuk ditawarkan pekerjaan. Jika organisasi yang berkepentingan Melayu mengeluarkan kenyataan "mesti FASIH berbahasa Melayu", agak-agak apakah implikasinya? Pasti, didada akhbar akan terpapar kenyataan Melayu mengamalkan perkauman. Adakah ini Falsafah 1Malaysia yang ingin kita perjuangkan?

Terdapat peristiwa panel penemuduga menolak mentah-mentah calon-calon yang memakai "tudung" dengan dialog yang memalukan kerana beranggapan calon-calon yang bertudung tidak sesuai dengan nilai budaya organisasi. Adakah ini Falsafah 1Malaysia yang ingin kita pegang?

Pengambilan kakitangan yang tidak melambangkan keseimbangan bangsa di Malaysia. Jawatan tertentu terutama "Pengurusan" hanya akan dikhaskan kepada bangsa tertentu? Organisasi dan perniagaan jenis apakah yang mengamalkan diskriminasi seumpama ini? Adakah ini Falsafah 1Malaysia yang ingin kita agungkan?

Penilaian prestasi kerja dan hubungan kakitangan yang berasaskan bangsa. Bangsa lain akan ditekan dan dimomokkan. Apakah ini Falsafah 1Malaysia yang ingin kita junjung?

Pasti banyak lagi peristiwa dan 1001 kisah benar yang dianggap kecil tetapi berlawanan dengan Falsafah 1Malaysia. Ini bukan kisah dongeng. Sebahagiannya adalah pengalaman aku sendiri dan rakan-rakan. Inilah yang harus kerajaan kita lihat dengan segera dalam sudut penterjemahan 1Malaysia. Usah berbuih mulut mencanangkan kita berbangga dengan pengisian 1Malaysia jika realitinya HAMPAS kerana dijangkiti virus senyap.

Coretan "Sawo Matang" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, November 29, 2009

Kod Kehidupan: Sukarnya Memimpin Emosi


Tempoh bercuti dan bersantai sempena menyambut Hari Raya Aidiladha seolah-olah cacat dengan peristiwa malang sehari yang tidak dijangka. Ledakan emosi daripada seorang yang bernama Ketua atau mungkin "Pemimpin" benar-benar menggugat ketenteraman jiwa aku.

Barulah aku memahami bahawa bukan senang untuk mengawal emosi kerana aku juga pernah melepaskan emosi keterlaluan kepada kakitangan. Ledakan perasaan melalui kata-kata kesat dan tajam sebenarnya mengkelabukan hati dan menumpulkan minda. Apabila selesai memarahi kakitangan, terfikir jua mengapakah begitu dangkalnya pemikiran aku kerana gagal mengawal emosi.

Kini, aku amat memahami bagaimana perasaan orang yang dimarahi. Orang yang beremosi akan terus melepaskan peluru berpandunya bertalu-talu. Butiran bicara yang umpama bola api tertuju tepat menusuk hati. Dalam keadaan tidak selesa ini, aku hanya mampu mendengar dengan telinga berdesing dan hati yang bengkak. Menarik dan menghembus nafas panjang berkali-kali apabila kedengaran perkataan yang amat tajam dan berunsur prasangka. Hendak dilawan ianya umpama menyiram minyak ke dalam api. Cukup letih sekiranya aku ingin berdebat dan berbahas kerana pastinya masing-masing berada di dalam dunia yang berbeza. Hanya ingin mendengar suara sendiri serta menjuarai perdebatan.

Pengalaman dijadikan mangsa pelepasan emosi ini akan aku jadikan iktibar untuk aku perbaiki diri untuk lebih berhemah dalam berbicara semasa menangani isu dan krisis kakitangan. Ya, bukan mudah mengawal emosi jika suis perasaan telah dipetik. Pasti bukan murah kosnya untuk menjadi Ketua yang bernama Pemimpin. Peristiwa yang aku alami walaupun meninggalkan kesan pahit yang mendalam ia sebenarnya menyedarkan aku bahawa untuk menjadi Pemimpin yang berwibawa kita harus "memimpin diri kita sendiri" dahulu. Memimpin emosi sendiri pastinya akan menjadi cabaran terhebat aku. Aku tidak mahu api emosi membakar jiwa aku sedikit demi sedikit. Kelak pasti memudaratkan kehidupan tanpa kita sedari.

Coretan "Api Biru" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, November 28, 2009

Selamat Hari Raya Aidiladha 1430H




Rakaman "Beraya Di Rumah" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Friday, November 27, 2009

Santai Kehidupan 7: Filem 2012...Hanya Secebis Malapetaka


Lama benar aku dan keluarga tidak melabuhkan punggung di panggung wayang IOI Mall, Puchong. Filem terbaru Sains Fiksyen 2012 memanggil aku untuk menonton kehebatannya pula selepas kali terakhir menonton filem Transformers 2.

Filem yang bernilai ratusan juta ternyata hebat hasil produksinya. Filem 2012 yang sarat dengan babak, aksi dan kesan khas yang memukau dan menggegarkan perasaan. Seolah-olah diri aku berada di dalam filem berkenaan kerana denyutan jantung seakan terhenti melihat bumi retak dan bergoncang serta ombak mega kesan tsunami bergulung merentas gunung-ganang lantas memukul manusia yang bak debu halus.

Pabila alam bersuara, tiada siapa mampu menghalangnya. Enam buah kapal terhebat dan tercanggih yang menyelamatkan spesis bumi untuk kesinambungan jenama manusia dan haiwan hanya melambangkan KESOMBONGAN manusia untuk melawan ketentuan takdir. Sebenarnya, jika bumi mengamuk tiada tempat untuk manusia lari dan berlindung samada di darat, laut atau udara. Apakah filem 2012 ini mampu mengetuk akal fikiran untuk kita menilai dan menghargai erti kehidupan?

Ya, filem 2012 hanya sekadar hiburan tetapi ianya mampu memberikan mesej tersirat kepada sesiapa yang ingin memikirkannya. Sekurang-kurangnya kita menyedari bahawa dunia dan bumi semakin senja. Senario 2012 hanyalah secebis peristiwa malapetaka. Bencana sebenar adalah lebih hebat dan menakutkan. Tidak mampu untuk kita bernafas dalam sedetik sekiranya ianya tiba...

Coretan "2009" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor