Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, November 29, 2009

Kod Kehidupan: Sukarnya Memimpin Emosi


Tempoh bercuti dan bersantai sempena menyambut Hari Raya Aidiladha seolah-olah cacat dengan peristiwa malang sehari yang tidak dijangka. Ledakan emosi daripada seorang yang bernama Ketua atau mungkin "Pemimpin" benar-benar menggugat ketenteraman jiwa aku.

Barulah aku memahami bahawa bukan senang untuk mengawal emosi kerana aku juga pernah melepaskan emosi keterlaluan kepada kakitangan. Ledakan perasaan melalui kata-kata kesat dan tajam sebenarnya mengkelabukan hati dan menumpulkan minda. Apabila selesai memarahi kakitangan, terfikir jua mengapakah begitu dangkalnya pemikiran aku kerana gagal mengawal emosi.

Kini, aku amat memahami bagaimana perasaan orang yang dimarahi. Orang yang beremosi akan terus melepaskan peluru berpandunya bertalu-talu. Butiran bicara yang umpama bola api tertuju tepat menusuk hati. Dalam keadaan tidak selesa ini, aku hanya mampu mendengar dengan telinga berdesing dan hati yang bengkak. Menarik dan menghembus nafas panjang berkali-kali apabila kedengaran perkataan yang amat tajam dan berunsur prasangka. Hendak dilawan ianya umpama menyiram minyak ke dalam api. Cukup letih sekiranya aku ingin berdebat dan berbahas kerana pastinya masing-masing berada di dalam dunia yang berbeza. Hanya ingin mendengar suara sendiri serta menjuarai perdebatan.

Pengalaman dijadikan mangsa pelepasan emosi ini akan aku jadikan iktibar untuk aku perbaiki diri untuk lebih berhemah dalam berbicara semasa menangani isu dan krisis kakitangan. Ya, bukan mudah mengawal emosi jika suis perasaan telah dipetik. Pasti bukan murah kosnya untuk menjadi Ketua yang bernama Pemimpin. Peristiwa yang aku alami walaupun meninggalkan kesan pahit yang mendalam ia sebenarnya menyedarkan aku bahawa untuk menjadi Pemimpin yang berwibawa kita harus "memimpin diri kita sendiri" dahulu. Memimpin emosi sendiri pastinya akan menjadi cabaran terhebat aku. Aku tidak mahu api emosi membakar jiwa aku sedikit demi sedikit. Kelak pasti memudaratkan kehidupan tanpa kita sedari.

Coretan "Api Biru" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, November 28, 2009

Selamat Hari Raya Aidiladha 1430H




Rakaman "Beraya Di Rumah" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Friday, November 27, 2009

Santai Kehidupan 7: Filem 2012...Hanya Secebis Malapetaka


Lama benar aku dan keluarga tidak melabuhkan punggung di panggung wayang IOI Mall, Puchong. Filem terbaru Sains Fiksyen 2012 memanggil aku untuk menonton kehebatannya pula selepas kali terakhir menonton filem Transformers 2.

Filem yang bernilai ratusan juta ternyata hebat hasil produksinya. Filem 2012 yang sarat dengan babak, aksi dan kesan khas yang memukau dan menggegarkan perasaan. Seolah-olah diri aku berada di dalam filem berkenaan kerana denyutan jantung seakan terhenti melihat bumi retak dan bergoncang serta ombak mega kesan tsunami bergulung merentas gunung-ganang lantas memukul manusia yang bak debu halus.

Pabila alam bersuara, tiada siapa mampu menghalangnya. Enam buah kapal terhebat dan tercanggih yang menyelamatkan spesis bumi untuk kesinambungan jenama manusia dan haiwan hanya melambangkan KESOMBONGAN manusia untuk melawan ketentuan takdir. Sebenarnya, jika bumi mengamuk tiada tempat untuk manusia lari dan berlindung samada di darat, laut atau udara. Apakah filem 2012 ini mampu mengetuk akal fikiran untuk kita menilai dan menghargai erti kehidupan?

Ya, filem 2012 hanya sekadar hiburan tetapi ianya mampu memberikan mesej tersirat kepada sesiapa yang ingin memikirkannya. Sekurang-kurangnya kita menyedari bahawa dunia dan bumi semakin senja. Senario 2012 hanyalah secebis peristiwa malapetaka. Bencana sebenar adalah lebih hebat dan menakutkan. Tidak mampu untuk kita bernafas dalam sedetik sekiranya ianya tiba...

Coretan "2009" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Thursday, October 22, 2009

Majlis Sambutan Hari Raya...16 Oktober 2009




Foto "Warna Silaturrahim" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong Selangor

Saturday, September 26, 2009

Puisi Hari Raya 1430H


Dari Kuala Lumpur Ke Kota Bharu
Jauh Perjalanan Luas Pandangan
Di Hari Raya Keluarga Bersatu
Beramah Mesra Erat Bersalaman

Adat Ziarah Kekal Dibudayakan
Sambil Bersila Menjamu Selera
Rancak Berbicara Tautkan Perasaan
Suasana Meriah Terpancar Cahaya

Dari Kota Bharu Menuju Pulau Pinang
Merentas Gunung Meredah Hutan
Lesu Badan Bukanlah Penghalang
Semangat Persaudaraan Teras Kekuatan

Destinasi Seterusnya Ke Perak Darul Ridzuan
Menziarahi Keluarga Setahun Sekali
Sanak-saudara Tidak Akan Dilupakan
Mengeratkan Silaturrahim Seikhlas Hati

Ke Sungai Besi Menziarahi Nenek
Cahaya Suram Muram Terasa
Aura Hari Raya Tiada Lagi Menarik
Sejak Atuk Pergi Buat Selamanya

Untuk Sahabat-sahabat:

Terima kasih Diucapkan Atas Ingatan
Tanda Ikatan Tali Persaudaraan
Sebulan Berpuasa Membina Kesedaran
Agar Hidup Beroleh Keberkatan

Nukilan "Raya" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, August 30, 2009

Edisi Khas 21: Keinsafan dan Kefahaman


Isu hukuman sebat Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 tahun kian mendapat liputan meluas media massa dan elektronik. Pelbagai sudut komen pemimpin dan masyarakat dapat kita baca samada yang pro atau yang kontra.

Disudut pemikiran reflektif aku, isu ini adalah alat yang Allah SWT kirimkan di bulan Ramadhan yang mulia untuk manusia berfikir dan menilai. Usahlah melatah dengan bersembur air liur mengeluarkan kenyataan yang separuh masak atau cetek akal atas pelbagai alasan kemanusiaan dan kebajikan.

Berbanding komen yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri (PM) dan Menteri-menteri yang bagai "Burung Kakak Tua", aku lebih tertarik dengan komen Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang lebih bernas dan berisi. Rasional dan realistik.

Komen pemimpin-pemimpin pusat kita seperti orang yang tidak habis menuntut. Cetek dan dangkal. Hukuman Hudud telahpun tercatat dalam Al-Quran. Siapakah kita manusia dan hamba yang hendak mempertikaikannya. Cubalah baca sejarah Islam bagaimana hukuman ini dilaksanakan. Bukan pantas memberikan komen "tiada kepakaran hendak menyebat" dan memohon agar Kartika "merayu dan utamakan tarbiah". Komen yang hanya menjerat diri sendiri.

Kita sentiasa mewar-warkan bahawa negara kita negara ISLAM TULEN. Menjadi model kelas pertama kepada negara-negara Islam di dunia. Cukup meloyakan. Jika benar, cuba kita imbas 10 tahun kebelakang apa yang negara kita telah lakukan untuk mendaulatkan undang-undang Syariah Islam. Seribu tanda-tanya.

Rakyat inginkan PELAKSANAAN dan PENTERJEMAHAN bukan ALASAN. Lihat apa yang kerajaan PAS Kelantan lakukan semenjak pemerintahan mereka. Kita dapat melihat pelaksanaan dan penterjemahan yang amat dekat dengan hati dan budaya rakyat Kelantan.

Walaupun masih ada lagi ruang-ruang kelemahan, ianya adalah normal dalam proses PEMBANGUNAN terutama PEMBINAAN SAHSIAH masyarakat. Bukan mudah membetulkan landasan yang telah lama rosak.

Disebaliknya pula, cuba kita lihat dikawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur. Kelab-kelab malam, pusat-pusat hiburan dan hotel-hotel yang bak cendawan tumbuh lepas hujan bagai berlumba-lumba untuk mewujudkan dan mempromosikan budaya barat di negara yang diwartakan sebagai negara Islam. Arak, judi dan pergaulan bebas dijulang tinggi atas alasan untuk menarik Pelancong-pelancong luar. Kenapakah kita ini BODOH sangat untuk menerima dan menciplak arus barat ini?

Ya, kita inginkan pelancong-pelancong luar mengalirkan wang mereka tetapi kita juga bertanggungjawab MENDIDIK pelancong-pelancong untuk menghormati Jenama Negara Islam kita. Sukar sangatkah wahai pemimpin-pemimpin negara yang bijak-pandai? Atau kamu semua telah buta hati untuk menegakkan syariat Islam kerana kamu juga dua kali lima (2x5). Memalukan!

Maka, usah diletakkan beban dosa dibahu Kartika semata-mata. Pemimpin-pemimpin kita harus lebih berdosa dan bertanggungjawab kerana mereka yang menyediakan platform "easy entry dan touch and go" untuk Kartika dan ramai lagi masyarakat muslim untuk minum air syaitan ini tanpa kawalan.

Kesilapan dan dosa pertama dengan menyediakan platform, kita teruskan dengan kesilapan dan dosa kedua dengan bersungguh-sungguh menghalang dan melewatkan-lewatkan undang-undang Hudud terlaksana. Apa yang perlu kita lakukan hanya mencari alternatif kesesuaian jenis dan bentuk sebatan bukan menghalang hukuman sebatan (cuba baca sejarah Nabi). Ianya umpama PRINSIP dan PENDEKATAN. Prinsip tetap dipelihara kerana ianya KETETAPAN Allah SWT yang tidak boleh diperdebatkan.

Aku mendoakan agar Kartika mengekalkan prinsipnya. Ianya pasti melemaskan banyak pihak terutama pemimpin-pemimpin negara. Ya, mungkin Kartika lebih baik daripada setengah-setengah pemimpin. Dia sudah insaf dan keinsafan itu harus diterjemahkan melalui hukuman Hudud undang-undang Islam.

Peliknya, kenapakah kita pula sibuk-sibuk mencadangkan untuk meringankan hukuman Kartika sedangkan Kartika sendiri sudah rela menerimanya. Adakah pengetahuan agama "peminum arak" ini lebih baik daripada pemimpin-pemimpin Islam kita. Satu lagi KEBODOHAN terserlah.

Ingat! aku bukanlah penyokong fanatik mana-mana pihak. Aku hanya mahu berpegang kepada PRINSIP dan AQIDAH. Perkara yang TERNYATA JELAS usahlah dikaburkan.

Coretan "Sebatan Pembaris Besi" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, August 29, 2009

Edisi Khas 20: Tradisi Sambutan Kemerdekaan


Aku sudah boleh membayangkan sambutan malam kemerdekaan. Mengekalkan tradisi sambutan yang sarat dengan gerombolan manusia, percikan bunga api diangkasa, keriuhan konsert dan sebagainya. Berkumpul beramai-ramai sehingga lewat malam sambil menanti penuh sabar detik 11:59:50 untuk membilang angka 10 hingga 1 dan kemudian menjerit serentak perkataan keramat semenjak tahun 1957 iaitu "MERDEKA...".

Hiburan penyanyi-penyanyi tersohor negara pastinya akan menjadi daya tarikan pengunjung untuk melepakkan diri bermula seawal waktu Maghrib lagi. Kala ini, aktiviti bebas yang dipamerkan oleh golongan remaja lelaki dan perempuan sudah DIHALALKAN atas nama PESTA UMUM. Pastinya, mata kita akan tergoda melihat budaya pergaulan remaja-remaja kita. Tanpa segan-silu masing-masing membelit pinggang sambil bertepuk-bertampar dan bergurau-senda dikhalayak ramai. Bagi yang sukar mengawal ransangan terlarang, pasti mereka menyelinapkan diri untuk mencari ruang tersembunyi disebalik tembok, dibelakang tangga atau dicelah-celah pokok. Bertukar menjadi "halimunan" untuk bercumbu dan melepaskan gelodak nafsu. Semua ini berlaku atas nama Tradisi Sambutan Kemerdekaan.

Apabila detik 12:00 malam, 31hb Ogos 2009 disambut dengan jeritan kemerdekaan, pastinya wang rakyat yang bernilai jutaan ringgit akan terbakar hangus dilangit gelap. Mata pengunjung-pengunjung akan bersinar menatap kecantikan dan keunikan permainan bunga api yang kelihatan seperti bernyawa. Kita berasa terpegun, kagum dan puas dengan PENGISIAN kemerdekaan ini sambil kepala mendongak dan mulut terbuka luas (tanpa sedar). Semua ini dikekalkan atas nama Tradisi Sambutan Kemerdekaan.

Bagi pengunjung-pengunjung yang sudah mengantuk, pasti punggung diangkat. Bontot nipis mulai terasa sakit kerana berlabuh selama beberapa jam didataran keras. Kemuncak sambutan sudah dinikmati. Bagi golongan remaja, pasti ada aktiviti sambutan tambahan. Motor dipecut ke lokasi yang hanya mereka sahaja yang ketahui. Esok diawal pagi pasti ada kondom berlendir ditemui dicelah-celah pohon renik atau di bawah tangga. Bagi yang tersilap "teknik permainan", selepas 7 bulan terpapar pula didada akhbar mayat bayi tidak cukup bulan ditemui di mangkuk tandas awam. Zalim dan menjijikkan. Setelah lautan manusia beredar, mata kita akan pedih pula melihat lautan sampah-sarap yang berselerakan dan bertimbunan. Kesedaran sivik masyarakat Malaysia yang masih berada dibawah paras beku walaupun sudah 52 tahun merdeka. Semua ini dibiarkan atas nama Tradisi Sambutan Kemerdekaan.

Persoalannya, apakah pemimpin-pemimpin kita BUTA-TULI untuk melihat dan menilai perkara ini? Aku cukup TEGAS mencadangkan agar budaya sambutan kemerdekaan secara TERBUKA ini DIHARAMKAN. Ianya hanya mendatangkan sembilan(9) keburukan daripada satu(1) kebaikan. Ciptalah ALTERNATIF budaya sambutan yang berteraskan budaya kita dan bukan diciplak daripada budaya acuan Barat. Cukuplah lebih lima(5) dekad kita GILA MENIRU. Percayalah bahawa tidak akan hilang dan pudar status dan kedaulatan negara Malaysia walaupun tanpa sambutan MEWAH kemerdekaan. Ubahlah cara pemikiran kita. Kita hanya kaya dan seronok dengan SLOGAN BERMUSIM tetapi pengisian sebenarnya ditinggalkan KOSONG. Usah diteruskan tradisi sambutan kemerdekaan yang terbukti hanya melalaikan dan merosakkan agama, bangsa dan negara.

MERDEKA...! MERDEKA...! MERDEKA...!

Coretan "Jiwa Merdeka" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor