Isu hukuman sebat Kartika Sari Dewi Shukarnor, 32 tahun kian mendapat liputan meluas media massa dan elektronik. Pelbagai sudut komen pemimpin dan masyarakat dapat kita baca samada yang pro atau yang kontra.
Disudut pemikiran reflektif aku, isu ini adalah alat yang Allah SWT kirimkan di bulan Ramadhan yang mulia untuk manusia berfikir dan menilai. Usahlah melatah dengan bersembur air liur mengeluarkan kenyataan yang separuh masak atau cetek akal atas pelbagai alasan kemanusiaan dan kebajikan.
Berbanding komen yang dikeluarkan oleh Perdana Menteri (PM) dan Menteri-menteri yang bagai "Burung Kakak Tua", aku lebih tertarik dengan komen Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang yang lebih bernas dan berisi. Rasional dan realistik.
Komen pemimpin-pemimpin pusat kita seperti orang yang tidak habis menuntut. Cetek dan dangkal. Hukuman Hudud telahpun tercatat dalam Al-Quran. Siapakah kita manusia dan hamba yang hendak mempertikaikannya. Cubalah baca sejarah Islam bagaimana hukuman ini dilaksanakan. Bukan pantas memberikan komen "tiada kepakaran hendak menyebat" dan memohon agar Kartika "merayu dan utamakan tarbiah". Komen yang hanya menjerat diri sendiri.
Kita sentiasa mewar-warkan bahawa negara kita negara ISLAM TULEN. Menjadi model kelas pertama kepada negara-negara Islam di dunia. Cukup meloyakan. Jika benar, cuba kita imbas 10 tahun kebelakang apa yang negara kita telah lakukan untuk mendaulatkan undang-undang Syariah Islam. Seribu tanda-tanya.
Rakyat inginkan PELAKSANAAN dan PENTERJEMAHAN bukan ALASAN. Lihat apa yang kerajaan PAS Kelantan lakukan semenjak pemerintahan mereka. Kita dapat melihat pelaksanaan dan penterjemahan yang amat dekat dengan hati dan budaya rakyat Kelantan.
Walaupun masih ada lagi ruang-ruang kelemahan, ianya adalah normal dalam proses PEMBANGUNAN terutama PEMBINAAN SAHSIAH masyarakat. Bukan mudah membetulkan landasan yang telah lama rosak.
Disebaliknya pula, cuba kita lihat dikawasan Segitiga Emas Kuala Lumpur. Kelab-kelab malam, pusat-pusat hiburan dan hotel-hotel yang bak cendawan tumbuh lepas hujan bagai berlumba-lumba untuk mewujudkan dan mempromosikan budaya barat di negara yang diwartakan sebagai negara Islam. Arak, judi dan pergaulan bebas dijulang tinggi atas alasan untuk menarik Pelancong-pelancong luar. Kenapakah kita ini BODOH sangat untuk menerima dan menciplak arus barat ini?
Ya, kita inginkan pelancong-pelancong luar mengalirkan wang mereka tetapi kita juga bertanggungjawab MENDIDIK pelancong-pelancong untuk menghormati Jenama Negara Islam kita. Sukar sangatkah wahai pemimpin-pemimpin negara yang bijak-pandai? Atau kamu semua telah buta hati untuk menegakkan syariat Islam kerana kamu juga dua kali lima (2x5). Memalukan!
Maka, usah diletakkan beban dosa dibahu Kartika semata-mata. Pemimpin-pemimpin kita harus lebih berdosa dan bertanggungjawab kerana mereka yang menyediakan platform "easy entry dan touch and go" untuk Kartika dan ramai lagi masyarakat muslim untuk minum air syaitan ini tanpa kawalan.
Kesilapan dan dosa pertama dengan menyediakan platform, kita teruskan dengan kesilapan dan dosa kedua dengan bersungguh-sungguh menghalang dan melewatkan-lewatkan undang-undang Hudud terlaksana. Apa yang perlu kita lakukan hanya mencari alternatif kesesuaian jenis dan bentuk sebatan bukan menghalang hukuman sebatan (cuba baca sejarah Nabi). Ianya umpama PRINSIP dan PENDEKATAN. Prinsip tetap dipelihara kerana ianya KETETAPAN Allah SWT yang tidak boleh diperdebatkan.
Aku mendoakan agar Kartika mengekalkan prinsipnya. Ianya pasti melemaskan banyak pihak terutama pemimpin-pemimpin negara. Ya, mungkin Kartika lebih baik daripada setengah-setengah pemimpin. Dia sudah insaf dan keinsafan itu harus diterjemahkan melalui hukuman Hudud undang-undang Islam.
Peliknya, kenapakah kita pula sibuk-sibuk mencadangkan untuk meringankan hukuman Kartika sedangkan Kartika sendiri sudah rela menerimanya. Adakah pengetahuan agama "peminum arak" ini lebih baik daripada pemimpin-pemimpin Islam kita. Satu lagi KEBODOHAN terserlah.
Ingat! aku bukanlah penyokong fanatik mana-mana pihak. Aku hanya mahu berpegang kepada PRINSIP dan AQIDAH. Perkara yang TERNYATA JELAS usahlah dikaburkan.
Coretan "Sebatan Pembaris Besi" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment