Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, December 13, 2008

Cerpen Khas : Pengorbanan Di Hari Jadi


Hari Isnin, 08 Disember 2008, dirumah Nenek

Sambutan Hari Raya Haji pada tahun ini tanpa dirancang lebih awal, aku tidak jadi pulang ke Kota Bharu, Kelantan kerana khuatir akan berlaku banjir dan tanah runtuh. Puas juga berbincang dengan isteriku. Anak-anak mulai seronok untuk pulang beraya bersama Tok. Maklumlah, boleh makan puas-puas dan jadi budak kampung yang bebas kesana-kemari. Jeritanku yang tidak akan laku selama seminggu.

Akhirnya aku membuat keputusan untuk tidak pulang, apatah lagi apabila mengetahui kawasan rumah mak mertua aku sudah mulai dinaiki air. Ini baru pusingan pertama. Rupanya ada dua lagi pusingan sebelum bencana banjir ini beransur surut. Diluar pengetahuanku yang dilahirkan dibandar yang hanya mengenali banjir lumpur dan selut akibat bahana pembangunan fizikal.

Cukuplah pengalaman perit aku pada tahun lepas yang terpaksa melencong dan merentas Grik untuk mencari lorong keluar ke Kuala Lumpur melalui Kuala Kangsar. Gara-gara tanah runtuh yang berlaku di Kuala Krai-Gua Musang semasa dalam perjalanan pulang. Musim perayaan Hari Raya Haji yang amat tidak menyeronokkan.

Tahun 2008, selepas 12 tahun sejak 1996, inilah kali pertama sejak berkahwin aku beraya di Sungai Besi bersama Nenek. Kebetulan semasa kedatangan aku, Paklang dan Pakcik beserta keluarga juga sama-sama menziarahi Nenek.

Ibu dan Rimy juga ada bersama tahun ini. Baru sampai dari Pulau Pinang pagi Sabtu yang lepas. Ibu bergegas datang ke Kuala Lumpur sejurus mengetahui yang Nenek akan menjalani pembedahan pada hari Khamis nanti. Ibu yang tidak mampu menyembunyikan perasaan bimbangnya. Berkerut sahaja dahinya. Walau bagaimanapun, Ibu terpaksa pulang ke Pulau Pinang sebelum pembedahan Nenek kerana ada urusan yang tidak boleh dielakkan.

Juadah yang dibawa dari rumah masing-masing sama-sama kami jamah dimeja makan. Aku membawa 30 cucuk satay yang dibeli di Sungai Ramal Luar, Kajang manakala Paklang pula membawa rendang ayam dan daging. Lama benar rasanya aku tidak menjamah rendang Negeri Sembilan masakan Maklang.

"Mer, kau jaga Mak hari Sabtu dan Ahad ni boleh,"
tiba-tiba Paklang bersuara mengganggu tumpuan aku yang sedang leka menonton televisyen.

"Jaga mak...ok...kenapa?" soalku ringkas.

"Abang nak pergi Tanjung Malim. Ada majlis kenduri kahwin. Hari Sabtu ni bertolak. Hari Ahad baru balik. Abang ingat selepas Mak buat "operation" nanti, nak tumpangkan Mak sekejap kat rumah kau," Paklang pantas menjelaskan keadaan sambil mulut mengunyah. Aku seperti acuh tak acuh. Mata masih terpacak ke kaca televisyen.

"Ok," jawabku ringkas.

Nenek kelihatan duduk termenung seolah-olah memikirkan sesuatu. Risau agaknya untuk menempuh tanggal 11 Disember 2008.

"Mer, Khamis ni kita bertolak dalam jam 7:00 pagi. Kalau lewat nanti parking kat HUKM tu susah nak dapat,"
Paklang meninggalkan pesan sebelum aku berangkat pulang dari rumah nenek.

"Susah ke pagi-pagi,"
aku menjawab seakan-akan pelik.

"Aku datang jam 8:00 pagi hari tu pun dah penuh kereta,"
Pakcik tiba-tiba menyampuk.

"Ok. Aku sampai tepat jam 7:00 pagi," tegas jawapanku menutup perbualan.

Hari Khamis, 11 Disember 2008, di Ruang Menunggu, Tingkat 2, HUKM

"Pukul berapa Mak nak masuk bilik bedah ni," Makngah mulai merungut.

Aku, Paklang dan Makngah bergilir-gilir menemani nenek di ruang pesakit. Nenek lebih banyak membisu. Apabila rasa jenuh menunggu, kami akan keluar untuk memberikan signal pertukaran "shift'. Peraturan hospital hanya membenarkan seorang ahli keluarga sahaja yang menemani pesakit. Kerusi empuk, hawa dingin dan siaran televisyen yang disediakan membuatkan aku rasa amat selesa dan tenteram. Mengalahkan pesakit apabila mata mulai kuyu.

Jam sudah menunjukkan tepat pukul 11:00 pagi. Sudah agak lama kami menanti sejak jam 8:00 pagi tadi. Aku yang kembali menanti diluar sudah berdiri hampir 2 jam disebabkan kerusi diruang menunggu sememangnya tidak disediakan untuk rombongan yang besar. Kenalah bertolak-ansur dengan ahli keluarga orang lain. Ada juga yang hanya duduk bersila dilantai sambil melayan karenah anak-anak.

Aku, isteri, Paklang, Pakngah, Makngah dan Kak Nora adalah rombongan yang menghantar Nenek. Hati kami berdebar-debar kerana inilah pengalaman kedua sejak Atuk meninggal dunia pada April 2006. Pengalaman yang menguji kesabaran kami berulang-alik ke Hospital Besar Kuala Lumpur (HKL) selama sebulan sukar dilupakan. Atuk yang akhirnya melambai kami untuk kali terakhir di katil wad biasa selepas seminggu menerima rawatan CCU. Aku yang ketika itu hanya lewat beberapa minit sebelum Atuk menghembuskan nafas terakhir. Terkilan sangat-sangat. Aku hanya mampu melihat Makngah meratap memaklumkan yang Atuk sudah tiada sambil mataku terpaku melihat tubuh Atuk yang terkujur kaku disebalik tirai.

"Amer, Apak bangga dengan kau," suara dalam Atuk kedengaran garau sambil jari kematu Atuk menggenggam kemas lengan aku.

Akhirnya perasaan terkilan aku terubat kerana dapat berjumpa Atuk dalam mimpi. Peliknya, suasana aku berjumpa Atuk adalah suasana yang benar-benar serupa di wad HKL semasa Atuk pergi. Didunia realiti, Atuk memang telah kaku tetapi di dunia mimpi Atuk masih boleh berkata-kata kepada aku. Ajaib dan penuh hikmah.

Walaupun pembedahan Nenek hanya melibatkan mata, ianya tetap membimbangkan kami. Nenek sudah lama tidak dapat melihat. Agak-agak aku melebihi 6 bulan. Sukar untuk Nenek bergerak dan mengenali orang kerana matanya semakin lama semakin kabur. Jalanpun terpaksa dipimpin. Sayu hati melihat tubuh Nenek yang kian kurus dan uzur. Raut muka pula kian cengkung. Wajah Nenek jelas dimamah usia dengan kedut seribu.

"Doktor tak boleh buat "operation" lagi. Tekanan darah Mak naik sampai 170. Tinggi tu. Kena tunggu turun dulu" jelas Paklang yang baru keluar berjumpa Nenek diruang khas pesakit. Makngah yang seakan mengerti untuk mengambil giliran "shift" lantas menghayunkan kaki menuju ruang menunggu pesakit untuk menggantikan Paklang.

Penat berbual dan melayan perasaan, aku lantas merayau-rayau disekitar ruang menunggu. Melihat dan meninjau sesuatu yang tidak perlu. Paklang, Pakngah dan Paktih kelihatan masih leka dan rancak berbual. Bercerita isu-isu semasa. Nadanya kedengaran serius. Pastinya kisah tanah runtuh di Bukit Antarabangsa.

Tiba-tiba telefon tanganku berbunyi. Isteriku menghantar "sms". "Nenek dah nak masuk bilik pembedahan." Aku yang menyendiri sebentar diruang sebelah surau segera menuju ke ruang menunggu. Jam tepat menunjukkan pukul 12:00 tengahari. Lega rasanya kerana penantian selama 4 jam telahpun berakhir. Kini penantian lain yang lebih mencabar pula menunggu. Debaran yang lebih berombak.

Akhirnya, tepat jam 3:00 petang, Nenek keluar dari bilik pembedahan. Aku yang sedang leka melayan "sms dan email" berkaitan dengan kerja pejabat dapat mendengar dari jauh Nenek bercerita pengalaman dan perasaannya menjalani pembedahan. Semangat Nenek yang telah mencecah umur 76 tahun aku dapat rasakan amat kuat walaupun tubuh kurusnya layu duduk dikerusi roda. Mata sebelah kiri Nenek berbungkus rapi dengan kapas tebal.

Wajah kami agak ceria melihat Nenek selamat menjalani pembedahan. Aku difahamkan, Nenek menjalani pembedahan untuk menggantikan kanta mata yang rosak dengan kanta mata palsu. Aku hanya dapat membayangkan bagaimana mata hitam Nenek digunting untuk memasukkan kanta mata palsu berkenaan. Gerun untuk difikirkan. Kos pembedahan RM500 yang amat berbaloi kerana Nenek kelihatan cergas selepas pembedahan. Kos yang rendah kerana mengambil kira status Atuk yang merupakan bekas anggota tentera yang mendapat manfaat selaku pesara kerajaan.

Perancangan kami telah berubah. Aku telah mencadangkan agar Nenek terus dihantar ke rumah aku agar Nenek lebih selesa dan terjaga. Pembantu rumah dan anak aku Razi boleh ditugaskan untuk membantu keperluan Nenek. Paklang selaku pemimpin rombongan bersetuju dengan cadangan aku dan ahli keluarga lain juga tidak banyak soal.

Tepat jam 4:00 petang, kami mulai berangkat meninggalkan HUKM. Berakhir sudah urusan penting kami yang cukup mendebarkan. Aku memimpin rombongan menuju ke rumahku di Bandar Kinrara. Nenek kelihatan tenang bersandar dikerusi belakang ditemani Kak Nora. Perjalanan pulang yang amat melegakan. Tidak seperti perjalanan di awal pagi tadi.

Hari Khamis, 11 Disember 2008, Di Ruang Tamu (Jam 11:00 malam)

"Ayah, jangan turun dulu. Nanti Adik panggil,"
tiba-tiba Amira menghalang aku dihujung tangga. Terpaksalah aku naik semula kerana tangannya yang halus menghalang aku daripada meneruskan langkah.

"Ayah, ok...turunlah,"
jerit Amira dari bawah selang beberapa minit.

"Happy Birthday To You! Happy Birthday To You! Happy Birthday To AYAH! Happy Birthday To You!" Razi dan Amira kelihatan amat ceria menyambut ulang tahun kelahiran aku yang ke-38. Persiapan mereka tahun ini ala kadar sahaja kerana tumpuan aku lebih kepada Nenek sejak awal pagi tadi. Aku hanya dijamu dengan pastri sosej dan diberikan kad harijadi buatan mereka sendiri. Perancangan aku untuk membawa mereka membeli hadiah "rahsia" dan menjamu selera di Kenny Rogers terpaksa ditangguhkan.

Jika dahulu semasa aku kecil, Nenek tidak akan lupa berniat untuk memberikan sedekah pisang kepada budak-budak sekampung. Pisang emas yang dibeli di pasar pekan Sungai Besi bagi menyambut ulang tahun kelahiran amat besar ertinya bagi aku pada zaman itu.

"Nek, kenapa Nenek bagi pisang ni?"
soal seorang budak sambil jari pantas mengupas kulit pisang.

"Hari ni hari jadi Amer. Cukup umur dia 11 tahun,"
Nenek menjawab sambil menghulur pisang kepada budak-budak yang kian ramai datang ke beranda rumah.

Aku yang diketahui memang pendiam sejak kecil hanya tersenyum bangga memerhatikan rakan-rakan sebaya gelojoh berebut pisang.

Tahun ini, sambutan ulang tahun kelahiran aku lebih unik. Tarikh yang sama dengan pembedahan Nenek yang membolehkan aku menjaga Nenek dan bersama Nenek. Aku pasti Atuk ada bersama melihat kami. Tersenyum melihat Nenek yang tetap terjaga kehidupannya. Razi dan Amira kelihatan ghairah bergambar. Keikhlasan mereka menyambut ulang tahun kelahiran aku benar-benar terserlah dimata jernih mereka.

Nenek kelihatan berselera menjamah pastri yang dibuat sendiri oleh Razi dan Amira. Terkenang dahulu semasa aku membawa Atuk dan Nenek bercuti di Country Villas, Kajang untuk menghabiskan "timeshare" Palace Vacation Club aku. Atuk kelihatan berselera menjamah satay Kajang. Sebulan selepas itu, Atuk jatuh sakit dan tidak mampu lagi menelan makanan sehinggalah Atuk meninggal dunia.

Aku amat berharap agar selera Nenek ini bukanlah tanda-tanda untuk mengulangi sejarah Atuk. Aku ingin Nenek terus berselera dan bergembira menjalani hari-hari tua. Selagi ada nafas, pasti aku tidak akan lupa memberikan ruang dan masa untuk Nenek. Sumbangan kecil seorang cucu yang sudah dianggap anak oleh Nenek yang tidak terbanding dengan sumbangan hebat Nenek.

Semoga ilham untuk mencipta "Puisi Untuk Nenek" tidak pantas menjelma diminda aku ketika ini. Biarlah dahulu "Puisi Untuk Atuk" bertapa disudut memori yang paling dalam untuk tempoh yang lama tanpa ditemani satu lagi puisi.

Selamat Hari Jadi untuk diriku!

TAMAT

Nukilan "Ulang Tahun" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

2 comments:

Anonymous said...

pengorbanan yg tidak dpt dinilai dgn wang.. dtgnya hanya dr hati yg tulus.. jg nenek ibarat jg seorg ibu adalah merupakan hadiah terbesar bt abg thn nie krn nenek selamat menjalani pembedahan on ur bufday.. alhamdulillah.. smg pjg umur nenek!! begitu juga abg!!! adi dh xde opah dgn tok.. adik cucu yatim piatu :( isk.. isk.. moga opah dan tok adik dicucuri rahmat dan ditempatkan di kalangan org2 yg beriman. aminnn..

Zamer Rizal Osman @ ZoRrO @ Putera Halimunan said...

Terima kasih adik...selagi ada ruang dan masa kita harus menghayati realiti kehidupan. Ruang yang perlukan pengisian dalam masa yang kian terbatas.