Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Wednesday, January 28, 2009

Ohh Seliparku..."Back To The Future III"


Kembali ke zaman silam...1986-1987...

"Aduh!... Hilang lagi," aku merungut sendirian sambil muka mencuka melihat gelagat rakan-rakan berkejaran kembali ke asrama. Melipat kain pelekat sampai ke pangkal paha sambil berlari pecut 100 meter menuju ke kamar. Aku terus menggarukan kepala yang tidak gatal. Mata masih lagi tidak berputus-asa mencari. Menjeling ke bahagian Puteri. Manalah tahu mungkin tercampak ke sana.

"Zamer, apa yang kau dok tercegat lagi kat sini?" tiba-tiba Samari menolak bahuku dari belakang.

"Selipar aku hilang. Tengah mencarilah ni".
Mataku masih tertumpu ke segenap ceruk surau.

Bagi penghuni-penghuni asrama, kehilangan selipar sejurus selesai solat berjemaah di surau Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB) sudah dianggap asam-garam dan rencah kehidupan di asrama.

Segala strategi dan teknik telah aku gunakan bagi mengelakkan selipar aku dikebas. Selipar jepun murah, sandal kulit, capal, sandal dan segala bentuk selipar yang ada dipasaran Pekan Tampoi telah aku cuba. Hendak beli yang mahal dan berbentuk unik bimbang pula menjadi tumpuan rakan-rakan yang kaki "songlap".

Ada juga rakan aku yang membeli terompah yang bunyinya "keletak-keletuk". Bising. Mungkin puas dia mencari idea bagi mengelakkan hartanya dicuri. Terompah yang tidak akan menjadi kegemaran kaki songlap kerana terpaksa berjalan macam siput babi.

Akhirnya, bagi mengelakkan perasaan terkilan dan sedih yang teramat, selipar jepun murah aku beli lagi sebagai ganti. Memandangkan selipar jepun jenis (lupa nama), menjadi kegemaran kebanyakan rakan-rakan seasrama, terpaksalah aku kreatif dengan menulis nama dan mengukir di tepi selipar beridentiti tersendiri. Teknik ini penting jika berlaku salah faham semasa berebut selipar. Maklumlah, banyak sangat kembarnya.

Selipar ohhh selipar...mengapakah kau menjadi agenda terhangat dalam kehidupan asramaku? Jika semasa di tingkatan 4, aku hanya berkaki ayam apabila kehilangan selipar kerana tidak berani mencuri. Kini, ditingkatan 5, aku tidak peduli. Aku tidak rela kembali ke asrama dengan hanya berkaki ayam. Sepantas kilat akan aku sarung mana-mana selipar yang muncul dihadapan mata aku. Disebabkan tergesa-gesa, ada juga kejadian aku menyarung selipar yang berlainan saiz dan rupa. Setiba di asrama, aku akan diperli oleh rakan-rakan.

Satu lagi situasi yang menaikkan angin satu badan aku adalah setiap kali hendak mandi. Awal pagi jam 5:30pagi adalah tempoh kritikal. Sejurus loceng asrama menjerit, semua penghuni asrama akan mulai berebut-rebut menuju ke bilik air. Gaya awal pagi penghuni-penghuni asrama yang hampir serupa. Hanya berseluar mandi, tuala tersangkut dibahu, berus gigi digigit sambil tangan menjinjing gayung atau baldi kecil berisi sabun dan ubat gigi. Suasana yang cukup unik.

Aku cukup pantang apabila terjun sahaja dari katil "double decker", didapati selipar yang aku sorok dibawah katil telah lesap. Terpaksalah aku tunggu rakan sekamar selesai mandi untuk aku pinjam seliparnya.

"Zamer, apasal kau tak mandi lagi ni?" Rafaie menyoal sambil meletakkan gayungnya dibawah katil.

"Selipar aku hilanglah. Baru aje aku beli kat Tampoi Jumaat lepas. Dah hilang balik."

"Selipar akupun hilang jugak. Ni aku songlap kamar sebelah punya tadi. Sebelah besar, sebelah kecik."

Itulah antara dialog popular yang sentiasa terpacul dimulutku dan rakan-rakan apabila menangani isu selipar di asrama. Dalam banyak keadaan, selipar aku yang hilang gagal ditemui. Jika ada kesempatan sebelum kaki melangkah pintu surau, mata aku akan liar mencari dicelah-celah selipar yang berselerakan. Macam-macam rupa dan warna. Gagal dikesan. Mungkin seliparku telah berubah wajah. Didalam hati, perasaan tidak tenteram tetap muncul setiap kali berjemaah di surau. Akan hilang lagikah selipar jepunku yang ke 1o ini? Inilah harta paling berharga dalam kamus kehidupan asramaku.

Back To The Future...

Coretan "Phobia" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

1 comment:

Anonymous said...

Teknik 1
Memula tu,, aku letak selipar satu kat sini, sebelah lagi di sanun,, Itupun ada juga dikebas orang..

Teknik 2
Pakai terompah,tak minat.. Bising wo...



Teknik 3
Itu sebabnya aku memang practise mangga selipar jepun dengan mangga yg pakai nombor tu,, gerenti tak der siapa yg ambil. Siap boleh solat sunat dengan tenang tanpa teringat ingat siapa yang rembat aku punya..

amri