Kembali ke zaman silam...1987...
Episod 1-Cabaran Awal
Loceng bangunan asrama Ibnu Khaldun kembali menjerit. Jam menunjukkan tepat pukul 1:45 petang. Menandakan semua penghuni asrama perlu segera bersiap untuk bersedia beratur diluar kamar. Tiada ruang untuk aku leka bersantai sejurus sahaja kembali dari solat Zohor berjemaah. Aktiviti harian yang padat menyukarkan aku untuk mengelamun dan berehat panjang. Hanya hari Jumaat dan Sabtu sahaja aku boleh melakukan aktiviti bebas seperti mencuci pakaian, mengilat kasut sekolah, bersantai di bilik rehat dan berbual kosong di balkoni asrama.
Menyidai sendiri pakaian diampaian yang terletak berhampiran dengan surau sudah menjadi kewajipan yang tidak boleh dielakkan. Mata liar memerhati sekeliling dengan muka berkilat dibakar matahari terik. Bimbang jika ada kelibat penghuni Aspuri yang tiba-tiba muncul dipintu surau. Dilewat petang pula, perasaan unik wujud tatkala terserempak dengan penghuni Aspuri sambil tangan aku mengendong pakaian kering. Panik jika seluar dalam terbang ditiup angin kencang dan jatuh berhampiran kaki mereka. Pasti memalukan.
Bak banduan dipenjara, setiap detik penghuni asrama akan dikawal oleh deringan loceng. Sudah sinonim dalam kehidupan harian aku dan rakan-rakan. Sedikitpun tidak merasa terkongkong. Loceng ajaib yang membentuk disiplin diri untuk persediaan masa hadapan. Mengikut peraturan yang ditetapkan, loceng Aspuri akan berdering lebih awal daripada loceng Aspura. Memberi keistimewaan kepada Aspuri untuk masuk ke dewan makan atau berarak menuju ke kelas tanpa berselisih dengan penghuni Aspura. Jika salah perhitungan masa dan menyebabkan kami bertembung, penghuni Aspura akan berhenti dan memberikan laluan "tabik hormat" kepada penghuni Aspuri. Inilah kelebihan kaum hawa.
Loceng Aspuri kembali menjerit. Sayup sahaja kedengaran dari kejauhan. Selang beberapa minit, kelihatan rombongan kaum hawa dengan pakaian yang berwarna-warni berarak dalam satu barisan melintasi bangunan Aspura. Bagai keretapi turbo yang bergerak senyap. Juga umpama robot yang diprogramkan untuk melangkah secara seragam. Berjalan berpasangan dan beriringan sambil wajah tunduk 45 darjah. Tiada seorangpun yang kelihatan berani mengangkat muka dan menoleh ke kiri dan ke kanan terutama semasa melintasi bangunan Aspura.
"Woiii....tengok awek tu...cunlah...budak Perdagangan tu kan?" Zaidi yang memang diketahui kenakalannya tiba-tiba bersuara. Mengganggu tumpuan aku dan rakan-rakan yang sedang leka bersiap. Matanya liar dilemparkan keluar tingkap sambil menyisir rambutnya yang kerinting.
Aku, Nizam, Rafaie dan Samari dengan pergerakan sepantas kilat terus menyertai Zaidi. Sama-sama mengintai dan meneropong penghuni Aspuri yang berjalan seperti lipas kudung. Mungkin perasan ada mata nakal yang memerhati mereka dari jauh. Keadaan semakin riuh dengan dialog nakal kami apabila melihat ada diantara mereka yang mengulum aiskrim Malaysia.
"Hai...hisap apa tu?" Dialog yang akan disusuli dengan gelak ketawa dan siulan "pewiittt" kami bersama.
"Ehh...Siapa yang bertudung warna 'purple' tu hah? Baris No. 3 dari depan." Mulutku tiba-tiba ringan berkata apabila mata terpacak melihat satu tubuh comel yang berjalan pantas.
"Itu Ruhaya Mohamad. Budak kelas aku." Samari yang berada disebelah menyambut pertanyaan aku dengan jawapan pasti.
"Oooo...budak Mekanikal." Mataku terus mengekori pergerakannya sehingga hilang dari pandangan.
"Zamer, aku 'respect' kalau kau dapat pikat budak tu. Budak tu liat sikit. Bukan nak campur sangat dengan bebudak lelaki." Samari menokok-tambah sambil menepuk keras bahu aku.
"Ya ke liat...takpa...aku akan buktikan kat kau yang aku boleh berkawan dengan dia." Aku memandang tepat ke mata Samari sambil mengukirkan senyuman penuh makna. Yakin boleh.
"Kringggggggggggg." Loceng Aspura pula menjerit.
Adik-adik 'Junior' yang sejak daripada tadi telah bersidai di luar kamar A1 dengan pantas beratur membentuk satu barisan panjang. Menanti giliran untuk bergerak mengikut kamar.
"Abang...kami nak jalan dah ni. Ustaz Wahab ada kat bawah tu. Cepatlah sikit," jerit Badarudin dari luar.
"Okay." Jawab kami serentak.
Dalam perjalanan menuju ke kelas, fikiran aku kian kacau. Masih tertumpu kepada nama Ruhaya Mohamad yang menggugat perasaan aku secara tiba-tiba. Entah apa mimpi aku yang beria-ia menyambut cabaran Samari. Cabaran yang menaikkan semangat luar biasa aku. Apakah strategi yang sesuai untuk aku mendekatinya? Aku jurusan Pertanian. Dia jurusan Mekanikal. Tiada ruang dan peluang langsung untuk aku bertemu dan berbual dengannya. Peraturan asrama menyulitkan lagi situasi. Aktiviti asrama Putera dan Puteri dijalankan secara berasingan. Benar-benar menterjemahkan nilai-nilai pendidikan Islam dalam pergaulan.
Sesi belajar petang sukar untuk aku tumpukan perhatian. Kata-kata Samari bermain-main dibenak aku. Aku terus mengelamun dan mencari ilham. Mataku terpaku menatap buku Biologi tetapi fikiran merewang jauh melangkaui bangunan Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB/TIJB). Terbang diawangan. Walau apapun aku tetap yakin akan ada cara untuk kami berhubung.
Bersambung...tunggu "Episod 2-Idea Kreatif"
Back To The Future...
Coretan "Angau" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment