Senario Pasca 1: Anggaran angka terkini melaporkan lebih 1,300 orang rakyat Palestin termasuk 900 orang awam dan 168 polis awam terbunuh, menurut Pusat Hak Asasi Kemanusiaan Palestin (PCHR). - Utusan Malaysia
Senario Pasca 2: Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert memberi tanggungjawab kepada Menteri Kehakiman, Daniel Friedman untuk mempertahankan rejim Zionis itu daripada tuduhan jenayah perang berpunca daripada serangannya selama 23 hari ke atas Genting Gaza. - Utusan Malaysia
Senario Pasca 3: Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa- Bangsa Bersatu (PBB), Ban Ki-Moon 'benar-benar marah dan kecewa' dengan serangan ke atas gudang bekalan makanan dan ubat-ubatan serta dua bangunan sekolah PBB dengan mengarah agar siasatan penuh dilakukan. Rejim zionis Israel bagaimanapun mendakwa serangan dibuat untuk membalas tembakan para pejuang di kawasan terlibat dan berjanji untuk membuat siasatannya sendiri. - Utusan Malaysia
Senario Pasca 4: Pengisytiharan Hamas sebagai pemenang dalam menentang serangan pencerobohan habis-habisan tentera rejim zionis Israel Selasa lalu disambut dan dirai oleh ribuan penyokongnya dengan bendera Islam berwarna hijau berkibar megah di lautan kemusnahan Gaza. - Utusan Malaysia
Realiti: Seperti yang dijangka, umpama mengulangi kembali lipatan sejarah lapuk, tentera rejim Zionis akhirnya berundur dari genting Gaza walaupun ada yang masih bertindak kurang ajar dengan melepaskan tembakan dan bedilan meriam setelah gencatan senjata dipersetujui. Bagi tentera Zionis angka 1,300 perlu ditambah dengan angka "bonus" bagi menunjukkan kekebalan mereka daripada ketetapan peraturan dan undang-undang dunia.
Bumi Palestin kembali tenang. Ketenangan yang tidak akan menjanjikan ketenteraman jiwa dan raga rakyat Palestin untuk tempoh masa panjang. Bumi Palestin kini umpama "padang jarak padang tekukur". Rakyat Palestin sudah "alah bisa tegal biasa" dengan senario pasca-peperangan ini. Tiada yang teristimewa sejak tarikh bencana 14 Mei 1948 yang telah meragut beribu-ribu nyawa yang hanya mampu melawan dengan balingan ketulan batu. Bumi hijau Palestin kini semakin terhakis di arca peta dunia. Infrastruktur musnah teruk yang memerlukan bantuan dan keperihatinan dunia untuk membina semula. Kerosakan fizikal boleh diganti dengan limpahan bantuan wang tetapi kecacatan minda dan spiritual rakyat Palestin tetap terpahat sampai bila-bila.
Rakyat Palestin kini kian pupus dengan terbunuhnya ramai kanak-kanak Palestin. Kurangnya generasi muda dengan jiwa memberontak akan mempercepatkan misi rejim Zionis untuk menguasai keseluruhan bumi Palestin satu hari nanti dalam tempoh sedekad mungkin. Bagi warga tua hanya menanti ajal menjemput yang pastinya tiada lagi kudrat untuk melawan. Jelas dimata kita bahawa skrip kezaliman rejim Zionis sebenarnya tiada kesudahan. Apakah kita, dunia dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang digelar "Pengawas Boneka Bersekutu" kini boleh menarik nafas lega dengan pengunduran rejim Zionis. Tidak sama sekali jika kita mahu berfikir setapak lebih bijak daripada rejim Zionis.
Saya ingin sarankan agar laungan dan jeritan "Hentikan Kezaliman dan Keangkuhan Rejim Zionis" terus bermaharajalela disemua pentas persidangan dunia sepanjang tahun 2009. Kita perlu memberikan tekanan maksimum meliputi segenap aspek tanpa mengira sempadan dunia, ekonomi, politik dan pegangan agama. Usah terpukau dan terlena dengan pengunduran rejim Zionis setelah mereka dengan lahap menyembelih dan meratah tubuh, jiwa dan raga rakyat Palestin selama 23 hari.
Mereka umpama "dracula" yang kenyang sementara. Pasti mereka akan mengulangi skrip kezaliman yang sama dengan kembali menghisap darah sehingga titisan terakhir. Kita, dunia dan PBB pada masa itu akan kembali melatah dan seolah-olah baru tersedar daripada mimpi ngeri. Menjilat kembali air liur basi yang telah lama meleleh. Kita terus bersandiwara lagi walaupun jelas diminda bawah sedar kita bahawa skrip rejim Zionis hanya putaran rekod yang sama sejak lebih 60 tahun yang lalu. Kita umpama boneka (puppet) yang hanya mengikut rentak dan alunan jari-jemari rejim Zionis sambil mereka ketawa terbahak-bahak.
Wahai pemimpin-pemimpin dunia! Lihatlah dengan minda terbuka dan perasaan kemanusiaan yang tulen. Cukuplah tempoh lebih 60 tahun penderitaan terhebat yang dihadapi warga Palestin. Hentikan pengaliran darah suci rakyat Palestin yang tidak berdosa. Usah teruskan lagi babak sandiwara dengan sekadar berlegar dan mundar-mandir dimeja bulat serta melolong perkataan yang hanya gah dimulut.
Berundurnya rejim Zionis Israel bukanlah penamat babak penceritaan yang terbaik. Skrip yang terulung adalah mengembalikan kedaulatan negara Palestin dibumi Allah SWT. Rejim Zionis harus dihapuskan dari muka bumi umpama kisah Qarun (identiti puncak kezaliman) dan Fir'aun (identiti puncak kesombongan). Inilah Pasca Kezaliman yang kita inginkan bagi Rejim manusia yang tidak bertamadun dan tidak berperikemanusiaan.
Coretan "Pasca Kezaliman" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment