Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, March 9, 2008

Edisi Khas : Pasca Pilihan Raya Umum Ke-12...Tsunami Politik

Apakah perkataan yang paling sesuai untuk menggambarkan keputusan Pilihanraya Umum Ke-12 semalam? Mataku seolah-olah mengerti untuk sabar menunggu sehingga tamat siaran PRU, ASTRO AWANI pada jam 3:30 pagi.

Seperti yang aku nyatakan dalam dua (2) Edisi Khas sebelum ini, aku bukanlah pengikut setia iklim politik Malaysia. Sekadar pemerhati yang "reflektif" kepada situasi semasa. Apabila melihat satu-persatu pemimpin-pemimpin gergasi BN (UMNO, MCA, MIC & Gerakan) tumbang ditangan lawan yang sebahagiannya hanya berumur "setahun jagung", aku tertanya-tanya apakah mesej yang rakyat ingin sampaikan kepada kerajaan pemerintah?

Parti-parti Pembangkang bukan menang dengan majoriti tipis yang boleh mencetuskan pelbagai teori subjektif. Ianya jelas menunjukkan persaingan yang "terhebat". Sepanjang tujuh (7) jam aku terpaku dihadapan TV, kebanyakan kawasan yang dimenangi oleh BN walaupun menampilkan "muka gergasi", ianya mencatatkan jurang majoriti yang begitu tipis. Mencerminkan satu lagi mesej rakyat kepada wakil rakyat dan kerajaan. Bagi yang mengekalkan kemenangan, mereka hanya tersenyum "sumbing". Darah tentu mengepam kencang ke jantung mereka kerana kerusi kini semakin membara hangatnya.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 seolah-olah "SERI' kepada Parti Pemerintah dan Parti Pembangkang. Lupakan sejenak perkataan "BN MENANG MAJORITI MUDAH". Perkataan yang perlu ditonjolkan kini adalah "BN HILANG MAJORITI DUA PERTIGA". Penubuhan kerajaan seolah-olah hilang serinya kerana kejayaan BN hanya dibantu oleh negeri-negeri yang "kurang popular" iaitu Negeri Sembilan, Pahang, Melaka, Perlis, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak. Diantaranya adalah negeri-negeri "miskin" yang kelihatan masih dahagakan pembangunan fizikal dan rakyatnya masih belum "terakses" dengan maklumat terkini. BN perlu berhati-hati dengan beberapa negeri yang dikuasai kerana ianya tidak menunjukkan kemenangan mutlak. Negeri Sembilan dan Pahang mungkin menjadi negeri kritikal pada Pilihan Raya Umum akan datang.

BN "GAGAL" memerintah negeri-negeri yang "kaya dan popular" iaitu Pulau Pinang, Perak, Selangor dan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur. Nampaknya negeri-negeri sebelah pantai barat begitu "bersepakat menolak" parti pemerintah. Satu kebetulan politik yang amat "UNIK" dan menarik untuk dianalisa oleh pemerhati dan tenaga akademik politik. Negeri-negeri yang stabil pembangunannya telah menghadiahkan "mega tsunami" terhebat dalam sejarah politik Malaysia. Negeri Sembilan, Pahang dan Johor sedikit sebanyak telah terkena tempias ombaknya, cuma tak cukup deras. Aku sendiri seolah-olah terpukau dengan "arus deras" yang melanda negeri-negeri berkenaan yang di luar senarai hitam. Pemerhati politik hanya menumpukan negeri Perlis (perpecahan di saat-saat akhir) dan Kelantan (kempen GAH menawan semula). Rupanya meneropong di tempat yang salah. Seumpama ada kuasa "ajaib" yang amat sakti yang mempengaruhi undi rakyat dalam Pilihan Raya kali ini. Cukup pelik!

Pada aku inilah keputusan yang mencerminkan betapa rasionalnya pemikiran dan perasaan rakyat. Budaya pemikiran rakyat kini telah berubah. Rakyat yang kita kategorikan "atas pagar" mungkin kini telah turun dari pagar dan berpijak di bumi nyata. Mereka rela mengambil "risiko" berbanding hanya enak mendengar cerita dongeng sejak zaman-berzaman sambil mencangkung di atas pagar. Ini bukan lagi zaman "penjajahan dan perjuangan" atau zaman "membalas budi" tetapi adalah zaman yang begitu "realistik" kepada ideologi kebebasan politik. UMNO tidak boleh lagi memomokkan rakyat dengan mengulangi skrip dan dialog sama yang mungkin telah "lapuk" kepada generasi muda kini. Inilah yang perlu dinilai oleh pemimpin-pemimpin BN terutama UMNO sebagai parti pemimpin.

Aku amat pasti bahawa parti BN yang menjadi pemerintah kerajaan pusat dan beberapa "negeri kerdil" tidak akan tidur lena apabila Dewan Rakyat dan Dewan Negara memulakan penggal persidangannya. Pastinya juga nanti wakil rakyat Parlimen BN tidak lagi sesuka hati "ponteng" daripada menghadiri persidangan seperti penggal-penggal yang lalu. Kelak nanti polisi dan dan dasar kerajaan sukar diluluskan oleh Parlimen. Kenalah terima kenyataan bahawa BN bukan lagi memonopoli keputusan dengan hanya memejamkan mata. Pasti kerajaan atau BN berada di dalam situasi yang sukar untuk melawan arus suara kebangkitan wakil rakyat Parlimen parti Pembangkang yang kini "lantang berhemah". Aku cukup gemar apabila mendengar Karpal Singh, Lim Kit Siang dan Tan Seng Giaw berhujah. Hujah yang begitu realistik. Tidak seperti hujah pemimpin kerajaan yang seumpama "robot". Cuma, aku berharap tiadalah budaya persidangan yang baru di Malaysia seperti peristiwa baling-membaling kerusi dan meja serta bertumbuk sakan di dalam Dewan seperti sebahagian negara di dunia.

Satu peralihan "budaya kepolitikan" yang menarik untuk disaksikan untuk tempoh empat (4) tahun akan datang. Kini, tiba masanya parti-parti politik dan pemimpin-pemimpin merealisasikan manisfesto yang diwar-warkan. Rakyat secara keseluruhannya tidak perlu dihukum gara-gara perubahan iklim politik ini. Ini bukan lagi zaman "Pak Turut" yang bila "diurut" akan "mengikut". Bukan seperti ikon Bank Rakyat..."SAYA MESTI PILIHHHH...." Tahun 2008 adalah tahun eksperimen. Empat (4) tahun lagi, jika tidak betul caranya samada dipihak BN atau Parti Pembangkang, pastinya rakyat akan melaungkan ikon Suara Rakyat...SAYA MESTI TUKARRRR"...

Inilah proses demokrasi..."Kepimpinan Rakyat untuk Rakyat..."

Catatan "Perubahan" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, March 8, 2008

Edisi Khas : Rahsia Satu Undi

08hb Mac 2008 (Sabtu)
Pagi ini aku rasa begitu bersemangat dan teruja. Gara-gara Pilihan Raya Umum Ke-12. Tahun 2008 merupakan kali ketiga aku memangkah undi.

Kali pertama aku memangkah Parti A, kali kedua Parti B dan kali ketiga hari ini...masih lagi mencari ilham.

Kesimpulannya, rekod pangkahan aku amat "berbunga" dan tidak akan mengikut corak yang sama iaitu "AAA". Pemikiran reflektif yang aku terjemahkan dalam bentuk pangkahan. Undi tetap RAHSIA!

Seketika, aku rasa amat bertuah hidup dibumi Malaysia. Sepanjang jalan penuh dengan poster lambang parti dan tidak kurang juga poster wajah calon-calon parti.

Pelbagai bentuk wajah dan senyuman dapat dilihat. Mengalahkan artis. Tidak kurang juga sepanduk-sepanduk yang memaparkan kenyataan-kenyatan yang berunsur sentimen dan isu sensitif. Kempen yang begitu terserlah kebebasannya. Tidak perlu meminta kelulusan Majlis Perbandaran untuk menampal poster dan memacak sepanduk. Tiang-tiang dan tembok-tembok diberikan "make-up" wajah baru selama dua (2) minggu.

Di Pusat Mengundi pula, suasana amat meriah dengan senyuman manis "Perayu Undi" tidak kira daripada parti pemerintah atau parti pembangkang. Tiada kejadian tidak sihat berlaku. Ini melambangkan kematangan rakyat dan negara Malaysia. Walaupun ada beberapa tragedi yang menyalahi undang-undang dibeberapa tempat, pada aku ianya tidak mencacatkan perjalanan Pilihan Raya Umum Ke-12.

Di Pusat Mengundi Parlimen Bandar Tun Razak, perlawanan hanya melibatkan 2 penjuru sahaja. Cina (BN) lawan Melayu (KeADILan). Adakah sentimen bangsa akan memainkan peranan? Adakah lambang dan rekod parti lebih penting daripada rupa dan personaliti calon? Adakah masyarakat inginkan selera baru? Adakah isu semasa akan menentukan kemenangan parti pembangkang? Segalanya begitu subjektif. Aku sendiripun sehingga masuk pintu pagar Sekolah Kebangsaan Pengkalan Tentera Darat, Sungai Besi masih lagi terawang-awang. Undi tetap RAHSIA!

Suasana di Pusat Mengundi dan Saluran Bilik Mengundi kelihatan amat teratur. Ada Petugas SPR yang menunjuk arah dibantu oleh "signage" yang jelas. Anggota Polis yang bertugas juga begitu mesra pelanggan. Petugas SPR pula begitu sistematik menjalankan peranannya. Cuma, aku tidak bersetuju apabila Petugas SPR memotong nama aku untuk senarai periksa dengan hanya menggunakan pensil. Patutnya menggunakan pen dakwat kekal bagi tujuan mengelakkan isu berbangkit.

Di meja pangkahan, tanpa berlengah lagi aku terus memangkah. Hanya aku seorang sahaja di bilik berkenaan sambil diperhatikan oleh lapan mata (empat petugas). Satu pangkahan "X" yang begitu teliti, tajam dan mencengkam. Lantas aku memasukkan kertas undi kedalam Kotak Plastik Lutsinar dan berlalu pergi sambil memberikan senyuman 4 tahun sekali kepada Petugas SPR. Selesai sudah tanggungjawab aku kepada negara.

Aku perlu bergegas kembali ke kereta kerana isteriku mengundi di Pusat yang lain pula (Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Besi). Bila ditanya hendak memangkah parti apa...jawapannya...Undi adalah RAHSIA!

Seketika, teringat aku lagu "evergreen" Marilah Mengundi yang tidak silap aku telahpun wujud sejak tahun 1970an lagi. Lirik lagu yang mudah diingat dan mempunyai melodi yang indah...

Lirik Lagu Marilah Mengundi

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Hari undi akan tiba
Kekalkan demokrasi
Gunakan hak kita yang asasi

Fikir terlebih dulu
Dengan akal bestari
Sebelum membuang undi
Yang dihargai

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Jangan lupa kad pengenalan
Serta nombor daftar undi
Masa tidak kerugian
Membuang mengundi

Bila memangkah kertas undi
Harus kita berhati-hati
Kalau salah tak berganti
Sesal sendiri

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara

Marilah mari
Pergi mengundi
Jangan lupa kewajipan
Pada negara


Catatan "RAHSIA" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRro
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, March 2, 2008

Umpama Banduan Terlepas..."Back To The Future II"


...Kembali ke zaman silam...1987...

Coretan kali ini aku tuju khas untuk sahabat aku yang bernama Samari Abd Rahim @ Lekirj. Sahabat yang juga ghairah mencari rakan-rakan lama dan kebetulan terjumpa blog aku dihalaman "Yahoo Search".

Samari, kini nama penuh kau telah aku berikan "internet access" dengan adanya blog aku ini. Kau kini bukan lagi dalam ketegori "Orang Hilang". Nama kau kini wujud hingga ke penjuru dunia. Inilah kelebihan dunia siber.

Seperti yang dijanjikan, episod terbaru siri "Back To The Future" kali ini memaparkan tiga (3) orang sahabat sekamar (Zamer, Nizam & Ariff) yang mengambil risiko paling bahaya dengan bersiar-siar di bandar Johor Bahru ditengah malam buta. Satu kesalahan disiplin yang berat jika tertangkap. Episod RAHSIA yang tidak pernah wujud didalam fail sulit SMTJB. Kini aku telah membongkarnya.

Jam 10:00 malam, Asrama B4, Ibnu Sina, 20 September 1987

...Suasana Asrama Ibnu Sina B4 terasa begitu hening. Ada penghuni yang leka melayan televisyen di bilik rehat. Ada yang bersidai di koridor dan birai katil sambil berbual kosong. Satu (1) jam lagi (pukul 11 malam), loceng asrama akan menjerit menandakan waktu tidur telah tiba. Seperti rutin harian, lampu-lampu asrama akan dipadamkan. Jika tidak, akan kedengaran suara Warden Asrama menjerit memberikan amaran.

Aku pula berangan kosong sambil mata melolos jauh meneropong bangunan Jabatan Pendidikan Negeri Johor yang tersergam dalam kesamaran. Terasa begitu nyaman apabila sesekali angin malam yang dingin menghembus menerjah tingkap asrama.

Tiba-tiba entah apa mimpinya, terpacul keluar dialog spontan daripada mulut Nizam yang berada di sebelah katil aku..."Woii...jom kita keluor bandor" sambil kakinya melompat pantas turun dari birai katil "double decker".

Sambil mata membulat aku membangkang..."Gila ke kau...nak keluar malam-malam buta ni. Kena tangkap dengan Warden, mahunya kita dibuang sekolah". Aku kembali melemparkan pandangan ke luar tingkap. Malas nak melayan.

"Pengecutlah kau ni Zamer...kita keluar ikut pagar belakanglah...jomlah..." Nizam masih lagi dengan tekadnya.

Ariff yang kebetulan lalu disebelah katil aku lantas bersuara "Elok jugak idea tu. Akupun tengah boring ni".

Hantu mana yang telah menghasut aku, akhirnya aku bersetuju dengan cadangan gila Nizam (budak Jawa Muar). Satu kepelikan pula. Aku bukanlah pelajar bermasalah yang suka membuat onar. Disiplin diri cukup aku jaga sepanjang masa. Cuma, ada ketika aku terlajak mengikut naluri awal remaja. Satu-satunya peristiwa yang memburukkan rekod disiplin aku hanyalah ketika ditangkap tidur haram di kamar A9 Ibnu Khaldun semasa awal tahun (Episod Berani Kerana Benar...Back To The Future II).

Setelah bersiap ringkas dan selepas lampu asrama dipadam, kami lantas menyusup dan menyelinap keluar tanpa disedari oleh rakan-rakan asrama. Nizam bertindak sebagai ketua. Mengarahkan aku dan Ariff mengekori langkahnya. Kami meredah kegelapan malam dengan mengikuti jalan belakang asrama. Perlahan-lahan melangkah dan sesekali berlari anak melepasi kolam ikan dan bangunan sekolah Blok B sambil mata liar memerhati persekitaran.

Kini tiba di transit terakhir yang lebih mencabar sebelum pagar belakang sekolah ditembusi. Kami perlu melepasi pandangan Pak Guard yang kelihatan mundar-mandir dipondok pengawal. Nizam yang tindakannya umpama Sarjan Saunders, lakonan Vic Morrow dalam drama Combat begitu terserlah kepimpinannya. Aku dan Ariff hanya mengikut telunjuk dan arahannya tanpa banyak soal.

Fuhh! lepas daripada penglihatan Pak Guard. Kini, kami terpaksa meredah kebun jagung pelajar-pelajar Sains Pertanian sebelum menghampiri pagar sekolah. Nizam yang kelihatan pakar dengan selok-belok kawasan sekolah lantas mengarahkan kami meniarap sambil dia mengangkat bahagian bawah pagar yang telah rosak. Akhirnya, kami berjaya melepasi sempadan sekolah dan tanpa berlengah kami berlari 100 meter menuju perhentian bas awam yang jaraknya 300 meter dari bangunan sekolah. Satu kelegaan tambahan apabila kami berjaya menahan sebuah teksi untuk menuju bandar Johor Bahru.

Di bandar Johor Bahru, kami bertiga seperti tidak berhaluan hanya mengikut langkah kaki. Nizam masih lagi menjadi pemimpin kami. Semua kompleks membeli-belah habis kami jelajahi tetapi hanya pintu kompleks sahaja mampu kami lihat kerana waktu telah menunjukkan jam 12:00 tengah malam.

Kami kemudian menyusuri jalan yang dikenali "belakang lorong". Tiba-tiba kami ditegur oleh tiga (3) kelibat bayang yang berada dibelakang kami. Kelihatan seperti wanita tetapi bertubuh besar.

"Haiiiii...adik-adik comel...marilah sini...nak kemana tu..owww? satu suara yang amat garau memecah keheningan belakang lorong. Suasana yang gelap-gelita menambahkan lagi ketakutan kami.

Setelah kami pasti suara itu datang dari golongan "Pondan" yang mencari pelanggan, kami tanpa berlengah, sekali lagi berlari pecut 100 meter. Kedengaran hentakan sepatu mengejar kami dari belakang. Tanpa menoleh, kami menambah lagi pecutan lipas kudung sehingga jarak 200 meter.

Setelah tercungap-cungap dikejar Pondan, kami menyusuri pula jalanraya dipersisiran Pantai Lido. Agak panik juga apabila sesekali kelihatan kereta peronda Polis melintas. Kami akan berpura-pura seperti menunggu teksi. Kaki dan badan terasa letih. Kami tidak lagi rajin berceloteh seperti sebelumnya. Diam seribu bahasa. Jam menunjukkan tepat pukul 2 pagi. Ariff yang kelihatan amat letih mencadangkan kami pulang. Tanpa banyak suara, kami akhirnya bersetuju.

"Pakcik..pakcik...berhenti kat sini ajelah". Suara Nizam mengejutkan aku daripada lena. Kami bertiga keluar daripada perut teksi betul-betul dipersimpangan masuk ke lorong sekolah. Tujuannya agar kami dapat kembali menyusup melalui pagar rosak dibelakang sekolah tadi.

Tiba-tiba Nizam menjerit "Woii...cepat masuk ke dalam longkang. Ada kereta kat belakang".

Sepantas kilat kami bertiga melompat kedalam longkang besar di tepi jalan. Nasib baik tiada air. Kalau tidak habis busuk satu tubuh badan.

Setelah hilang lampu kereta yang menyilau pandangan, kami memanjat keluar dan terus terburu-buru berlari anak menuju pagar rosak yang terletak diantara sempadan sekolah dan Jabatan Pendidikan Negeri Johor. Pengalaman mengajar kami. Nizam tidak perlu lagi mengarah kami satu-persatu. Sekelip mata sahaja kaki kami telahpun tiba dipenjuru bangunan asrama Ibnu Sina. Tiada cabaran hebat lagi pada jam 3:00 pagi. Pak Guard pasti dah lena dibuai mimpi.

Tanpa banyak bercakap, kami lantas menuju katil masing-masing. Suasana sepi terganggu seketika dengan bunyi keriut katil. Aku terus melabuhkan badan sambil fikiran melayang mengimbas kembali peristiwa empat (4) jam yang lalu. Cukup tidak berbaloi sekiranya tertangkap.

Umpama Banduan Terlepas...itulah ungkapan paling tepat bagi mengambarkan tindakan tidak bijak kami bertiga. Esok, aku akan kembali menjalani rutin harian seperti biasa. Biar pecah diperut jangan pecah dimulut. Itulah perjanjian kami bertiga.

Kini, bukan pecah dimulut, bukan juga pecah diperut tetapi pecah di blog. Rahsia kami bertiga kini telah terbongkar. Tiga (3) banduan yang terlepas 21 tahun dahulu masih lagi terlepas dan akan terus terlepas sampai bila-bila..."Back To The Future..."


Coretan "Terlepas" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, March 1, 2008

Pengaruh Muzik Dunia..."Back To The Future II"


...Kembali ke zaman silam...1983-1984...

Kini aku beralih ke alam awal remaja. Sekolah Menengah Datok Lokman, Jalan Kampung Pandan merupakan medan seterusnya dalam menimba pendidikan formal. Sekolah yang majoritinya dikuasai oleh pelajar-pelajar Cina. Budaya samseng dan kelompok bangsa (Melayu, Cina dan India) memang terserlah ketika itu. Kes-kes pergaduhan sentiasa sahaja kedengaran. Di dalam tandas, di belakang bangunan makmal dan tidak kurang juga berjumpa dan "berperang" dengan kepala tali pinggang besi di luar pagar sekolah.

Cuma aku bukanlah didalam kategori pelajar bermasalah. Sekadar pemerhati jarak jauh dan sentiasa mengelakkan diri daripada bergaul dengan kaki samseng dan kaki gaduh.

Dalam suasana perkauman pelajar yang terkawal, aku dan rakan-rakan cukup "fanatik" dengan era ledakan muzik dunia ketika itu. Kumpulan-kumpulan muzik Rock seperti ACDC, Deep Purple, Scorpian dan sebagainya sentiasa menjadi bualan hangat dan model pemakaian pelajar-pelajar. Ketika itu, kepala tali pinggang besi waja berukiran huruf "ACDC" cukup popular dan digemari. Beg sekolah pula terpapar lukisan nama kumpulan muzik tersohor dunia. Beg sekolah aku juga tidak terkecuali memaparkan lukisan tangan yang unik.

Tahun 1983-84 juga menyaksikan pengaruh hebat muzik pop terutama melalui Raja Pop Dunia, Michael Jackson. Berkulit gelap, bertubuh kurus dan berambut kerinting sudah cukup menjadikannya ikon masyarakat dunia. Membuatkan anak-anak gadis terjerit dan terlolong bagai terkena histeria. Lirik dan melodi "Billie Jean" dan "Beat It" cukup berhantu dan menjadi siulan (sekurang-kurangnya melatih pelajar-pelajar sekolah berbahasa Inggeris). Gerak tarinya menjadi ikutan sehingga seluar sekolahpun dijahit muat-muat ukuran betis dan paha. Sambil berjalan, pelajar-pelajar seumpama terkena penyakit "kenan" akan berhenti dan meniru tarian Raja Pop kulit hitam ini.

Pengaruh melodi muzik yang lain juga tidak kurang hebatnya. Tahun 1984 seumpama letupan gunung berapi aliran muzik dunia. Nama penyanyi-penyanyi dan kumpulan-kumpulan muzik dunia seperti Billy Joel, David Bowie, Tina Turner, Lionel Ritchie, Cyndi Lauper, Prince, Bryan Adams, Bon Jovi, Bruce Springsteen, Stevie Wonder, Rod Steward, Bonnie Tyler, Sheena Easton, Kumpulan Police, Kumpulan Queen, Kumpulan Duran-Duran, Kumpulan Air Supply, Kumpulan Rolling Stones dan Kumpulan Culture Club sudah tidak asing lagi dalam mempengaruhi minda, perasaan dan tingkahlaku masyarakat dunia.

Lagu Uptown Girl, All Night Long, Born In The USA, Purple Rain, I Just Called To Say I Love You, She Bop, Dancing In The Dark, Breakdance, Thriller dan Girls Just Want To Have Fun pula sentiasa menjadi penghibur jiwa lara. Dalam perjalanan pulang dari sekolah ke rumah, Pakcik Samy pemandu bas sekolah akan sentiasa memainkan video muzik rakaman lagu-lagu popular ini. Terasa begitu bersemangat dan bertenaga apabila mendengar lagu "Uptown Girl" berkumandang sambil mata menjeling minah-minah berkain biru yang boleh tahan daya tarikannya.

Detik waktu ini juga menyaksikan "penyakit" tarian 'breakdance" pantas menular ke dalam jiwa pelajar-pelajar sekolah. Pantang nampak simen licin, pelajar-pelajar sekolah akan mengayakan tarian patah pinggang, patah kepala, patah tangan dan patah jari. Cukup berbangga menayangkan tarian kepada orang ramai yang lalu-lalang. Ada ketika, dua kumpulan pelajar akan bertemu dan bertanding tarian "breakdance" ini diluar kawasan sekolah sementara menanti loceng sekolah berbunyi.

Aku pula hanya mampu menarikan pergerakan patah jari dan patah tumit kaki. Terbalik dan telangkung sambil kepala berputar dan bergesel dengan simen cukup gerun untuk dilakukan. Silap haribulan, berpotensi untuk menjadi penghuni wad ICU.

Kini, pengaruh muzik 1983-1984 hanya tinggal nostalgia. Sebahagiannya masih lagi evergreen sehingga kini. Sesekali apabila mendengar lagu-lagu ini dicorong radio Sinar FM, fikiran aku akan terbang untuk memetik suis kenangan yang telah berusia 24-25 tahun. Terkenang rakan-rakan yang sama-sama menari dan menyanyi di dalam bas sekolah. Sesekali sayup-sayup kedengaran Pakcik Samy pemandu bas menjerit..."Wooiiii...lu orang tak reti duduk diam ka...". Cukup meriah, kecoh, heboh dan riuh.

Catatan "Evergreen" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, February 22, 2008

Akulah No.1..."Back To The Future I"


...Kembali ke zaman silam...Tahun 1981...

Sekolah Rendah Kebangsaan Salak South, Jalan Sungai Besi
perlahan-lahan menjelma indah di sudut memoriku yang telah menjadi Arkib. Sesi penggal pertama persekolahan telahpun bermula. Kini aku di Darjah 5. Segalanya baru. Rakan baru, cikgu baru dan pakaian baru. Keseronokan dan ketakutan silih berganti. Apatah lagi tahun ini merupakan tahun terpenting kerana ada Penilaian Darjah 5.

Cepat detik berlalu. Keputusan ujian bulan Februari 1981 telahpun diumumkan oleh Cikgu Rohana. Lantang sungguh Cikgu Rohana melaungkan "No.1 untuk ujian bulan Februari adalah milik Siti Fatimah". Aku kurang pasti aku dapat nombor berapa pada masa itu. Apa yang aku pasti aku mulai rasa "cemburu" terhadap kejayaan Siti Fatimah yang tinggi lampai. Aku kian panas apabila memerhatikan tingkah laku dan mimik mukanya yang "berbangga selamba". Memang layak dia berbuat demikian...No. 1 dalam kelas. Aku tidak berhak mempertikaikan sikapnya.

Mulai saat itu, tiba-tiba datang satu "perasaan dan semangat luar biasa" dalam diri aku. Disudut minda dan emosi paling ceruk, aku telah menanam azam yang cukup kuat..."Siti Fatimah...ujian bulan Februari adalah hak kau, tapi mulai ujian bulan Mac dan seterusnya aku akan pastikan kau gagal". Dialog yang cukup "jahat" tetapi memberikan motivasi tinggi dalam diri aku.

Ujian bulan Mac telahpun selesai dijalankan. Seperti biasa, Cikgu Rohana akan berdiri di hadapan kelas sambil memegang sehelai kertas. Perasaan mulai gementar. Persaingan cukup sengit kerana sebelum ini, seisi kelas hanya memberikan tumpuan khas kepada Siti Fatimah. Setiap kali cikgu mengedarkan Kertas Ujian yang telah ditanda dengan markah peratusan (%), pastinya Siti Fatimah akan menjadi "benchmark" murid-murid lain. Aku adalah murid yang "low profile".

"Kali ini ada sedikit kejutan kerana kedudukan tiga (3) tempat teratas telah berubah" Cikgu Rohana mulai bersuara memecah kesunyian dengan sedikit senyuman manis terukir.

Akhirnya keputusan diumumkan. Siti Fatimah telah menduduki tangga No. 2 (Hari Ini Dalam Sejarah). Kedudukan No.1 telah berjaya "dirampas" oleh tidak lain dan tidak bukan...dengan lantang Cikgu Rohana menyebut nama..."Zamer Rizal bin Osman". Semua murid seolah-olah terpinga-pinga. Pada aku ianya merupakan "detik pemulaan" untuk langkah dan strategi seterusnya. Aku hanya memerhatikan Siti Fatimah yang kelihatan tersentak dengan keputusan Ujian terbaru.

Semasa waktu rehat, rakan-rakanku mengadu bahawa Siti Fatimah membebel bahawa dia akan merampas kembali kedudukan No. 1 untuk Ujian Bulanan seterusnya. Difikiran aku ianya satu persaingan yang hebat. Kejayaan pertama telahpun aku peroleh dengan merampas kedudukan No. 1. Kejayaan kedua kini menjelma kerana aku berjaya menggugat ketenteraman Siti Fatimah. Kejayaan ketiga akan berterusan dengan tumpuan rakan-rakan yang kini mulai "beralih arah" kepada aku. Satu keseronokan semulajadi dalam usia muda 11 tahun.

Alamak...murid baru melaporkan diri. Namanya "Hartini". Wajah yang cukup manis dan menjadi idaman jejaka-jejaka yang belum baligh. Aku salah seorang yang dalam usia hingusan mulai memendam perasaan yang amat unik. Ahh...ianya tidak mampu sama sekali menggugat cita-cita asal aku untuk mencipta sejarah seterusnya. Hartini pasti menjadi "pemangkin" aku untuk cabaran-cabaran yang pasti hadir terutamanya dalam menangani kata-kata sinis Siti Fatimah..."Zamer, aku pasti bulan Februari sahaja kau berjaya...bulan-bulan yang lain jangan kau harap". Kasarnya dialog Siti Fatimah.

Seperti yang aku pasti sejak daripada awal, sememangnya kejayaan demi kejayaan adalah hak milik aku sepanjang tahun. Aku tidak leka dan tidak menoleh kebelakang lagi. Tahun 1981 adalah kejayaan mutlak aku. Siti Fatimah hanya berjaya memperolehi dua (2) kejayaan yang tidak membanggakan. Sekadar No. 1 Ujian bulan Februari dan Tempat Kedua untuk Keputusan Keseluruhan Tahun 1981. Siti Fatimah hanya sekadar mengekori aku dengan rapat tanpa berjaya "mencantas" aku. Aku berjaya mengekalkan prestasi No. 1 dalam kelas untuk semua Ujian Bulanan (bermula bulan Mac), Peperiksaan Pertengahan Tahun dan Peperiksaan Akhir Tahun. Begitu konsisten.

Majlis Anugerah Murid Cemerlang 1981 adalah kemuncak kepuasan. Kemuncak ini telah aku rakamkan dalam sebahagian kata-kata puitis dalam "Puisi Untuk Atuk-Kini Atuk Telah Tiada" pada bulan Mei 2007...

Atuk pernah tersenyum bangga
Berkaca melihat aku gembira
Menerima Anugerah Pelajar Nombor Pertama
Dalam kelas Darjah 5 akulah Juara

Arwah Atuk adalah "saksi" kejayaan aku. Siti Fatimah adalah "saingan" untuk kejuaraan aku. Di satu sudut minda aku yang positif, aku berterima kasih kepada Siti Fatimah kerana kata-kata sinisnya sepanjang tahun 1981 benar-benar "membakar" semangat aku. Aku telah membuktikan bahawa kejayaan boleh diperolehi oleh semua orang jika kita benar-benar "percaya" bahawa kita boleh melakukannya. Cantiknya, kejayaan ini bukan sekali, bukan dua kali tetapi kejayaan yang "konsisten" yang tidak semua orang boleh melakukannya.

Akulah No. 1...Hadiah Buku "Tom Sawyer" masih lagi kekal disudut memoriku yang terindah. Kini anak aku Zuhairi @ Abang mengulangi sejarah yang sama...No. 1 dalam Darjah 4 (Tahun 2006). Setahun lebih awal daripada aku..."Back To The Future..."

Catatan "No.1" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, February 17, 2008

Edisi Khas : Pilihan Raya Umum Ke-12...Kebebasan Minda

...Tanggal 08 Mac 2008, satu lagi detik bersejarah akan terpahat. Mampukah Pembangkang mengekalkan "kuasa ajaib" mereka di Kelantan. Satu-satunya negeri yang begitu "unik" iklim politiknya. Mampukah PAS, KeADILan dan parti-parti pembangkang yang lain "memecah undi" rakyat.

Aku tidak berminat untuk memperkatakan siapa menang dan siapa kalah. Aku juga tidak berminat mengulas "ketelusan jentera pilihan raya". Aku juga nak "termuntah" jika membicarakan "kempen serangan peribadi" dan "undi hantu". Isu lapuk yang kian berkulat.

Aku cuma berminat memerhatikan "gelagat dan karenah" pemimpin-pemimpin politik. Seperti biasa apabila timbul musim Pilihan Raya, masing-masing akan cuba menonjolkan "kredibiliti" dan tidak kurang juga "melatah". Pemimpin yang merah "report card" akan cuba "membirukannya" dengan pelbagai cara. Inilah "kecantikan" politik yang kadangkala hanya tempelan bedak sejuk dan"make-up" diwajah yang telah terserlah buruk.

Pemimpin-pemimpin "otai" mulai terasa bahang. Cuba menonjolkan sikap "keterbukaan" dalam "kesempitan ruang" dikepung pemimpin-pemimpin muda. Hanya mampu menyerlahkan "pengalaman berzaman", "ketuanan" dan "ketuaan" dalam arena politik. Unsur "kematangan" memimpin pasti menjadi "azimat berharga" pemimpin-pemimpin otai.

Pemimpin-pemimpin "muda" pula masih lagi menampilkan "kesopanan dan ketertiban" dalam berkata-kata dan bertingkahlaku yang sentiasa menghormati pemimpin-pemimpin "otai". Secara tidak langsung cuba menyampaikan mesej tersirat terhadap perlunya "kepimpinan muda" yang "lebih bertenaga" dan penuh "sarat" dengan idea membina.

Secara peribadi, aku amat bersetuju sekiranya beberapa muka "otai" ditukar dengan muka-muka baru. Sejak aku bersekolah sehingga kini, muka-muka "senior-veteran" ini masih kekal "bertaring". Apakah petua mereka yang kekal "awet muda" dalam gelanggang panas politik?

Pemimpin-pemimpin "otai" sekiranya dinilai dialog mereka hanyalah mengulangi skrip yang sama. Membosankan. Turunlah dari tahta sebelum anda "diturunkan" dengan pelbagai cara...seumpama bekas pemimpin SXX baru-baru ini.

Mengimbas kembali sejarah aku mengundi selama dua penggal dahulu, tiada apa yang mengejutkan. Jika diperhatikan jentera Pilihan Raya BN, aku sudah dapat mengagak keputusannya. Tiada jentera pembangkang yang mampu menongkah arus. Desas-desus di sana- sini sentiasa kedengaran terhadap kecanggihan dan keberkesanan jentera BN. Kempen yang begitu menyeluruh sehingga ke akar umbi. Cukup berjaya.

Cuma kadangkala aku terfikir bahawa masyarakat kita ini "mudah lupa". Kempen besar-besaran selama sebulan atau dua minggu sebelum Pilihan Raya seolah-olah "pesta" yang boleh mengaburi "biji mata" kita. Jika dinilai sebelum diumumkan pembubaran kabinet, masyarakat sentiasa "merungut" terhadap prestasi wakil rakyat mereka. Tidak cukup mengumpat di warung kopi atau di batas sawah padi, media massa dan elektronik dijemput untuk merakamkan kekecewaan. Kini, dimanakah rekod umpatan dan cacian mereka? Tenggelam dalam kempen pilihan raya yang "terhebat". Semuanya kini enak didengar.

Sepatutnya, rakyat harus mengambil peluang "menghukum" wakil rakyat mereka sekiranya mereka dicalonkan semula. Jika mereka tidak dicalonkan kerana "dakwat merah" dalam laporan prestasi mereka, parti yang mencalonkan mereka (tidak kira samada BN, PAS, KeADILan atau XYZ) harus dihukum terhadap kegagalan kepimpinan parti selama 4-5 tahun. Baru mereka ini tahu tinggi-rendah langit dan bumi. Minda dan perasaan rakyat usah diambil ringan.

Lihat sahaja negeri Kelantan dahulu. Dek kerana "kealpaan" pemimpin-pemimpin BN pada ketika itu, bukan seorang, bukan dua orang tetapi keseluruhan jentera kepimpinan parti terkuat BN "lumpuh" dalam sekelip mata. Bertempiran lari "tidak cukup langkah" pemimpin-pemimpin yang dianggap "terunggul". Rakyat negeri Kelantan "bijak menghukum" dan "tidak kelabu biji mata" dengan "kempen bermusim". Sejarah tidak popular inilah yang harus kita belajar daripada "sudut minda yang berbeza".

Aku bukanlah "penyokong fanatik" parti-parti pembangkang. Tidak juga "peminat setia...dulu, kini dan selama-lamanya" parti-parti pemerintah. Aku cukup "reflektif" dalam membuat penilaian. Undi tetap rahsia. Cuma kadangkala "kerahsiaan" ini harus diteluskan secara tidak langsung melalui "keterbukaan idea dan pemikiran". Ini yang sedang aku lakukan...

"Selamat Mengundi...Dulu...Kini...Dan Tidak Selamanya"

Coretan "Rahsia" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tika Dan Saat Ini - Medicine..."Back To The Future IV"