Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, August 15, 2009

Santai Kehidupan 5: Lanun Malaya

Hari Isnin ini (17hb Ogos 2009) sehingga 19hb Ogos 2009, aku yang kini dikenali sebagai "Ketua Lanun Malaya" bersama 90 orang lanun-lanun dari serata pelusuk dunia seperti Lanun Selat Tebrau, Lanun Laut Cina Selatan, Lanun Laut Sulu, Lanun Tasik Dayang Bunting, Lanun Sri Langka, Lanun Sungai Nil, Lanun Laut Merah, Lanun Laut Mati, Lanun Segitiga Bermuda, Lanun Lautan Atlantik, Lanun Cetak Rompak dan segala jenis lanun akan melabuhkan bahtera kami di Sibu Island Resort (SIR), Johor untuk mencari harta karun.

Beginilah imej terbaru aku yang ketara berbeza dengan imej ZoRrO...



Aksi "Brutal" oleh:
Zamer Rizal Osman @ Lanun Malaya
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, August 9, 2009

Edisi Khas 17: Filem Kita Warna Kita


KOTA KINABALU 8 Ogos - Filem Papadom arahan Afdlin Shauki yang akan ditayangkan pada 8 Oktober ini diumumkan Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 22 (FFM22) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini malam ini.

Kemenangan Papadom itu melayakkan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan hadiah RM100,000 berupa kemudahan penerbitan perfileman.

FFM22 yang bertemakan 'Filem Malaysia ke Persada Dunia' dianjurkan Finas dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan kerajaan Negeri Sabah.

Malam semalam semasa sedang leka menjamu selera dimeja makan, telinga aku terdengar bunyi tepukan melalui kaca televisyen dari bilik belakang.

"Adik, cerita apa tu?"

"Festival Filem." ringkas jawapan Amira.

Fikiran aku mengimbas kembali coretan berita yang aku baca di dada akhbar baru-baru ini. Teringat bahawa filem BOHSIA adalah salah satu pesaing hebat dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik melalui pelakon baru Saina Saibi. Filem BOHSIA yang membuatkan aku meluat dengan budaya perfilemen Malaysia. Perasaan menyampah yang aku luahkan melalui aduan ke Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Sedikit-sebanyak melatahkan Pegawai-pegawai Kementerian kerana sikap aku yang akan berterusan membuat susulan sehingga menemui titik noktah. Terpukau seketika kerana Datuk Yusof Haslam sendiri menjawab aduan aku (entah-entah Pegawai Komunikasi beliau yang menulis). Maklumbalas yang aku sendiri boleh agak dan baca corak pemikiran mereka.

Nampaknya filem BOHSIA tidak pulang dengan tangan kosong. Aku cuba membayangkan jika filem ini membolot banyak kategori anugerah. Pada aku ianya pasti meninggalkan kesan sampingan yang aku akui amat subjektif untuk dinilai dengan mata kasar. Isu filem BOHSIA yang seperti mengangkat imej BOHSIA dan MAT REMPIT atau SAMSENG JALANAN senyap-sunyi tanpa susulan kajian. Hanya ribut diawal musim dan hangat di ruangan forum maya.

Aku hanya ingin mempercayai bahawa inilah hakikat budaya menangani isu di Malaysia. Sudah Terantuk Baru Nak Terngadah, itulah perumpamaan yang paling tepat. Bila Nasi Sudah Menjadi Bubur, masa itulah tak cukup jari hendak menuding pihak bertanggungjawab. Tidak cukup jari tangan, jari kaki akan dinaikkan. Membosankan.

Aduan kedua aku ke KPKK terhadap ura-ura penayangan filem "ANU DALAM BOTOL" atau tajuk berlapiknya "BOTOL DALAM ALMARI" masih dalam kekaburan. Pihak FINAS telahpun menjawab aduan aku dengan begitu berhemah. Pegawai KPKK yang amat cekap dan pantas memajukan aduan aku ke pihak FINAS. Menepati KPI tugas yang ditetapkan. Syabas!

Sehingga kini pihak FINAS masih belum lagi mengemaskini aku tentang pelan tindakan mereka terhadap budaya perfileman Malaysia. Aku pasti mesyuarat demi mesyuarat akan dianjurkan yang hanya sekadar menghabiskan boreh kata orang Negeri Sembilan. Pada masa mereka sibuk bermesyuarat dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bernada politik, Penerbit-penerbit dan Pengarah-pengarah Filem semakin khayal dan gila untuk menghasilkan versi filem yang tidak bermaruah dan tidak membina pemikiran. Menggunakan alasan murni untuk kepentingan KomerSIAL. Jelas di mata dan fikiran aku.

Percayalah bahawa sekiranya tiada pihak dan Badan-badan Penguatkuasa yang berani mengambil langkah perlu dan pantas dalam mencorakkan budaya perfileman Malaysia, satu ketika nanti negara kita akan dibanjiri dan dilemasi dengan tema filem yang akan mencetus dan meransangkan BUDAYA NEGATIF generasi muda. Kawallah wahai Menteri dan Pegawai-pegawai KKPK sebelum terlewat. Anda bertanggungjawab untuk mendidik Penerbit-penerbit dan Pengarah-pengarah Filem. Usah banyak sangat menuntut ilmu "Tak Apa" dan "Tai Chi".

Pada masa itu tema "FILEM MALAYSIA KE PERSADA DUNIA" hanya sekadar momokan dan catatan cantik dalam buku sejarah perfileman. Membuktikan bahawa budaya Malaysia hanya seronok dengan slogan dan tema tetapi tiada pengisian yang jitu dan konkrit. Kala itu, pasti aku akan mencadangkan tema baru Festival Filem Malaysia iaitu "FILEM MALAYSIA : JANGAN PILIH JALAN HITAM" atau "FILEM MALAYSIA KEMBALI KE PANGKAL JALAN". Tema filem yang menuding jari pada batang hidung sendiri untuk menginsafi diri sendiri. Entahlah.

Catatan "Jalan Putih" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Sunday, August 2, 2009

Edisi Khas 16: "Star Gate ISA"


Isu Jenama ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri kini kian menjadi bara. Jika tidak dikawal, pasti bara akan menjadi api apabila ada tangan-tangan ajaib yang gila mengipas. Pasti api merah akan marak menyala. Apatah lagi jika disimbahkan minyak yang tiba-tiba muncul dari langit.

Sesiapa yang bernama Isa kini menjadi bahan gurauan. Seumpama nama Osman bin Ladin yang bunyinya sinonim dengan pejuang halimunan Osama Laden. Tidak semena-mena berlaku pergaduhan gara-gara salah faham dan tidak tahan senda dan gurauan.

Apabila aku membaca akhbar "arus hulu pro-kerajaan" dan "akhbar hilir anti-kerajaan", minda aku seolah-olah berada di pintu gerbang yang mencantumkan dua dunia. Seumpama cerita "Star Gate". Hendak melangkah ke kiri atau ke kanan? Seribu persoalan.

Lantas aku mengambil sikap atas gerbang. Biarlah tubuh badanku berada di tengah-tengah pintu gerbang. Mengangkangkan kaki secukup jarak. Membelahkan minda dan emosi aku juga. Aku dapat melihat dengan jelas dua perspektif dunia yang amat bercelaru. Mengusutkan minda aku sebagai rakyat biasa.

Inilah kelebihan aku berada di dua dunia yang berbeza pada waktu yang sama. Bukan melatah dan terus melompat ke kanan atau ke kiri. Aku mengambil sikap berhati-hati kerana aku pasti dua dunia ini sudah semakin gila dan kemaruk dengan KUASA dan SENTIMEN POLITIK.

Fikiran reflektif aku tertanya-tanya mengapakah dua dunia ini sukar disatukan? Pintu gerbang yang aku paut hanya setebal kulit bawang. Pintu gerbang yang berada di dalam negara yang sama yang mencantumkan dua dunia yang hampir serupa. Bukannya pintu gerbang yang mencantumkan bumi dan matahari atau bumi dan bintang Pluto yang nun jauh berbilion kilometer.

Mengapakah pemimpin-pemimpin kita tidak kira pro atau anti-kerajaan sukar duduk bersama? Mengambil alternatif bermesyuarah seperti yang sentiasa mereka laung-laungkan dalam kempen dan slogan bermusim.

Aku ingin berpandangan bahawa adalah lebih berhemah agar kerajaan memberikan permit untuk mereka berkumpul di kawasan atau Stadium yang boleh memuatkan puluhan atau ratusan ribu rakyat. Api jangan dilawan dengan api. Bertindaklah dengan bijak. Biarlah mereka menjulang ke langit sepanduk-sepanduk anti-ISA, menjerit dan melaung bersama-sama sampai terkeluar anak tekak.

Biarlah mereka menyuarakan hasrat dan suara mereka. Biarkan. Suasana ini lebih terkawal daripada membiarkan golongan anti-kerajaan ini membuat tindakan sesuka hati di jalanraya atas alasan yang rasional (bunyinya). Mereka umpama sekawan kambing yang dibiarkan bebas tanpa panduan. Mengembek sana dan sini. Pandulah mereka memasuki kandang yang ditetapkan. Dengarkan luahan hati mereka. Fahami isi hati nurani mereka. Usah dilayan dengan air bomba dan gas pemedih mata yang cukup menyakitkan. Mereka pasti memberontak. Ini yang kita bimbangkan kerana semangat semulajadi manusia pasti akan mengalahkan senjata ciptaan manusia.

Aku masih lagi mengangkang di atas pintu gerbang. Lenguh pula rasanya kaki ini. Menunggu masa untuk melangkah. Ke kanan atau ke kiri. Masih lagi bingung. Jika boleh aku ingin mencari pintu gerbang lain yang lebih mendamaikan. Mustahil. Aku tidak boleh lari dalam menghadapi realiti dunia dinegaraku sendiri. Negaraku tetap indah. Dua dunia ini tetap menawan. Cuma penghuni-penghuni di dua dunia ini perlu disaring. Seumpama filem "The One". Menghantar kromosom gen jahat ke dunia sekutu. Biarkan mereka berlawan di dunia sana. Tidak memudaratkan kromosom gen penghuni-penghuni baik yang ingin hidup bersama dengan aman dan damai.

Coretan "Dua Dunia" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, August 1, 2009

Realiti Kehidupan 3: Wang atau Nyawa


"Wah...lu punya tayar sudah banyak teruklah...sudah makan tepi."

Dialog Cina Mekanik yang membuatkan aku tiba-tiba termenung sejenak. Ingatkan datang nak buat "alignment" dan "balancing" saja. Rupanya kereta aku menagih kasut baru pula.

Lantas aku merenung tayar-tayar baru yang disusun rapi di atas rak. Satu-persatu jenama tayar aku perhatikan. Sudah pasti jenama "Good Year" menjadi pilihan aku. Tetap setia pada satu jenama. Kod tayar 195, 15R kelihatan di penghujung rak. Aduh...RM280 sebiji.

"Sudah naik harga ke? Dulu tak sampai RM200 pun."

"Ini tayar Good Year baru punya. Lagi banyak bunga. Satu biji RM235."

"Oklah. Tukar 2 biji. Lagi 2 tayar, pakai lama punya. You tengoklah mana satu tayar banyak bunga lagi."

Itulah hakikat dalam kehidupan yang terpaksa aku lalui tanpa diduga. Lari belanjawan aku bulan ini. Selain keperluan makan-minum, pakaian, rumah dan segala macam kos harian dan bulanan, kos penyelenggaraan kenderaan tidak boleh dipandang ringan dan diketepikan. Ketenangan membawa kenderaan yang "diyakini selamat" amat penting apatah lagi ianya menentukan keselamatan nyawa keluarga di jalanraya. Aku rela berhabis duit dengan berhutang kad kredit daripada menanggung risiko di jalanraya.

Hargailah kenderaan seumpama kita menghargai nyawa kita. Duit boleh dicari tetapi keselamatan tidak boleh diganti.

Coretan "Kasut Baru" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Saturday, July 18, 2009

Edisi Khas 15: Kosmetik Isu Negara


Berdasarkan penilaian cetek saya, didapati isu-isu dinegara kita seolah-olah hanya hebat diperdebatkan di media massa dan elektronik dengan pelbagai jenama.

Kita memang juara dalam mengupas dan menangani isu yang berorientasikan "sudah terantuk baru nak terngadah". Lihat dan nilai sahaja arkib berita tentang isu alam sekitar, kepenggunaan, kes ragut, jenayah pelajar sekolah, bohsia, mat rempit@samseng jalanan, Along, pendatang tanpa izin dan sebagainya. Dari dulu sehingga sekarang kita masih leka dan sibuk membicarakan perkara asas iaitu penguatkuasaan. Hari ini hangat, esok sejuk dan tahun depan melatah kembali. Letih.

Mengapakah budaya menangani isu ini terus menjadi tradisi di negara kita? Adakah landasan dan arus media tidak cukup kuat untuk mengetuk minda golongan bijak-pandai di Kementerian dan organisasi penguatkuasaan undang-undang?

Adakah mereka hanya berkhidmat sekadar "melepaskan batok ditangga". Menggubal dasar dan melaksanakan pelan tindakan yang "dangkal" yang membuat rakyat terus meluat seperti isu tol. Rebet promosi "diluar waktu puncak (12am-7am)" dan bilangan 80 transaksi tol sebulan ternyata mengaburi mata rakyat yang secara amnya tidak akan menjangkau majoriti pengguna. Sekadar jernih dipermukaan tetapi keruh didasar.

Komen realistik dan praktikal rakyat pasca pelaksanaan sepatutnya dikaji secara "proaktif" bukan reaktif oleh pemimpin dan pihak-pihak yang diamanahkan tanggungjawab.

Saya ingin mempercayai bahawa isu-isu di negara kita akan terus diperdebatkan seumpama kosmetik yang kian tebal. Berubah rupa tetapi muka tetap sama.

Catatan "Kulit Tebal" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Edisi Khas 14: Madu dan Racun


Saya terasa begitu sesak nafas dengan isu-isu baru dan lapuk yang terus berlegar dimedan perdebatan tanpa titik noktah.

Madu telah diberikan oleh YAB PM dengan 11 hadiah sempena 100 hari pemerintahan. Difikiran saya, ini satu "budaya tidak sihat" kerajaan seolah-olah menunggu tempoh 100 hari berpantang macam orang bersalin pula.

Tidak perlu menarik perhatian rakyat dengan cara politik begini kerana ianya hanya akan meninggalkan persepsi dan perspektif negatif kepada rakyat. Pasti selepas ini akan ada ura-ura apakah hadiah selepas 200 hari, 500 hari atau 1001 hari?

"Hadiah" yang saya anggap madu minggu lepas telahpun hilang kemanisannya kerana kini kita diberikan pula racun dengan berita kenaikan kadar tambang pengangkutan awam dan potensi besar kenaikan tarif letrik yang memberi kesan langsung kepada rakyat. Apakah 11 lagi racun yang akan diberikan selepas ini?

Saya ingin mencadangkan kepada kerajaan agar lebih berhati-hati dalam menghebahkan sesuatu perkara kepada rakyat. Kaji dan cipta mekanisma atau kaedah pelaksanaan yang lebih teratur, khusus dan sistematik dahulu sebelum diumumkan dalam media untuk mengelakkan situasi panik rakyat. Ini tidak, apabila rakyat memberikan komen realistik, baru kerajaan hendak mengkaji. Suka melatah apabila dicucuk.

Persoalan yang bermain diminda saya, adakah kerajaan kita benar-benar ingin menterjemahkan slogan "Satu Malaysia, Rakyat DIDAHULUKAN, Pencapaian Diutamakan"? Saya hanya rakyat biasa yang berfikir secara biasa. Apa yang berlaku pasti mempengaruhi satu undi saya dalam PRU-13 kelak.

Catatan "Wayang Kulit" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

Monday, July 13, 2009

Susulan Edisi Khas 13: Ruangan Forum Utusan Malaysia

Komentar isu tol yang aku hantar semalam telah diterbitkan di Utusan Malaysia bertarikh 13 Julai 2009. Versi yang aku tapis dan sunting untuk tujuan penerbitan am.

http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2009&dt=0713&pub=Utusan_Malaysia&sec=Forum&pg=fo_02.htm