Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, August 9, 2009

Edisi Khas 17: Filem Kita Warna Kita


KOTA KINABALU 8 Ogos - Filem Papadom arahan Afdlin Shauki yang akan ditayangkan pada 8 Oktober ini diumumkan Filem Terbaik dalam Festival Filem Malaysia ke 22 (FFM22) di Dewan Canselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS) di sini malam ini.

Kemenangan Papadom itu melayakkan Tayangan Unggul Sdn. Bhd. membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan hadiah RM100,000 berupa kemudahan penerbitan perfileman.

FFM22 yang bertemakan 'Filem Malaysia ke Persada Dunia' dianjurkan Finas dengan kerjasama Gabungan Persatuan Karyawan Filem Malaysia (Gafim), Persatuan Pengeluar-Pengeluar Filem Malaysia (PFM) dan kerajaan Negeri Sabah.

Malam semalam semasa sedang leka menjamu selera dimeja makan, telinga aku terdengar bunyi tepukan melalui kaca televisyen dari bilik belakang.

"Adik, cerita apa tu?"

"Festival Filem." ringkas jawapan Amira.

Fikiran aku mengimbas kembali coretan berita yang aku baca di dada akhbar baru-baru ini. Teringat bahawa filem BOHSIA adalah salah satu pesaing hebat dalam kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik melalui pelakon baru Saina Saibi. Filem BOHSIA yang membuatkan aku meluat dengan budaya perfilemen Malaysia. Perasaan menyampah yang aku luahkan melalui aduan ke Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan (KPKK). Sedikit-sebanyak melatahkan Pegawai-pegawai Kementerian kerana sikap aku yang akan berterusan membuat susulan sehingga menemui titik noktah. Terpukau seketika kerana Datuk Yusof Haslam sendiri menjawab aduan aku (entah-entah Pegawai Komunikasi beliau yang menulis). Maklumbalas yang aku sendiri boleh agak dan baca corak pemikiran mereka.

Nampaknya filem BOHSIA tidak pulang dengan tangan kosong. Aku cuba membayangkan jika filem ini membolot banyak kategori anugerah. Pada aku ianya pasti meninggalkan kesan sampingan yang aku akui amat subjektif untuk dinilai dengan mata kasar. Isu filem BOHSIA yang seperti mengangkat imej BOHSIA dan MAT REMPIT atau SAMSENG JALANAN senyap-sunyi tanpa susulan kajian. Hanya ribut diawal musim dan hangat di ruangan forum maya.

Aku hanya ingin mempercayai bahawa inilah hakikat budaya menangani isu di Malaysia. Sudah Terantuk Baru Nak Terngadah, itulah perumpamaan yang paling tepat. Bila Nasi Sudah Menjadi Bubur, masa itulah tak cukup jari hendak menuding pihak bertanggungjawab. Tidak cukup jari tangan, jari kaki akan dinaikkan. Membosankan.

Aduan kedua aku ke KPKK terhadap ura-ura penayangan filem "ANU DALAM BOTOL" atau tajuk berlapiknya "BOTOL DALAM ALMARI" masih dalam kekaburan. Pihak FINAS telahpun menjawab aduan aku dengan begitu berhemah. Pegawai KPKK yang amat cekap dan pantas memajukan aduan aku ke pihak FINAS. Menepati KPI tugas yang ditetapkan. Syabas!

Sehingga kini pihak FINAS masih belum lagi mengemaskini aku tentang pelan tindakan mereka terhadap budaya perfileman Malaysia. Aku pasti mesyuarat demi mesyuarat akan dianjurkan yang hanya sekadar menghabiskan boreh kata orang Negeri Sembilan. Pada masa mereka sibuk bermesyuarat dan mengeluarkan kenyataan-kenyataan yang bernada politik, Penerbit-penerbit dan Pengarah-pengarah Filem semakin khayal dan gila untuk menghasilkan versi filem yang tidak bermaruah dan tidak membina pemikiran. Menggunakan alasan murni untuk kepentingan KomerSIAL. Jelas di mata dan fikiran aku.

Percayalah bahawa sekiranya tiada pihak dan Badan-badan Penguatkuasa yang berani mengambil langkah perlu dan pantas dalam mencorakkan budaya perfileman Malaysia, satu ketika nanti negara kita akan dibanjiri dan dilemasi dengan tema filem yang akan mencetus dan meransangkan BUDAYA NEGATIF generasi muda. Kawallah wahai Menteri dan Pegawai-pegawai KKPK sebelum terlewat. Anda bertanggungjawab untuk mendidik Penerbit-penerbit dan Pengarah-pengarah Filem. Usah banyak sangat menuntut ilmu "Tak Apa" dan "Tai Chi".

Pada masa itu tema "FILEM MALAYSIA KE PERSADA DUNIA" hanya sekadar momokan dan catatan cantik dalam buku sejarah perfileman. Membuktikan bahawa budaya Malaysia hanya seronok dengan slogan dan tema tetapi tiada pengisian yang jitu dan konkrit. Kala itu, pasti aku akan mencadangkan tema baru Festival Filem Malaysia iaitu "FILEM MALAYSIA : JANGAN PILIH JALAN HITAM" atau "FILEM MALAYSIA KEMBALI KE PANGKAL JALAN". Tema filem yang menuding jari pada batang hidung sendiri untuk menginsafi diri sendiri. Entahlah.

Catatan "Jalan Putih" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: