Isu Jenama ISA atau Akta Keselamatan Dalam Negeri kini kian menjadi bara. Jika tidak dikawal, pasti bara akan menjadi api apabila ada tangan-tangan ajaib yang gila mengipas. Pasti api merah akan marak menyala. Apatah lagi jika disimbahkan minyak yang tiba-tiba muncul dari langit.
Sesiapa yang bernama Isa kini menjadi bahan gurauan. Seumpama nama Osman bin Ladin yang bunyinya sinonim dengan pejuang halimunan Osama Laden. Tidak semena-mena berlaku pergaduhan gara-gara salah faham dan tidak tahan senda dan gurauan.
Apabila aku membaca akhbar "arus hulu pro-kerajaan" dan "akhbar hilir anti-kerajaan", minda aku seolah-olah berada di pintu gerbang yang mencantumkan dua dunia. Seumpama cerita "Star Gate". Hendak melangkah ke kiri atau ke kanan? Seribu persoalan.
Lantas aku mengambil sikap atas gerbang. Biarlah tubuh badanku berada di tengah-tengah pintu gerbang. Mengangkangkan kaki secukup jarak. Membelahkan minda dan emosi aku juga. Aku dapat melihat dengan jelas dua perspektif dunia yang amat bercelaru. Mengusutkan minda aku sebagai rakyat biasa.
Inilah kelebihan aku berada di dua dunia yang berbeza pada waktu yang sama. Bukan melatah dan terus melompat ke kanan atau ke kiri. Aku mengambil sikap berhati-hati kerana aku pasti dua dunia ini sudah semakin gila dan kemaruk dengan KUASA dan SENTIMEN POLITIK.
Fikiran reflektif aku tertanya-tanya mengapakah dua dunia ini sukar disatukan? Pintu gerbang yang aku paut hanya setebal kulit bawang. Pintu gerbang yang berada di dalam negara yang sama yang mencantumkan dua dunia yang hampir serupa. Bukannya pintu gerbang yang mencantumkan bumi dan matahari atau bumi dan bintang Pluto yang nun jauh berbilion kilometer.
Mengapakah pemimpin-pemimpin kita tidak kira pro atau anti-kerajaan sukar duduk bersama? Mengambil alternatif bermesyuarah seperti yang sentiasa mereka laung-laungkan dalam kempen dan slogan bermusim.
Aku ingin berpandangan bahawa adalah lebih berhemah agar kerajaan memberikan permit untuk mereka berkumpul di kawasan atau Stadium yang boleh memuatkan puluhan atau ratusan ribu rakyat. Api jangan dilawan dengan api. Bertindaklah dengan bijak. Biarlah mereka menjulang ke langit sepanduk-sepanduk anti-ISA, menjerit dan melaung bersama-sama sampai terkeluar anak tekak.
Biarlah mereka menyuarakan hasrat dan suara mereka. Biarkan. Suasana ini lebih terkawal daripada membiarkan golongan anti-kerajaan ini membuat tindakan sesuka hati di jalanraya atas alasan yang rasional (bunyinya). Mereka umpama sekawan kambing yang dibiarkan bebas tanpa panduan. Mengembek sana dan sini. Pandulah mereka memasuki kandang yang ditetapkan. Dengarkan luahan hati mereka. Fahami isi hati nurani mereka. Usah dilayan dengan air bomba dan gas pemedih mata yang cukup menyakitkan. Mereka pasti memberontak. Ini yang kita bimbangkan kerana semangat semulajadi manusia pasti akan mengalahkan senjata ciptaan manusia.
Aku masih lagi mengangkang di atas pintu gerbang. Lenguh pula rasanya kaki ini. Menunggu masa untuk melangkah. Ke kanan atau ke kiri. Masih lagi bingung. Jika boleh aku ingin mencari pintu gerbang lain yang lebih mendamaikan. Mustahil. Aku tidak boleh lari dalam menghadapi realiti dunia dinegaraku sendiri. Negaraku tetap indah. Dua dunia ini tetap menawan. Cuma penghuni-penghuni di dua dunia ini perlu disaring. Seumpama filem "The One". Menghantar kromosom gen jahat ke dunia sekutu. Biarkan mereka berlawan di dunia sana. Tidak memudaratkan kromosom gen penghuni-penghuni baik yang ingin hidup bersama dengan aman dan damai.
Coretan "Dua Dunia" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment