Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, September 14, 2007

Kenangan Bersama Atuk (Siri 2)..."Back To The Future I"

...Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Mataku kian kuyu tetapi masih lagi leka melayan komputer dan televisyen. Sesekali mataku terpaku sebentar melihat drama "Cinta Anak Merdeka" saluran TV2. Ada sesuatu yang menarik minat aku. Babak Makcik Halimah (lakonan Fauziah Nawi) mengajar budak-budak "mengaji" benar-benar membawa aku "terbang" kembali ke era 1980an...

Aku masih ingat lagi ketika umur aku sekitar 8-10 tahun, Atuk begitu "garang" mengajar aku mengaji Muqaddam selepas waktu Maghrib. Ikon pada masa itu adalah "songkok hitam yang hampir lusuh", "kayu rehal atau bantal", "lidi daun kelapa yang halus" dan paling tak boleh aku lupakan adalah "rotan panjang" yang diletakkan disebelah paha Atuk. Cukup menggerunkan. Suara garau dan tengking Atuk jika ada bacaan yang salah cukup memberikan "pakej kegerunan" pada waktu itu.

Aku dapat merasai pada ketika itu, Atuk begitu bersungguh-sungguh mengajar dan membetulkan bacaan aku. Cukup mahir walaupun Muqaddam aku berkedudukan terbalik pada sudut penglihatan Atuk. Setiap patah bacaan aku didengari dan diperbetulkan sampai berulang-ulang kali. Sampai Atuk puas hati. Atuk memang "arif" sangat kerana jarang Atuk melihat bacaan aku satu persatu. Pendengarannya begitu teliti sehingga dapat "menangkap" kesalahan bacaan aku. Pantang silap, pasti aku akan disergah dan ditengking.

Kini...Atuk telah tiada. Ketegasan dan kegarangan Atuk mengajar aku mengaji lebih 25 tahun dahulu benar-benar memberikan "sesuatu yang tidak ternilai". Dizaman penuh kemudahan, budaya kehidupan yang berubah dan kurangnya keyakinan dan kemahiran untuk mengajar, aku tidak mampu "memimpin" seperti Atuk. Anak aku Zuhairi kini hanya belajar mengaji di Sekolah Agama...dan pastinya pengalamannya jauh "berbeza" sama sekali...

Atuk...semoga pusaramu kekal mewangi..."Al-Fatihah"

Coretan Nostalgia:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: