Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, September 15, 2007

Ramadan Zaman Persekolahan..."Back To The Future II"

Kembali ke zaman silam...1987...Babak 5...

...Sebagai manusia biasa, tiada yang lebih nikmat pada bulan Ramadan ini selain memenuhi "nafsu makan". Waktu berbuka puasa sentiasa dinantikan dengan "tenaga" dan "selera" yang "super".

Sesekali apabila sudah tersandar dikerusi dengan perut "membukit", fikiranku melayang mengimbas kenangan berbuka puasa di zaman persekolahan terutama disekitar tahun 1986-1987. Satu suasana dan pengalaman berharga yang tidak boleh aku lupakan.

Asrama...ohh..asrama...satu suasana unik yang benar-benar mendidik aku dan membuatkan aku sentiasa "bersyukur" dengan segala nikmat kehidupan yang aku perolehi sekarang.

Seawal jam 4:30 pagi, aku dan rakan-rakan asrama akan dikejutkan dengan bunyi loceng yang bingit, menandakan waktu sahur. Dalam dingin awal pagi, aku bingkas bangun menukar pakaian dan terus ke bilik air membasuh muka. Suasana sepi bertukar riuh dengan suara penghuni asrama. Lampu kamar satu-persatu mula cerah bercahaya menyilaukan mata penghuni-penghuni yang masih lagi lena dibuai mimpi. Aku akan melangkah longlai menuju Dewan Makan yang terletak berhampiran. Tidak perlu beratur seperti kebiasaan. Makanan yang telah tersedia dalam bekas persegi biru dicapai bersama segelas air. Lantas aku akan menuju meja panjang yang sentiasa setia menanti penghuni-penghuni asrama melabuhkan punggung. Apa sahaja menu yang disediakan awal pagi itu akan kami jamah tanpa sedikitpun merungut.

Selesai sahaja bersahur, tiada masa untuk aku berehat. Tuala, gayung, berus gigi, ubat gigi dan bekas sabun terus sahaja dicapai. Tidak berapa lama lagi pastinya azan Subuh akan berkumandang dan aku tidak mahu berebut-rebut dengan rakan penghuni lain didalam bilik air. Cukup menyiksakan jika terpaksa menanti giliran mandi apatah lagi jika terpaksa bersaing dan berebut dengan abang-abang "senior".

"Kring...kring...kring..." loceng seru untuk solat Subuh telahpun dibunyikan oleh Ustaz. Tergesa-gesa aku menuruni anak tangga dan berlari-lari anak menuju surau yang jaraknya lebih kurang 50 meter daripada bangunan asrama. Selesai solat Subuh, Ustaz akan memberikan sedikit tazkirah. Masa inilah aku akan mengambil kesempatan memejamkan mata. Tersenguk-senguk sambil badan menyembunyikan diri disebalik tubuh besar rakan dihadapan. Jam 7:00 pagi, barulah aku dan rakan-rakan menyerbu keluar dari surau sambil berebut selipar dan berlari menuju kembali ke asrama. Tiada istilah rehat. Pantas aku akan menukar pakaian seragam sekolah dan memeriksa jadual, buku dan beg sekolah. Jam 7:30 pagi aku dan sebahagian rakan yang telah bersiap akan bersidai di koridor dan berborak kosong sambil menanti loceng berbunyi.

"Kring...kring...kring..." sekali lagi bangunan asrama dikejutkan dengan bingit loceng. Tergesa-gesa penghuni-penghuni asrama keluar dari kamar dan beratur sebelum beriringan menuju bangunan yang menempatkan bilik-bilik belajar. Disitulah aku dan rakan-rakan akan mengabdikan diri menuntut segala ilmu yang dicurahkan oleh guru sehingga jam 1:00 tengahari.

Selesai sesi persekolahan, aku dan rakan-rakan akan terus menuju ke asrama. Tempoh 30 minit akan aku ambil untuk melabuhkan diri sebentar ditilam nipis. 30 minit yang amat berharga bagi sesiapa yang pernah tinggal di asrama. Sukar sebenarnya untuk memperolehi rehat selama tempoh itu jika ianya bukan bulan Ramadan.

Azan Zohor telahpun berkemumandang dari surau. Seperti robot yang telah diprogramkan, aku akan bingkas bangun dan terus menukar pakaian solat. Sekembali dari surau, aku akan bergegas pula untuk sesi belajar petang. "Kring...kring...kring..." seperti biasa loceng akan kembali berbunyi dan penghuni-penghuni akan beratur dan berarak menuju ke kelas masing-masing.

Sekembali dari sesi belajar petang dan selesai menunaikan solat Asar di surau, aku dan rakan-rakan akan bertenggek di tangga atau bersidai di koridor asrama sambil berborak kosong. Bagi yang bertenaga, selepas menukar pakaian akan terus ke padang bermain bolasepak dan berjogging. Bagi yang tiada aktiviti, katil dan tilam nipis akan menjadi sasaran. Tempoh 2 jam adalah aktiviti bebas kami (ikut suka penghuni).

Jam 6:30-7:00 petang, aku dan rakan-rakan mula sibuk kembali menguruskan diri. Mandi dan bersiap sambil menanti loceng asrama berbunyi. 15 minit sebelum azan Maghrib berkumandang menandakan waktu berbuka, semua penghuni asrama telahpun berada di dewan makan. Makanan dalam bekas persegi biru diperhatikan dengan penuh "nafsu". Kala itu, apa sahaja menu yang disediakan adalah menu yang "terenak" dan kami tidak akan sama-sekali membazirkannya.

Apabila terdengarnya azan Maghrib, doa makan akan dibaca beramai-ramai. Ketika itu rakan sebelah sudah tidak aku hiraukan. Apa yang ada difikiranku kala itu adalah makanan yang berada dihadapanku...Cukup "bernafsu dan berselera".

Kembali ke zaman kini...2007...

Segalanya jauh berbeza...tetapi apa yang aku pasti adalah "nafsu makan" tetap sama. Malah, ianya semakin "berkembang" dan "membesar" mengikut usia aku. Indahnya ciptaan Allah.."Tuhan Yang Maha Kaya" yang mencipta manusia dengan penuh "keajaiban".

"SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA!"


Coretan Ramadan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: