Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, September 28, 2007

Kakak Angkat..."Back To The Future II"

Kembali ke zaman silam...1986...Babak 2...

...Bergelar pelajar "junior" ada ketikanya begitu menyeronokkan. Walaupun ada pengalaman-pengalaman yang "kurang enak" seperti dibuli, dipulau, dikutuk dan sebagainya, aku masih beranggapan kehidupan di asrama masih tetap menjadi landasan penting dalam membentuk keperibadian aku.

Bagi pelajar-pelajar "senior" pula, ketika pelajar-pelajar "junior" melaporkan diri dan menjalani minggu orientasi, mata mereka (terutama pelajar lelaki) mulalah liar mencari adik-adik yang "berdahi licin" atau "cun". Dalam hati mula memasang niat, alangkah seronok dan bangganya kalau si cantik molek menjadi "adik angkat". Yang lelaki mencari adik perempuan, yang perempuan pula mencari adik lelaki. Selang sebulan-dua, setiap kamar mulalah kecoh dengan berita-berita sensasi "siapa yang mengangkat dan siapa pula yang diangkat".

Aku bukanlah dalam kategori "adik yang diangkat" pada ketika semua pelajar kecoh bercerita. Kiranya aku ini dalam kategori "low profile" yang tiada seorang kakak "senior" yang ingin menjeling apatah memandang atau mengajak aku berbual dan berkenalan.
Selang beberapa bulan, pihak asrama telah menganjurkan Pertandingan Nyanyian Antara Kamar. Entah apa mimpi abang-abang "senior", nama aku adalah salah seorang yang telah dicalonkan oleh semua penghuni kamar untuk mewakili Kamar A1.

Setiap kamar perlu menghantar 2 penghuni untuk pertandingan ini yang melibatkan Asrama Putera dan Puteri. Aku mula panik dan menggelabah. Lagu apa pula yang ingin aku sampaikan. Fikir punya fikir...akhirnya lagu "Kepulangan" dendangan Razis Ismail telah menjadi pilihan aku. Hentam sajalah. Sampai atau tak sampai nada suara aku...nasiblah...siapa suruh pilih aku. Abang angkat rasmi aku yang bernama Azman Mugari (Al-Fatihah...telahpun kembali ke Rahmatullah sekitar tahun 1990an) tidak putus-putus memberikan aku semangat.

Tiba hari pertandingan, aku memakai baju bunga (Mat Bunga) berseluar dan berkasut hitam. Kalau hendak dibandingkan dengan peserta-peserta yang lain, kostum aku boleh dianggap yang paling "miskin". Terasa juga jurang perbezaan. Detik mendebarkan telahpun tiba. Nama aku diumumkan sebagai peserta seterusnya. Peluh sejuk mula mengalir. Muka kusam dan pucat. Tangan menggigil memegang "mic". Lantas suara dialunkan mengikut melodi. Cukup bertenaga pada permulaan. Tiba bahagian "chorus"...Ya Allah...lupa pula lirik..."blank"...aduh!....suasana sunyi-sepi. Aku langsung tidak berani mengangkat muka untuk memandang audien. Malu besar!

Aku terus saja memotong chorus dan menyanyi ikut sedap mulut sampailah ke akhir. Cukup melemaskan. Aku seperti berada di gua, hanya mendengar suara sendiri. Hilang fokus. Selesai sahaja melontarkan suara pada lirik terakhir, tanpa berlengah aku terus mengangkat kaki turun dari pentas dengan muka tebal. Tiada tepukan gemuruh yang mengiringi. Cukup Malu!

Dibelakang pentas, tiba-tiba datang seorang kakak "senior" (salah seorang peserta pertandingan) merapati dan menegur aku yang sedang mengelamun dengan muka muram. Aku lupa apa yang aku perbualkan dengannya ketika itu. Menariknya, peristiwa yang memalukan aku sebentar tadi telah membuka "pintu hati" kakak "senior" berkenaan untuk berkenalan dengan aku dengan lebih lanjut.

Akhirnya, hikmah daripada peristiwa memalukan diri aku dan kamarA1 telah merapatkan aku dengan kakak "senior" yang bernama Siti Nor Halid yang berasal dari Parit Yaani, Yong Peng, Johor. Aku telah "diangkat" sebagai "adik angkat" yang telah memberikan aku pengalaman paling menarik sepanjang tahun 1986 di Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB/TIJB).

Kak Siti...dimanakah dirimu sekarang? Alangkah seronoknya jika kita dapat bertemu dan kembali menerokai masa hadapan..."Back To The Future..."

Razis Ismail

Kepulangan


Berlari menuju ke muka pintu

Seakan pasti suaramu

Yang terdengar

Sayup-sayup mesranya memanggilku



Berabad tak mendengar suaramu

Berbisik manja kepadaku

Yang terdengar

Cumalah hanya kalimah pemutus cinta



Gementar perasaanku

Menyahut panggilanmu

Dan demi pintuku buka

Dihadapanku seorang wanita



Airmata bertitisan ke pipinya

Yang cengkung dan layu tak bermaya



Terharu ku mendengarkan nasibmu

Semenjak kau meninggalkanku

Apalah.. daya diri

Tiada kekosongan lagi




Nostalgia 'Terangkat":
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

1 comment:

Anonymous said...

Ko ni junior aku tijb,,aku spm 86 di situ.

amrimansor (at) yahoo.com
skrg di BTHO,
kerja kulli swasta..