Pada aku ianya bukan isu baru. Terkenang aku lebih 19 tahun yang lalu semasa menuntut di UPM. Pada ketika itu sudah terserlah pelajar perempuan melebihi pelajar lelaki. Walau bagaimanapun, apabila pensyarah memberi "tugasan berkumpulan" pastinya pelajar lelaki akan dipilih oleh pelajar perempuan untuk memimpin kumpulan. Tradisi pemikiran yang sukar diubah.
Pada sekitar tahun 1995, aku pernah memimpin sekumpulan kakitangan kerajaan melalui seminar yang membincangkan soal "Gender". Satu program sensitif yang dianjurkan oleh Jabatan Pertanian bersama UPM bertempat di Hotel Regency, Port Dickson. Pada umur 25 tahun, sebagai seorang "Master Trainer" aku telah memimpin satu kumpulan kecil seminar dan membincangkan soal rumah tangga dan kerjasama antara lelaki dan perempuan atau suami dan isteri. Rasa janggal juga pada masa itu. Yalah, seorang anak muda "setahun jagung" memimpin peserta-peserta seminar yang lebih "senior" yang umurnya pangkat mak dan bapak pada aku. Nasib baiklah mereka menerima aku seadanya sebagai pemimpin kumpulan seminar. Ingat lagi pada masa itu, bagi mengelakkan sensitiviti jantina atau gender aku sentiasa menekankan dan mengulangi perkataan hikmah "SALING LENGKAP-MELENGKAPI" antara lelaki dan perempuan. Maksudnya, tiada seorang lelaki atau perempuanpun yang "dominan". Kononnya, cakap bertapis dan beralaslah bagi mengharmonikan sesi perbincangan.
Kini, pada tahun 2007, soal keseimbangan antara lelaki dan perempuan didalam pelbagai aspek kembali diperkatakan. Pasti tiada penghujungnya. Melalui pengalaman lebih 10 tahun aku mengendalikan temuduga pengambilan kakitangan baru yang kebanyakannya "Graduan Segar", didapati memang benar "Graduan Segar Perempuan" lebih menghadiri temuduga dan lebih "menyerlah" daripada graduan lelaki.
Kita akan kembali membicarakan persoalan ini 10 tahun akan datang jika tiada langkah konkrit diambil. Percayalah...
Coretan "Lelaki":
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong
No comments:
Post a Comment