Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, September 21, 2007

Kod Kehidupan vs "Back To The Future" : Tragedi Nurin Jazlin

...Cukup sebak dan memilukan. Mudah untuk aku menulis bagi menterjemahkan perasaan yang mencengkam jiwa. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Syukur aku panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana keluargaku masih lagi terpelihara daripada "ujian" yang hebat. Bagi keluarga Nurin, aku percaya inilah "dugaan terhebat" yang sukar diterima. Takziah diucapkan...

Adakah ini sebahagian daripada skrip kod kehidupan Nurin yang tidak boleh dielakkan? Skrip kod kehidupan yang cuba menyampaikan mesej "kesedaran" dan membongkar "virus" kepincangan kehidupan manusia yang kini tidak lagi berpaksikan norma dan nilai murni sejagat. Nurin Jazlin adalah antara mangsa "terpilih" yang menjadi "pelakon utama" kepada "babak bersiri" drama kehidupan dunia senja.

Sejenak aku cuba mengaturcara Kod Kehidupan ini dengan penjelajahan mustahil "Back To The Future". Aku ingin kembali ke tarikh 20hb Ogos 2007, pada malam kehilangan Nurin untuk melihat permulaan detik kesengsaraan anak malang ini.

Kembali ke tarikh 20hb Ogos 2007...

Dari satu lokasi yang jauh, aku dapat melihat dalam kesamaran peristiwa hitam yang terjadi. Seorang anak kecil yang aku pasti Nurin kelihatan dirangkul kasar oleh seseorang. Lalu Nurin dihirit menaiki sebuah kenderaan. Kelihatan Nurin meronta tetapi tidak mampu melepaskan diri. Kedengaran Nurin meraung tetapi suara kecilnya tenggelam dalam kegelapan malam. Lantas ditutup mulutnya, dipukul dan ditampar tanpa belas kasihan. Di dalam kenderaan, airmata Nurin mengalir deras sambil menggigil ketakutan. Darahnya turun ke kaki. Dadanya berombak kencang. Wajahnya menyerlahkan kebingungan. Anak matanya tajam merenung memohon simpati.

Kembali ke tarikh 21hb Ogos 2007 sehingga nafas terakhir...

Saban hari selama hampir sebulan, Nurin dipukul, dicekik, ditendang dan ditengking. Dari hari ke hari, tubuh Nurin kian melidi. Tanpa belas kasihan, sepanjang masa Nurin "diratah". Nurin hanya mampu terbaring sambil tubuh bergulung menahan kesakitan. Anak kecil ini hanya mampu menangis hiba sambil memohon keajaiban berlaku agar dirinya dipulangkan semula ke pangkuan keluarga. Namun apakan daya, Nurin hanya mampu membayangkan wajah ibu dan bapa diruang fikirannya bagi mengubat rindu. Setiap kali terbayang, pasti Nurin menangis dan meratap. Setiap kali menangis dan meratap, pasti tubuh badan anak kecil ini menjadi sasaran.

Aku dapat melihat dengan sayu, "manusia buas" berkenaan seolah-olah tidak mengerti untuk menterjemahkan linangan jernih airmata Nurin, tidak tahu membaca redup anak mata Nurin, tidak memahami bahasa tubuh Nurin yang sentiasa bergulung, tidak merasai sakitnya perut Nurin yang kosong, tidak menyelami erti kerinduan Nurin, tidak sensitif untuk menilai makna kasih-sayang dan tidak takut pada hukuman dan dosa.

Sehingga ke detik terakhir nafas Nurin, "manusia buas" ini masih lagi tersenyum seolah-olah puas dengan lakonan hebatnya yang telahpun tiba ke kemuncak. Cukup menghibakan kerana "manusia buas" ini masih lagi tidak puas untuk meneruskan skrip drama ciptaan songsangnya. Tubuh bogel dan kaku Nurin disumbatkan kedalam beg pakaian tanpa sedikitpun tercuit perasaan bersalah. Ditekan tubuh Nurin dengan kasar sehingga kakinya mengerekot. Masih lagi tiada belas kasihan walaupun Nurin tidak lagi bernyawa. Sukar untuk aku membaca pemikiran "manusia buas" ini.

Cukup memeritkan kerana tubuh kaku Nurin terpaksa menderita selama lebih 6 jam di dalam ruang beg yang gelap dan sempit sebelum dirinya ditemui. Penderitaan yang mempunyai impak paling maksima. Menyentuh ceruk paling dalam naluri kemanusiaan aku.

Kembali ke tarikh 21hb September 2007...

Nurin Jazlin...jasadmu kini telahpun disemadikan. Aku pasti dirimu kini telah berada di alam yang "paling damai". Kod kehidupan skrip dramamu telahpun tamat dengan kemuncak cerita paling memilukan. Dirimu kini telah menjadi sejarah untuk dijadikan "pengajaran" bagi meneruskan skrip Kod Kehidupan manusia yang masih bernyawa...

Al-Fatihah...


Coretan Pilu:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: