...Aku tidak berdaya lagi mengulangi dialog dan skrip drama yang sama. Penat bercakap dan mendengar. Buletin Utama TV3 malam ini sekali lagi memaparkan dialog tegas pihak Polis..."masyarakat diminta tampil sekiranya ada maklumat yang boleh membantu". Pada masa yang sama terdapat pulak "kutu-kutu" yang gila menyakat melalui sms dan maklumat palsu. Apa nak jadi dunia ni? Senja yang kian berdarah...
Adik Sharlinie...aku tidak mahu lagi menerokai skrip "Back to The Future" seumpama penjelajahan aku mengimbau tragedi adik Nurin. Amat pedih untuk aku kembali dan berimaginasi. Apakah skripmu adik dalam mengisi plot penceritaan drama terbaru yang diulang tayang dengan watak pelakon- pelakon baru.
Sesekali, minda aku terlintas mengatakan bahawa masalah ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian. Telah lebih 2 hari berlalu tanpa menunjukkan tanda-tanda positif. Dimanakah dirimu adik? Aku pasti dirimu bukanlah berada di hutan belantara atau di lautan luas. Penculikmu adalah manusia biasa yang masih memerlukan makan, minum dan tempat berlindung. Pastinya dia atau mereka akan sentiasa berkomunikasi dengan persekitaran. Persoalannya, adakah masyarakat kita mengamalkan "budaya peka" atau "budaya leka" dengan apa yang berlaku disekeliling mereka. Adakah hati kita akan tercuit ingin memeriksa sekiranya terdengar bunyi suara budak menangis atau melihat sesuatu yang pelik atau janggal dipersekitaran kita. Budaya sekarang.."ahh...pedulikanlah...jangan mencampuri urusan orang lain...dan jangan nak sibuk jaga tepi kain orang".
Masalah kronik yang berlaku ini kita tidak harus melihat dari sudut jenayah semata-mata. Pihak-pihak yang berwajib usah hanya mengulangi skrip yang sama. Kita perlu membuat bedah siasat tentang masalah masyarakat yang lebih komprehensif. Aku mahu percaya bahawa inilah bahana pendedahan dunia yang kian "rosak". Negara kian maju dengan amat pesat disegi fizikal tetapi adakah kita pasti pengisian moral dan budaya masyarakat kita berada ditahap tertinggi. Slogan "Modal Insan dan Bina Insan" sentiasa dilaungkan tetapi apakah langkah pelaksanaannya. Adakah pemimpin-pemimpin kita benar-benar ikhlas ingin menterjemahkannya sedangkan mereka sendiri ada yang terjerumus dan tersungkur di lembah kehinaan. Kita mahukan "budaya hidup sihat" yang "menyeluruh" bukan "slogan" atau "kempen bermusim" untuk enak telinga mendengar dan manis mulut berkata.
Pusat-pusat hiburan umpama cendawan yang tumbuh segar selepas hujan yang aku pasti hanya meransang percambahan budaya tidak sihat seperti seks bebas , alkohol dan dadah. Saluran-saluran hiburan melalui media cetak dan elektronik kini setaraf media barat. Remaja kian longlai dengan hawa nafsu yang diransang oleh "role model songsang" yang disanjung. Institusi kekeluargaan kian rapuh dek kerana kesibukan mengejar arus kemajuan. Keselamatan anak-anak terabai dek kerana perubahan gaya hidup yang tidak memberi kita banyak pilihan. Inilah "pakej kerosakan" yang mencetuskan "manusia-manusia pelik" disekitar kita. Aku juga pelik tetapi pelik yang masih dalam kategori waras. Norma masyarakat tetap aku pegang sebagai panduan dan sempadan.
Penantian adalah satu penyiksaan. Apatah lagi jika penantian yang hanya berlegar di ruang kosong. Mungkin sampai masanya jika kita buntu dan tiada pilihan, akta undang-undang berkaitan kanak-kanak perlu mewajibkan anak-anak berumur 12 tahun kebawah dipasangkan rantai atau subang atau loket yang mengandungi signal GPS. Hilang sahaja tahulah kita mencarinya.
Inilah masa dan ketikanya Syarikat-syarikat yang berkaitan dengan teknologi maklumat dan telekomunikasi duduk semeja bagi mencipta alat yang "mampu beli" oleh ibu bapa. Inilah masanya mereka menunaikan "tanggungjawab sosial" bukan hanya sekadar mengejar "KPI" dan keuntungan berlipat kali ganda setiap tahun.
Ya, memang gila ide aku ini. Satu ide yang gila-gila adalah perlu kerana kita kini menangani dunia yang kian menjadi gila...
Coretan "Gila-Gila" oleh:
Bandar Kinrara, Puchong
No comments:
Post a Comment