Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, January 27, 2008

Sumbangan Ruangan Surat : Berita Harian

Baru aku perasan bahawa komentar yang aku hantar ke Berita Harian 4 hari lepas akhirnya keluar dalam akhbar Berita Harian hari Khamis (24hb Jan 2008). 5% kandungan asal telahpun disunting terutama ayat sindiran kepada pihak-pihak tertentu. Tajuk asal aku : "Kepincangan Norma dan Nilai Kemasyarakatan" juga tidak digunakan. Komentar yang aku hantar ini adalah sama dengan "Edisi Khas : Berlegar Di Ruang Kosong". Cuma dipinda sedikit kandungannya untuk kesesuaian penerbitan akhbar.

Komentar di bawah telah aku hantar ke Utusan Malaysia, Berita Harian, TV3 dan RTM tetapi hanya Berita Harian sahaja memaparkannya. Aku rasa Ketua Pengarang, Utusan Malaysia dan Penerbit TV3 dah perasan nama aku...tak habis-habis "mamat" ni yang hantar komentar...takpalah..pakcik tak hairan...

SURAT

Syor cipta alat canggih kesan orang hilang

SAYA tidak berminat mengulangi skrip drama sama. Penat bercakap dan mendengar. Seperti biasa, dialog yang sama daripada pihak berwajib akan diulangi; "...masyarakat diminta tampil sekiranya ada maklumat yang boleh membantu". Pada masa sama ada pula 'kutu' yang gila menyakat melalui SMS dan maklumat palsu.

Sesekali, minda saya terlintas mengatakan bahawa masalah ini seolah-olah tiada jalan penyelesaian. Hampir dua minggu berlalu tanpa menunjukkan tanda positif. Di manakah dirimu adik Sharlinie? Saya pasti adik bukanlah berada di hutan belantara atau lautan luas. Penculikmu adalah manusia biasa yang masih memerlukan makan, minum dan tempat berlindung. Pastinya dia atau mereka akan sentiasa berkomunikasi dengan alam persekitaran.

Persoalannya, adakah masyarakat kita mengamalkan 'budaya peka' atau 'budaya leka' dengan apa yang berlaku di sekeliling mereka. Adakah hati kita akan tercuit ingin memeriksa sekiranya terdengar suara budak menangis atau melihat sesuatu yang pelik atau janggal di persekitaran kita. Budaya sekarang; "ah pedulikanlah. Jangan mencampuri urusan orang lain dan jangan nak menyibuk jaga tepi kain orang lain".

Masalah kronik yang berlaku ini kita tidak harus lihat dari sudut jenayah semata-mata. Pihak berwajib usah hanya mengulangi skrip sama. Kita perlu membuat bedah siasat berhubung masalah masyarakat yang lebih komprehensif. Saya mahu percaya bahawa inilah bahana pendedahan dunia yang kian 'rosak'.

Negara kian maju dengan amat pesat dari segi fizikal, tetapi adakah kita pasti pengisian moral dan budaya masyarakat kita berada pada tahap tertinggi?

Slogan 'modal insan dan bina insan' sentiasa dilaungkan, tetapi adakah cukup langkah konkrit pelaksanaannya di kalangan rakyat? Adakah kita benar-benar ikhlas ingin menterjemahkannya sedangkan ada di antara kita terjerumus dan tersungkur di lembah kehinaan. Kita idamkan budaya hidup sihat yang menyeluruh bukan slogan atau kempen bermusim yang enak didengar.

Pusat hiburan yang ada di sana-sini hanya merangsang percambahan budaya tidak sihat seperti pergaulan bebas, alkohol dan dadah. Saluran hiburan melalui media kini setanding media Barat. Remaja kian longlai dengan hawa nafsu yang dirangsang oleh 'role model' songsang yang disanjung.

Institusi kekeluargaan kian rapuh kerana kesibukan mengejar arus kemajuan. Keselamatan anak terabai kerana perubahan gaya hidup yang tidak memberi kita banyak pilihan. Inilah 'pakej kerosakan' yang mencetuskan 'manusia pelik' di sekitar kita. Saya juga pelik dalam menongkah arus pembangunan, tetapi masih lagi dalam kategori waras. Norma dan nilai kemasyarakatan tetap saya junjung sebagai panduan dan sempadan.

Penantian adalah satu penyeksaan. Apatah lagi jika penantian yang hanya berlegar di ruang kosong. Mungkin sampai masanya jika kita buntu dan tiada pilihan. Justeru, akta undang-undang berkaitan kanak-kanak harus dikaji dan mewajibkan anak berumur 12 tahun ke bawah diajar teknologi telekomunikasi (selaras dengan program Angkasawan Malaysia).

Pada masa hadapan, anak kita perlu dibekalkan dengan 'alat canggih komunikasi' seumpama teknologi 'Star Wars' dan 'Star Trek' yang mengandungi signal GPS. Hilang saja, tahulah kita mencarinya.

Inilah masa dan ketikanya syarikat yang berkaitan teknologi maklumat dan telekomunikasi, institusi perundangan, institusi pendidikan dan institusi kemasyarakatan 'duduk semeja' bagi mencipta alat yang mampu dibeli ibu bapa. Terjemahkan segera keprihatinan kita melalui tanggungjawab sosial bersama.

Ya, memang gila idea saya ini. Satu idea yang gila-gila adalah perlu kerana kita kini menangani dunia yang kian menjadi gila. Jika tidak, saya pasti akan ada drama bersiri terbaru yang akan memaparkan plot penceritaan serupa. Cukup membimbangkan dan menakutkan untuk menghadapi masa hadapan.

ZAMER RIZAL OSMAN,
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor.

No comments: