Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Wednesday, January 23, 2008

Edisi Khas: Cuti Umum Lagi!

...Cuti lagi. Agak terperanjat juga apabila PM mengumumkan Cuti Umum terbaru untuk Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Putrajaya.

Aku pernah terbaca satu artikel yang memaparkan statistik cuti umum bagi negara-negara di dunia. Tidak silap aku, negara Malaysia merupakan salah sebuah negara yang mempunyai bilangan cuti umum yang terbanyak. Inilah untung kita hidup bersama masyarakat majmuk yang berbilang bangsa dan agama. Daripada "Cuti Musim Menuai" hinggalah ''Cuti Thaipusam", segalanya indah dalam kalendar cuti-cuti Malaysia.

Bagi golongan pekerja makan gaji, senyuman lebar terukir kerana tambahan satu hari lagi untuk "beristirehat". Bagi golongan peniaga pula terutama syarikat-syarikat besar, muka "masam mencuka" kerana keputusan dibuat oleh Kerajaan boleh dikatakan disaat-saat akhir. Tidak sempat ingin membuat pemberitahuan awal kepada rakan-rakan perniagaan di luar negara.

Dahulu, semasa aku bekerja di bawahan jajahan negeri Selangor, terasa amat mewah dengan Cuti Umum. Yalah, pada masa itu, jika hendak dibandingkan dengan negeri berhampiran (Wilayah Persekutuan), negeri Selangor mempunyai lebih bilangan cutinya. Apabila aku bertukar kerja di bawah jajahan negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, hati mula mencuka kerana cuti umum telah berkurangan.

Kini, dengan terasminya Thaipusam sebagai cuti umum terbaru, hati aku mula tertanya-tanya soal produktiviti pekerja-pekerja. Jika dilihat bulan Januari 2008 sahaja, cuti umum dan 3 hari. Hari Selasa (01hb), hari Khamis (10hb) dan hari Rabu (23hb). Cuti yang "terselit" dalam tempoh 5 hari bekerja, membuatkan aku "lemas". Apakah tidaknya...kalau hari Isnin, aku baru memanaskan kerusi dan hari Selasa graf produktiviti mulai "mencanak", tiba-tiba...graf produktiviti "menjunam" jatuh dek gara-gara cuti Thaipusam. Esok, hari Khamis kembali mendaki untuk mengembalikan tenaga dan momentum sehingga hari kemuncak Jumaat. Jika tugas aku berkaitan dengan orang lain, cukup membosankan jika dimaklumkan..."Err...maaf, En. Mamat bercuti sehingga hari Jumaat". Laa....sambung cuti pula Si Mamat ni...mengalahkan cuti penganut agama Hindu...

Sebelum ini, kerajaan telah mengumumkan bahawa pada bulan Februari sekolah akan diberikan cuti lebih awal bermula hari Isnin (4hb Februari) bagi tujuan memberi "keselesaan" untuk keluarga merancang cuti panjang sehingga 8hb Februari (hari kedua Tahun Baru Cina). Sudah tentu hari Sabtu akan menjadi "mangsa hari" bagi kelas gantian. Sudahlah cuti Umum makin bertambah, cuti gantian juga mengikut trend...lemas...lemas...

Hari ini (sempena Thaipusam), aku bangun agak lewat. Ambil sarapan dan terus mengadap Laptop. Anak-anak seperti biasa, mengadap kaca tv dari pagi sampai ke petang. Dari masa ke semasa akan terdengarlah jeritan isteriku dari dapur.."Abang...adik...buat kerja sekolah..." Aku...lepas menulis ni...dah tentu "berangan panjang" sambil melayan mata. Kalau ada rezeki, lelap sampai ke petang. Cukup tidak produktif. Hendak keluar bersiar, aku bukan jenis suka keluar berjalan...Putera Lilin gamaknya. Hendak menjawab emel kerja, rasanya dah tiada lagi isu-isu berkaitan.

Bagi masyarakat India dan penganut Hindu, anda cukup "produktif" hari ini. Di satu sudut minda aku terdetik..."Pilihanraya Umum sudah semakin hampir...Sudah bersediakah kita untuk kembali "MEMANGKAH"... Parti Pembangkang kian "BERSEMANGAT" tetapi Parti BN tetap menjadi "PUJAAN" masyarakat majmuk Malaysia. Aku akan kembali memangkah untuk kali Ketiga. Kali Pertama aku pangkah calon XXX, kali Kedua aku pangkah calon YYY dan kali Ketiga ini...masih lagi ???...Kesimpulannya, aku adalah seorang yang "kritikal dan reflektif". Undi adalah "RAHSIA"...hehe...

Coretan "Produktif" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: