Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, March 15, 2008

Edisi Khas : Puting Beliung Politik Negara

...Apa nak jadi? Itu adalah kenyataan ringkas yang tiba-tiba muncul dibenak aku apabila menonton siaran berita perkembangan politik tanahair pasca Pilihan Raya Umum Ke-12. Macam budak-budak berhingus yang berebut aiskrim Malaysia.

Di negeri Pulau Pinang semalam, begitu hebat perhimpunan "aman" diadakan yang diterajui pemimpin-pemimpin Umno dan Barisan Nasional. Dasar drastik DAP yang menggugurkan DEB benar-benar memanaskan punggung dan menggelegakkan kepala orang-orang Melayu. Suara lantang mereka benar-benar menakutkan.

Pada aku, Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng begitu rasional dalam hujahnya, cuma beliau agak "teransang" menyentuh dasar DEB yang begitu sensitif kepada orang-orang Melayu. Apakah benar dasar DAP kelak akan menindas orang-orang Melayu dan anak-anak "Mami" di Pulau Pinang. Adakah semasa pemerintahan Gerakan @ BN yang mendukung DEB dahulu, orang Melayu tidak pernah tertindas. Ribut tiada, taufanpun belum melintang, kita sudah melatah.

Seketika aku terfikir, "acuan" orang politik ini sama sahaja. Hanya memikirkan "kuasa" dan "pangkat". Apabila kuasa dan pangkat tiada lagi digenggaman, masing-masing mula menggelabah dan melatah. Inilah bahananya kalau tidak biasa "kalah" dimedan pertempuran. Di sana-sini kecoh dan hura-hara dengan kenyataan-kenyataan sensitif. Menuding sepuluh jari tetapi diri sendiri yang tidak waras. Melihat pekung orang lain tetapi diri sendiri sudah meleleh nanah. Mereka orang-orang politik ini perlu belajar untuk berada dibawah. Seumpama Parti-parti Pembangkang sekarang yang perlu belajar untuk menerima bangkangan parti BN. Jika sudah terlalu lama duduk "diatas", inilah akibatnya.

Aku cukup berbangga apabila mendengar kenyataan YAB Perdana Menteri semalam di TV3 yang begitu "jujur" mengakui "kelemahan" dan akur dengan kehendak rakyat. Inilah pemimpin yang "tidak malu" untuk berada dibawah dan "tidak berhidung tinggi" apabila berada diatas.

Keputusan Pilihan Raya Umum Ke-12 adalah keputusan rakyat yang amat "ajaib" dan "unik". Tidak pernah wujud sebelum ini kerajaan campuran yang berlainan dasar dan prinsip kepartian menerajui kepimpinan negeri. Sekiranya komponen DAP, PKR dan PAS berjaya melawan arus dan memerintah negeri Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Selangor dengan penuh berhemah, ini merupakan "libasan maut" kepada komponen BN (Umno, MCA, MIC & Gerakan). Bersainglah secara sihat. Siapa yang lebih "bijak" dan "cekap" dalam memerintah kerajaan negeri. Komponen A atau Komponen B? Usahlah dok leka bercakaran dan bertegang urat serta lidah kerana kelak rakyat akan "jelak" dengan perangai "tidak senonoh" sebilangan ahli-ahli politik dan parti yang diwakilinya.

Fikirkan disudut minda yang positif dan reflektif. Jika dahulu, YB yang "sekali-sekala" melawat kampung akan diiringi paluan kompang dan bunga manggar serta karpet merah kerana penghormatan rakyat yang begitu tinggi. Kini, rakyat yang perlu "disanjungi" kerana YB sebenarnya adalah singkatan untuk perkataan "Yang Berkhidmat" dan bukan "Yang Bercakaran" atau "Yang Berdendam".

Coretan "Yang Berfikir" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

1 comment:

Anonymous said...

Hello. This post is likeable, and your blog is very interesting, congratulations :-). I will add in my blogroll =). If possible gives a last there on my blog, it is about the Servidor, I hope you enjoy. The address is http://servidor-brasil.blogspot.com. A hug.