Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, January 4, 2009

Pengintip Tandas..."Back To The Future III"


Kembali ke zaman silam...1987...

Malam terasa hening. Langit kelihatan kelam tanpa sebutir bintang. Loceng dan lampu asrama seperti biasa tanpa kompromi akan melaksanakan peranannya tepat jam 11:oo malam. Sudah setahun lebih aku dilatih untuk menyesuaikan diri dengan bingit loceng asrama daripada pagi sampai ke malam. Waktu solat Subuh, waktu beratur dihadapan kamar, waktu berarak ke dewan makan, waktu solat Zohor, waktu sesi belajar petang, waktu solat Asar, waktu solat Maghrib, waktu makan malam, waktu sesi belajar malam, waktu solat Isyak dan akhirnya waktu tidur.

Loceng yang menjadi alat terpenting dalam membina budaya disiplin pelajar-pelajar asrama Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB). Loceng yang amat sinonim dengan kehidupan aku dan rakan-rakan di asrama. Tanpa loceng pasti aturan jadual penghuni-penghuni asrama menjadi tunggang-langgang. Jika jeritan loceng gagal mengetuk minda penghuni-penghuni asrama untuk segera menarik selimut, pasti kelibat Ustaz Wahab, Warden Asrama Blok A, Ibnu Khaldun akan muncul dimuka pintu kamar sambil membawa rotan yang disorok dibelakang punggung.

"Siapa lagi tu yang tak tidur...tutup lampu suluh tu," sergah Ustaz Wahab sekiranya mendapati ada lagi penghuni yang degil dan masih leka menelaah buku pelajaran disebalik kelambu putih.

Tangan aku mulai meraba-raba untuk memanjat katil double decker setelah mata buta sekejap gara-gara lampu asrama terpadam. Berkeriut bunyi besi katil yang aku pasti sudah menerima pelbagai jenis bentuk tubuh badan setiap tahun. Jika semasa di tingkatan 4 dahulu, aku akan sentiasa berpakaian lengkap. Mengenakan seluar dan baju tidur. Jika tidak, abang-abang senior pasti akan menegur dan mencubit puting tetek aku yang comel. Kini, setelah bergelar pelajar senior, aku lebih selesa berseparuh bogel. Hanya mengenakan seluar tidur sahaja tanpa baju. Panas.

Dalam kesamaran, aku dapat melihat ada beberapa buah katil masih belum menerima tetamu tetapnya.

"Dollah, mana Nizam dengan Zaidi?" tiba-tiba suaraku terpacul bertanya adik angkat aku yang berada dibawah.

"Entah," ringkas jawapan Dollah.

Setengah jam berlalu, aku masih berangan di atas katil. Sukar pula mata ini untuk melabuhkan tirai dan mengundang mimpi indah. Bosan mengiring kekanan, pusing pula kekiri. Tidak puas menelentang, menelangkup pula secukup rasa. Namun, minda ini masih lagi aktif memikirkan sesuatu yang kosong. Fikiran terasa kelam seperti langit yang muram.

"Alamak, nak terkencing pulak," rungut aku sambil menekan bawah perut. Pundi kencing terasa sakit.

Aku bingkas bangun. Berkeriut lagi bunyi katil usang. Langsung tidak menganggu dengkuran Dollah yang lena diulit mimpi. Suasana disekitar asrama kelihatan gelap-gelita. Hanya kedengaran sekali-sekala bunyi cengkerik menyanyi . Setiba aku di tandas yang hanya terletak bersebelahan dengan kamar A1, mata aku tertumpu kedalam ruang tandas yang lampunya terpasang cerah.

"Siapa pula berada didalam?" Tiada pula kelihatan kelibat manusia. Aku memanjangkan leher meninjau sambil kaki masih diluar pintu tandas. Naik pula bula roma aku apabila tiba-tiba minda terfokus perkataan "hantu". Apatah lagi tubuh aku yang tidak berbungkus, menambahkan lagi seram-sejuk seluruh badan.

Tanpa berlengah aku terus sahaja menuju lokasi kencing berdiri ditepi pintu. Terus sahaja memancut deras asid toksid yang hangat ke dinding aluminium. Tiba-tiba aku terdengar bunyi berdehem dan batuk-batuk kecil. Aku lantas meninjau-ninjau ke dalam. Ada lima pintu jamban. Dari mana datang bunyi tadi?

"Hishh..siapa pula yang berdehem tadi?" hati aku mulai tertanya-tanya.

Hidung aku mulai menghidu satu bau yang begitu berbeza dengan bau harum semulajadi tandas. Mata aku terpaku melihat kepulan asap putih yang kelihatan menerobos keluar dari salah satu pintu jamban.

"Ehh...asap apa pulak tu?" hati aku terus tertanya-tanya. Naluri ingin mengetahui lebih lanjut kian mencengkam.

Aku menghampiri daun pintu jamban yang mengeluarkan asap. Tangan terasa ringan untuk mengetuk pintu jamban. Ketukan yang bertalu-talu.

"Woiii..siapa kat dalam? Kamu hisap rokok dalam jamban ya. Nanti aku report kat Shahiran." suara aku begitu lantang memecah keheningan suasana tandas.

Aku pantas berlari menuju kembali ke kamar. Tanpa berlengah, bahu Shahiran, Ketua Pengawas Sekolah aku gegarkan dengan perlahan-lahan.

"Apahal ni Zamer?"
Shahiran terpinga-pinga sambil mengenyeh matanya dalam kesamaran.

"Ada budak hisap rokok dalam tandaslah Shahiran. Jomlah, kita periksa." aku berbisik ke telinga Shahiran. Bimbang kalau terdengar oleh rakan-rakan penghuni yang lain. Kecoh pula satu dunia.

"Ya ke? Jom." Shahiran seperti dibekalkan tenaga super bingkas bangun dari katilnya sambil menyarung selipar jepun.

Aku dan Shahiran tiba dimuka pintu tandas selang beberapa saat. Kami terserempak dengan Nizam dan Zaidi yang kelihatan tergesa-gesa keluar dari tandas.

"Ehh..Shahiran..Zamer...apahal korang ni? Nampak semacam aje." Langkah Nizam terhenti dimuka pintu tandas. Zaidi yang berada di belakang kelihatan menggarukan kepalanya.

"Korang hisap rokok dalam tandas ya!" suara Shahiran kedengaran amat lantang sambil tangan mencekak pinggang.

Aku yang berada disebelah Shahiran hanya membisu. Minda aku tiba-tiba mengarahkan aku agar segera beredar sebelum sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

"Aduh..mampus aku ni. Mesti dorang tau aku yang report kat Shahiran," hati aku mulai berbisik curiga.

Sambil Shahiran membebel panjang, aku dalam diam-diam mengangkat kaki menuju kembali ke kamar. Aku dapat melihat mata Nizam dan Zaidi menjeling tajam menghantar aku pergi.

"Mampus aku kali ini," langkah aku makin pantas menuju kamar A1.

Setiba di katil, perasaan aku mulai gelisah. Aku tahu pasti Nizam dan Zaidi akan mencari aku untuk membelasah aku cukup-cukup. Aku mencari ilham. Ilham yang perlu kreatif dan mampu menyelamatkan aku daripada dibelasah oleh mereka.

Aku lantas membuka kelambu putih Dollah sambil merangkak keatas tubuhnya yang besar.

"Ehhh..abang, apa ni? Kenapa abang tidur sekali dengan saya ni?" Adik angkat aku terkejut sambil bersuara panik. Mungkin risau berlakunya hubungan terlarang.

"Diam Dollah. Abang nak tumpang tidur jap. Ada orang nak pukul abang ni." Aku menjelaskan keadaan sambil berbisik rapat ke telinganya. Aku menyembunyikan tubuhku disebalik selimut Dollah.

Selang seketika, aku dapat melihat disebalik kelambu, Shahiran kembali ke katilnya. Tubuh samarnya hilang disebalik kelambu. Kembali menyambung tidurnya yang terganggu. Aku masih lagi ternanti-nanti episod seterusnya dengan seribu kebimbangan.

Seperti yang aku jangkakan, selang beberapa minit, kelihatan empat(4) tubuh berlegar disekitar katil aku.

"Mana pulak Si Zamer ni? Mana dia nak menyorok. Nahas dia kalau aku dapat dia. Aku belasah dia cukup-cukup. nak jadi spy konon," Nizam bersuara bengis. Zaidi dan dua orang lagi yang aku pasti diimport dari kamar lain kelihatan memegang sesuatu. Kayu atau besi aku tidak pasti.

"Takpa...malam ni kau bolehlah selamat Zamer. Esok aku cari kau," Nizam dan kuncunya lantas beredar dari katil aku sambil mendengus tidak puas hati.

Dollah yang terkejut daripada lena sebentar tadi membenarkan aku tidur bersamanya sehingga pagi. Lega aku mendengarnya. Dia tidak perlu bimbang kerana aku tetap suci dan murni. Inilah manfaatnya kalau aku sentiasa berbaik-baik dengan adik junior. Pasti mereka akan menolong aku.

Esoknya, aku bersiap seperti biasa seperti rutin harian. Aku dapat melihat Nizam dan Zaidi merenung tajam sambil menggenggam buku lima. Walau bagaimanapun, aku sudah tidak bimbang lagi pagi itu. Api kemarahan mereka aku pasti telah reda. Tidak seperti malam semalam yang umpama ledakan gunung berapi. Jika mereka ingin melakukan sesuatu pagi ini atau hari-hari mendatang aku tahu bagaimana untuk bertindak. Shahiran yang merupakan rakan baik aku akan sentiasa melindungi aku.

Hubungan aku dengan Nizam dan Zaidi telah menjadi hambar. Muka mereka sentiasa mencuka apabila berselisih bahu. Namun, disiplin asrama sebenarnya telah banyak menyelamatkan aku. Aktiviti yang sentiasa padat dan ketat setiap hari menyebabkan Nizam dan Zaidi kelihatan melupai peristiwa yang memalukan mereka. Menjelang peperiksaan SPM 1987, kami kembali berkawan seperti biasa. Tubuh badanku sedikitpun tidak diusik. Malah kami bersalam dan tersenyum dikala kami mengakhiri sesi persekolahan seolah-olah peristiwa "tandas" tidak pernah wujud dalam kamus kehidupan asrama kami.

Back to the future...

Nukilan "Spy 87" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

1 comment:

Anonymous said...

Although there are differences in content, but I still want you to establish Links, I do not know how you advice!