Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, April 19, 2009

Edisi Khas 10: Budaya Realiti vs Budi Pekerti


Pada tahun 2003, semasa dunia hiburan TV dikejutkan dengan program Realiti Akademi Fantasia, aku adalah salah seorang yang terpedaya dan terpengaruh dengan budaya baru program hiburan ini.

Seawal jam 8:30 malam, aku seisi keluarga sudah mengadap Astro Ria untuk mengikuti diari harian pelajar-pelajar Akademi Fantasia. Rela melewatkan masa makan malam sehingga jam 9:30 malam. Sabtu malam pula bersengkang mata sehingga hampir jam 12:00 tengah malam untuk menyaksikan pula permainan emosi oleh Aznil Nawawi dan peserta yang terkeluar. Setelah Rosmah tersingkir dan menerima kritikan hebat daripada penonton, aku dengan ringan jari menulis komentar yang bertajuk Akademi Fantasia: “Game Show” Era Baru, gara-gara geram dengan keputusan sms penonton yang aku anggap "bodoh".

Kini, setelah hampir 6 tahun berlalu, program realiti TV semakin subur bercambah bak cendawan tumbuh lepas hujan. Bermula dengan landasan hiburan nyanyian kini berjangkit pula ke landasan masakan, lakonan, sukan, perniagaan dan sebagainya. Program Bintang RTM yang dahulu terkenal dengan aura dan keunggulan konsep tradisional pertandingan juga terkena tempiasnya. Cuma Penerbit Bintang RTM mengambil konsep undian sms penonton sebagai sebahagian intipati penilaian disamping juri profesional, walaupun auranya kurang menyerlah. Jelas, budaya pertandingan kini telah berubah dek ledakan teknologi maklumat dan telekomunikasi yang semakin canggih.

Malam ni aku sempat menonton program Mentor 3 yang kini sedang rancak memilih Protege melalui enam orang Mentor. Jarang aku menonton program realiti hiburan yang tidak membina fikiran ini sejak meluat menonton drama Akademi Fantasia. Komen jujur yang tidak berlapik daripada Mentor Jac, Mas Idayu, Lah, Adibah Amin, Ajai dan Awie kepada peserta-peserta uji bakat benar-benar menarik perhatian aku. Disudut pemikiran reflektif aku, gelagat peserta-peserta yang rata-rata orang Melayu ini cukup memalukan. Aku sendiri dalam tergelak merasakan amat terkilan dengan gelagat budak-budak Melayu kita.

Bermula dengan persediaan ala kadar (main redah saja), suara rojak yang mampu menggugurkan jantung, penampilan dan pakaian yang kurang sesuai dan sebagainya membuatkan aku terfikir adakah ini generasi anak Melayu dan rakyat Malaysia yang ingin kita lahirkan. Merayu dan menangis kepada Mentor tidak tentu pasal, tidak mahu mengakui kelemahan, tidak faham bahasa, tidak faham undang-undang dan kriteria, bertindak mengikut emosi dan sebagainya.

Syabas TV3 kerana menayangkan aksi spontan mereka. Walau bagaimanapun, aku berpendapat ianya kurang wajar dirakamkan kerana ianya pasti meninggalkan kesan kepada penonton-penonton. Lagak mereka akan menjadi ikutan generasi muda terutama kanak-kanak yang menonton. Elokkah aksi dan dialog tidak sihat mereka dipaparkan? Anak siapakah yang tergedik-gedik dan terkinja-kinja diatas pentas? Malu atau berbanggakah ibu bapa mereka apabila menyaksikan anak mereka yang bertudung menari diatas pentas dan menangis serta merayu. Aku sendiri keliru samada ingin simpati, sedih, tertawa atau malu. Aku pasti mereka semua berbangga kerana bukan senang hendak masuk dalam kaca televisyen TV3. Tidak kisahlah walaupun aksi yang dirakamkan tidak langsung membina pemikiran.

Entahlah. Kemanakah arah tuju dunia hiburan kita? Konsep SATU MALAYSIA yang kini diwar-warkan oleh Perdana Menteri (PM) kita adakah benar-benar dihayati oleh media hiburan kita? Aku cukup bimbang. Mungkin kita sudah mengurangkan aksi ganas dan seks dikaca televisyen tetapi kita tidak usah leka kerana pembentukan budaya kurang sihat juga boleh meracuni pemikiran dan gaya hidup penonton melalui program hiburan realiti TV. Jangan pula nanti keluarga bercelaru dek kerana duit belanja bulanan terbabas kerana undi SMS. Anak-anak pula mengabaikan pelajaran dek kerana leka berangan untuk menjadi penyanyi realiti. Umpama anai-anai yang memakan tiang rumah dengan senyap. Memanglah ianya sekadar hiburan tetapi biarlah hiburan yang BERTANGGUNGJAWAB untuk membina budaya yang sihat.

FIKIRKANLAH wahai golongan bijak-pandai!

Coretan "Mental" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: