Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, April 4, 2009

Edisi Khas 6: Pra-Pilihan Raya Kecil - Dua Bukit dan Satu Batang


Pilihan Raya Kecil pada 7 April 2009 akan menyaksikan sekali lagi pertarungan kalah mati antara parti pemerintah Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Pembangkang. Bagi BN, ianya merupakan ujian awal barisan kepimpinan baru UMNO yang diterajui Presiden UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak bersama wajah-wajah baru Timbalan Presiden dan Naib Presiden. Adakah barisan kepimpinan baru ini mampu menyerlahkan aura ajaibnya seterusnya mempengaruhi undi rakyat yang berada di dua bukit dan satu batang? Sama-samalah kita lihat keputusannya nanti.

Kedengaran agak lucah tajuk Edisi Khas aku kali ini. Mengambil perkataan pertama daripada Bukit Selambau, Bukit Gantang dan Batang Ai. Tidak menjadi kejanggalan kepada aku kerana kita sudah biasa mempersendakan nama Batang Berjuntai (Selangor). Malah, sudah menjadi budaya dalam komunikasi masyarakat kini samada secara verbal atau elektronik untuk menyelitkan gurauan berbaur lucah. Tidak perlu rasa pelik dan terganggu kerana realitinya kehidupan kita sebenarnya sentiasa disuapkan dengan percuma bahan-bahan lucah melalui media cetak dan elektronik samada secara langsung atau tidak langsung. Maka, jangan mengambil serius versi Edisi Khas aku kali ini. Sekadar berkreatif melalui media penulisan.

Adakah BN atau Pakatan Pembangkang akan memenangi dua bukit dan satu batang (pakej) atau sekadar menang dua bukit tanpa batang atau satu bukit sahaja atau satu batang tanpa dua bukit? Berdasarkan ketiga-tiga nama tempat ini, aku ingin menganggap bahawa masing-masing pasti inginkan kemenangan mutlak. Cacat rasanya kalau hanya sekadar menang satu bukit. Pasti tidak menarik tanpa satu lagi bukit.

Bagi BN, kemenangan mutlak ketiga-tiga DUN akan memberikan "political and image mileage" kepada kepimpinan baru UMNO untuk terus mencanangkan kewibawaan dan keterampilan untuk menjulang masa hadapan. Bagi Pakatan Pembangkang, kemenangan mutlak pula akan memberikan "morale mileage" terutama kepada bekas Menteri Besar Perak yang kini gugur dimedan pertempuran politik yang sukar diduga permainannya.

Media cetak dan elektronik kini hebat berkempen mewakili parti BN. Teknik dan strategi biasa yang digunakan oleh Parti Pemerintah sejak zaman berzaman. Aku berharap agar parti BN tidak syok sendiri dan leka dengan segala strategi lama ni kerana aku pasti Parti Pembangkang juga mempunyai senjata sulitnya yang menjadi tanda-tanya. Mungkin bom mortar yang akan dicampakkan disaat-saat akhir. Psikologi rakyat sekarang kini telah berubah. Tidak lagi sekadar bergantung kepada berita dan ulasan sebelah pihak yang kadangkala boleh membuatkan kita termuntah. Rakyat inginkan alternatif berita yang akan membuatkan mereka berfikir dengan lebih waras dan wajar.

Desas-desus mengatakan bahawa BN akan kalah di satu Bukit iaitu Bukit Gantang kerana rakyat masih lagi panas dan sensitif dengan isu peralihan kuasa yang menimbulkan banyak persoalan yang memeningkan. Orang Melayu cukup kuat dengan sentimen dan perasaan. Sekiranya Pakatan Pembangkang bijak bermain psikologi dan emosi pengundi-pengundi Bukit Gantang, pasti undi berpihak kepada mereka. Strategi Pakatan Pembangkang meletakkan bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin aku anggap sebagai strategi bijak kerana elemen simpati pasti akan mengambil tempat untuk memancing dan memukat undi. Beliau bukan wajah baru yang perlu diperkenalkan lagi berbanding dengan calon BN.

Aku berharap agar dalam masa terdekat ini usahlah ada lagi wakil-wakil rakyat yang menemui ajal. Moga diizinkan Allah SWT. Cukup memenatkan apabila memerhatikan rakyat berkumpul dan berpiket. Pemimpin-pemimpin pula terganggu untuk melakukan tugas hakiki yang lebih produktif untuk membangunkan negara. Asyik sibuk berpolitik dan berkelahi sehingga rakyat dan isu utama negara terpinggir. Apabila muncul PRU 13, mereka kembali menjadi burung kakak tua untuk mengulangi skrip yang sama. Bosan.

Malam 7 April 2009 adalah detik keramat untuk mengambarkan senario masa hadapan politik negara. Apa jua keputusannya, orang-orang politik tetap dengan lakonan dan sandiwaranya. Kita sebagai rakyat adalah mangsa kepada lakonan dan sandiwara mereka. Entahlah. Aku tidak gemar berpolitik tetapi gemar berbicara tentang politik. Aku juga berlakon dan bersandiwara. Bezanya aku di pentas mata pena (simbol penulisan) yang lebih tajam daripada mata pedang.

Coretan "Dua Makna" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: