Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, April 25, 2009

Edisi Khas 11: BOHSIA vs Rempit


Jika sebelum ini aku tertarik dan terpukau dengan kecanggihan teknologi barat dalam filem sains fiksyen Alien vs Predator, di Malaysia pula aku terpegun dengan selitan promosi babak merangsangkan dalam filem terbaru "BOHSIA". Terkejut dengan kreativiti hebat tidak bermoral Pengarah dan Penerbit filem yang hanya mementingkan nilai komersial tanpa memikirkan implikasi filem berkenaan kepada generasi muda dan masyarakat amnya.

Aku tersentak apabila kali pertama menyaksikan babak menarik filem BOHSIA di kaca televisyen baru-baru ini. Adakah aku berfikiran kolot atau kuno kerana minda aku tiba-tiba tertutup dan jantung berdegup kencang? Tema filem yang cukup menggegarkan perasaan. Walaupun ada ayat kesedaran "Jangan Pilih Jalan Hitam", aku masih tertanya-tanya adakah filem ini sesuai dengan budaya masyarakat kita apatah lagi kita masih lagi dibelenggu dengan pelbagai masalah moral anak-anak remaja.

Adakah benar filem BOHSIA ini mampu mencetuskan kesedaran anak-anak remaja agar tidak terlibat dalam aktiviti tidak bermoral ini? Jika benar, adakah kajian dibuat selepas tayangan filem REMPIT dahulu untuk membuktikan penurunan kadar pembabitan Mat Rempit dalam aktiviti tidak bermoral. Pastinya secara umum, Mat Rempit masih lagi ligat memutarkan roda tayar motornya dijalanraya dan tidak pernah bimbang atas keselamatan seperti mesej yang cuba disampaikan oleh Pengarah dan Penerbit filem. Malah mereka semakin hebat.

Aku pasti mesej filem BOHSIA akan dibaca secara terbalik oleh golongan BOHSIA @ ALIEN dan juga MAT REMPIT @ PREDATOR. Filem BOHSIA seolah-olah akan mengangkat MARTABAT mereka dikacamata masyarakat. Golongan ini pasti akan berduyun-duyun mengerumuni panggung-panggung wayang dan selepas sebulan, Penerbit akan tersenyum bangga dengan kutipan yang memecahkan rekod perfileman Malaysia. Adegan dan babak ganas serta merangsangkan dalam filem BOHSIA pasti akan menimbulkan BERAHI golongan BOHSIA dan MAT REMPIT untuk meniru aksi yang sama sejurus sahaja tamat tayangan filem. Lokasi seperti hotel murah, taman rekreasi dan belakang lorong pasti akan dijadikan sasaran utama untuk melempiaskan nafsu yang membuak-buak. Pasti kondom yang lekit dengan cecair bersepahan di merata tempat.

Mungkin aku agak keterlaluan dalam berfikir secara REFLEKTIF. Aku cuma ingin menterjemahkan faktor PSIKOLOGI anak-anak remaja. Mereka bukan berfikiran seperti Pengarah dan Penerbit Filem yang aku tidak nafikan berniat baik dan positif. Jiwa mereka adalah jiwa memberontak dan jiwa yang suka mencuba sesuatu yang baru. Filem BOHSIA hanya akan mencelarukan lagi masalah sosial anak-anak remaja yang kini kita sudah tidak menang tangan.

Percayalah bahawa filem bukanlah landasan terbaik untuk mencetuskan kesedaran golongan BOHSIA, MAT REMPIT, MINAH TERSEPIT, GAY, LESBIAN dan PELACUR. Landasan terbaik adalah melalui PENDIDIKAN JANGKA PANJANG melalui ceramah, kaunseling dan tarbiah agama.

Pihak media samada media elektronik atau media cetak usahlah terlalu ghairah mengalahkan mereka pula untuk mengisi poket kamu dengan wang ringgit dan nilai komersial yang membawa sial. Kamu mempunyai tanggungjawab besar untuk membentuk generasi akan datang. Aku tidak berkuasa kerana aku hanya ada mata pena untuk melayangkan pancungan mesej reflektif aku.

Nantikan kemunculan pelakon-pelakon pelapis filem BOHSIA dipanggung-panggung wayang berhampiran anda. Pasti anda akan terpegun menyaksikan bahawa terdapat ramainya bakat-bakat semulajadi yang bisa membintangi sekuel filem BOHSIA 2, 3, 4 dan seterusnya. Diharapkan agar Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan Malaysia tidak lena diulit mimpi untuk meneruskan budaya "Sudah Terantuk Baru Hendak Terngadah". Sediakan Garis Panduan Perfileman yang lebih spesifik!

Coretan "Mat Reflektif" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: