Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, April 5, 2009

Edisi Khas 7: Sandiwara 4 Politik Negara

PUTRAJAYA 4 April – Tun Dr. Mahathir Mohamad hari ini kembali menyertai UMNO setelah hampir setahun meninggalkan parti tersebut.

‘‘Walaupun saya berada di luar UMNO tetapi dalam hati saya masih orang UMNO. Walaupun saya tegur UMNO, saya fikir teguran itu adalah untuk membina UMNO, bukannya untuk menghancurkan UMNO.

‘‘Oleh itu saya berharap yang keluar UMNO sama dengan saya akan kembali semula dan harap parti akan menerima mereka,” katanya.

Disudut "pemikiran reaktif", perkembangan politik terkini UMNO ini merupakan satu bonus kepada Presiden baru UMNO, Datuk Seri Najib Tun Razak. Berjaya mengembalikan mantan Perdana Menteri kedalam UMNO setelah hampir setahun merajuk dan membawa diri. Bekas Perdana Menteri yang aku cukup gemar apabila beliau berbicara atau berceramah. Bersahaja..."apa nama".

Disudut "pemikiran reflektif" pula, aku seperti rasa "jelak", "mabuk", "pening" dan "keliru" dengan senario politik semasa ini. Aku ingin sahaja secara mudah mengatakan bahawa inilah "sandiwara politik" yang tidak pernah ada jalan penghujung dan titik noktah. Dahulu, semasa Tun Dr Mahathir keluar daripada UMNO dan menyerang Pak Lah dan barisan kepimpinannya, semua orang terutama orang-orang politik melatah bagai nenek berkemban yang menyingkap kain batik lusuh. Tarik ke atas atau ke bawah serba tak kena. Tarik ke atas nampak parut, tarik ke bawah nampak kurap. Pada masa itu aku sendiri beranggapan Tun Dr Mahathir telah tiba saat Maghribnya. Kadangkala timbul juga rasa marah atas kelantangan Tun Dr Mahathir. Pada ketika itu suaranya amat garang dan tegas dengan kenyataan untuk membongkarkan segala kepincangan kepimpinan negara. Kemanakah terbangya isu-isu yang dibangkitkan oleh beliau? Adakah kini disorok dibawah permaidani merah?

Kini, Tun Dr Mahathir dianggap simbol penyatuan UMNO dan mungkin negara secara amnya. Tiba-tiba harga diri Tun Dr Mahathir melambung tinggi. Dijulang dengan sejuta tangan-tangan ajaib yang dahulunya gila hendak menampar. Tidak dinafikan pengaruh Tun Dr Mahathir masih lagi terasa. Bekas Perdana Menteri yang telah membawa banyak perubahan, kemajuan dan pembangunan kepada negara. Tidak mampu disangkal. Aura beliau masih diperlukan sehingga nafas terakhir.

Hari ini bermusuh, esok kembali berkaw
an. Hari ini berkawan, hari esok berlawan.
Apabila melihat sandiwara atas nama "perjuangan dan perpaduan" ini , disudut pemikiran reflektif, aku lebih berbangga dan kagum dengan Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Nik Aziz yang daripada dulu sampai sekarang masih mengekalkan identitinya. Dinasti Tuan Guru yang kukuh bertahan dengan imej negeri Serambi Mekah. Walaupun diserang disegenap penjuru, Tuan Guru tetap "steady" dengan kenyataan-kenyataan beliau yang sinis dan tajam. Tidak pernah berubah dengan prinsip perjuangannya. Budaya kehidupan Islam yang mampu diterjemahkan oleh Tuan Guru tanpa slogan dan kempen bermusim.

Aku bukan pengulas atau pengkritik politik yang mengikut arus ke hulu atau ke hilir. Bukan juga pengikut fanatik mana-mana parti politik. Aku sekadar pemerhati halimunan yang hanya mempunyai satu undi di dalam Pilihan Raya yang muncul setiap 4-5 tahun sekali. Coretan dan undi aku pasti tidak akan mencalarkan sesiapa. Aku pasti sandiwara politik ini akan berterusan sampai bila-bila selagi pemimpin dan orang-orang politik itu bernama "manusia biasa" yang penuh hawa nafsu, dendam kesumat dan hasad dengki. Elemen kemanusiaan yang "standard", cuma berlainan bekas dan acuan samada UMNO, PAS, PKR, MCA, MIC, DAP, BEBAS dan sebagainya.

Coretan "Kembali" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: