Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, April 17, 2009

Edisi Khas 9: Rangsangan Kepimpinan Baru

KLANG 17 April — Datuk Seri Najib Tun Razak berkata beliau akan memantau secara peribadi setiap minggu setiap aspek pelaksanaan pakej rangsangan ekonomi dan keadaan ekonomi Malaysia.

“Saya akan mengambil tindakan pemulihan perlu yang segera jika diperlukan,” kata Perdana Menteri semasa merasmikan mesyuarat tahunan ke-63 Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Bersekutu Malaysia (ACCCIM) di sini hari ini. -Utusan Malaysia-

Hari ini dalam sejarah. Jarang sekali aku berpuas hati dan tersenyum apabila menonton berita Buletin TV3. Maklumlah, sejak Pasca PRU 12, acap sangat laporan yang dipaparkan membuatkan aku loya dan hendak termuntah. Mengulangi dan mengulas isu-isu lapuk, berkarat, berkulat dan berulat. Menyampah!

Malam ini, kenyataan Perdana Menteri (PM) baru, Datuk Seri Najib Tun Razak benar-benar menarik perhatian dan minat aku. Aku tidak mahu berfikir secara "reflektif negatif" untuk mengatakan bahawa ini semua sekadar sandiwara terbaru dan permainan ahli-ahli politik. Rasa tidak adil dan terlalu awal untuk menanggap PM baru kita ini sedemikian rupa. Kali ini aku ingin mengubah nada dan bertekad untuk memberi peluang kepada beliau dan barisan kepimpinan beliau untuk menunjukkan kemampuan dan kewibawaan berasaskan Petunjuk Prestasi Utama (KPI). Terma KPI yang bukan sesuatu yang pelik bagi aku yang bertugas didalam sektor korporat. Aku ingin memberikan mereka sedikit ruang dan nafas untuk tempoh yang lebih praktikal. Undang-undang KPI bagi golongan ahli-ahli politik amat mudah. Golongan yang rajin berkerja dan kerap turun padang akan dikekalkan. Golongan "halimunan jadian" yang hanya muncul semasa kempen pilihanraya perlu "dipancung" seawal mungkin. Menghabiskan "boreh" kata orang Negeri Sembilan.

Aku amat berharap agar PM baru kita tidak terpengaruh dan terlalu mengikut arus deras yang songsang yang dibawa oleh sebahagian ahli-ahli politik tidak kira daripada parti UMNO, MCA, MIC, DAP, Gerakan, PKR atau PAS. Ada antara mereka yang telah nyanyuk, lupa daratan, tidak sedar diri dan tidak sedar dek untung. Seperti yang aku katakan dalam Edisi Khas aku sebelum ini, orang-orang politik ini serupa sahaja bentuk acuannya. Perbezaan mereka adalah pada jenama, logo dan warna yang diusung. Aku harap PM baru kita ini fokus untuk memperjuangkan transformasi "Satu Malaysia. Rakyat Didahulukan. Pencapaian Diutamakan."

Kenyataan beliau malam ini amat dekat dihati aku dan rakyat amnya. Membicarakan isu tol, kajian harga tarif letrik dan gas asli, penguatkuasaan undang-undang dan sebagainya. Ini yang aku inginkan. Usah menjadi seperti bertih jagung apabila diminta komen politik. Melatah tidak tentu pasal. Silap gaya akan mengundang padah. PM, Menteri dan Timbalan Menteri perlu berfikir ke hadapan, bukan gila berbicara dan bergelumang dengan hasad-dengki dan dendam-kesumat permainan politik yang tentunya tiada kesudahan. Berpusing-pusing dan berpinar mengeluarkan komen seperti sebahagian ahli-ahli politik yang mabuk. Cakap berdegar-degar tetapi hasil habukpun tiada. Dalam pada itu, aku inginkan agar isu harga barangan keperluan tidak dilupakan. Aku masih ingat lagi bekas Menteri yang berkaitan bercakap dengan penuh bersemangat. "Harga barangan keperluan harian akan turun dalam suku tahun pertama tahun ini". Versi kenyataan buat kali kesepuluh. Bosan. Menteri baru sudah dilantik. Sudah ada perkembangan terbaru ke? Tentu ada idea bernas untuk menarik minat dan sokongan rakyat. Jangan berlengah apabila menyentuh kebajikan rakyat wahai Menteri baru!

SYABAS AWAL kepada PM baru dan saf kepimpinan beliau. Buat masa ini tiada aura yang unggul lagi mampu dipancarkan oleh beliau. Beliau bukan ikon pemimpin aku. Aku percaya, jika beliau mampu membuktikan "APA YANG DIKATA, DIKOTA", PRU 13 akan memberikan sedikit ruang kelegaan kepada Barisan Nasional. Gelombang Tsunami pasti akan reda. Seperti yang aku katakan, aku bukanlah penyokong fanatik mana-mana parti politik. Walaupun aku menyokong parti BN atau Pembangkang sekalipun, kehidupan harian aku tetap berpaksikan prinsip keperibadian yang tidak boleh dijual-beli. Prinsip diri yang bak tembok konkrit yang sukar dipesongkan oleh sandiwara parti-parti politik yang mampu aku baca. Bertugaslah dengan penuh dedikasi wahai pemimpin-pemimpin negara. Jika kamu gagal, akan aku asah lagi mata pena aku agar lebih tajam dan berkilat daripada mata pedang dan mata tombak! Memancung kepala dan menembus jantung dengan serentak!

Coretan "Terangsang" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: