Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, October 6, 2007

Kod Kehidupan : Teknologi vs Keajaiban

Senario:

KUALA LUMPUR 5 Okt. – Dalam tempoh 36 jam antara pukul 8 malam Rabu lalu hingga 8 pagi hari ini, pasukan perubatan Institut Jantung Negara (IJN) telah melakukan pembedahan selama 22 jam untuk menyelamatkan nyawa Tee Hui Yee, gadis yang bergantung nyawa kepada jantung mekanikal sejak setahun lalu.

Beberapa jam selepas selesai menjalani pembedahan pemindahan jantung yang didermakan oleh keluarga remaja Melayu berusia 15 tahun dari Sitiawan pada pukul 9.05 pagi semalam, tubuh Hui Yee menunjukkan penolakan terhadap jantung tersebut.

Pasukan perubatan IJN menimbangkan beberapa pilihan tetapi lewat petang semalam mereka membuat keputusan untuk mencari jantung baru bagi menggantikan jantung remaja lelaki dari Sitiawan itu yang meninggal dunia dalam satu kemalangan jalan raya.

Kod Mesej:

Seketika selepas membaca berita mutakhir ini, fikiranku dijentik oleh satu persoalan yang membuka ruang kesedaran paling subjektif.

Kesimpulan yang aku perolehi adalah kita hanya berusaha dalam skop sempit teknologi perubatan tetapi ada kuasa yang MAHA BESAR yang menentukan hasil usaha canggih kita.

Aku tertanya-tanya, apakah kod mesej yang ingin disampaikan apabila jantung baru yang diterima menunjukkan "penolakan" yang ketara oleh tubuh badan Hui Yee. Ya, aku pasti dan sedar, inilah keunikan ciptaan Allah SWT yang mencipta manusia dengan penuh keajaiban.

Manusia dicipta dengan setiap organ badannya dihubungkan antara satu sama lain. Otak, buah pinggang, hati, jantung, paru-paru dan segala bentuk organ ciptaan unik dalam tubuh badan umpama satu "unit" yang sentiasa "berhubung". Organ-organ ini umpama ahli keluarga yang sentiasa "bekerjasama", "memahami, dan "saling bantu-membantu" tanpa sesaatpun cuai. Ianya bukan sekadar urat nadi yang berlingkar dan darah merah yang mengalir. Kehadiran "organ angkat" didalam tubuh badan gadis ini mungkin satu "kejanggalan" kepada organ-organ lain. Umpama "orang luar" yang bertandang ke rumah kita dan terus berlegar seolah-olah "rumah sendiri". Pastinya kita akan merasa kurang selesa.

Adakah bisa organ-organ badan yang lain menerima "organ angkat" sekiranya manusia dicipta "unik" untuk diri mereka sendiri? Inilah persoalan yang bermain difikiran aku. Aku percaya bahawa disamping teori dan kecanggihan teknologi perubatan, pasti ada unsur-unsur "unik" yang tidak mampu dirungkai oleh pemikiran biasa.

Walaupun telah terbukti pemindahan organ hati, buah pinggang, tangan, kaki dan sebagainya telah membuahkan hasil tetapi aku pasti kejayaan ini bukanlah ideal. Penerimanya pasti akan menjalani rawatan susulan "seumur hidup" dan menelan segala macam jenis ubat. Inilah hakikat yang harus kita terima bahawa sememangnya manusia dicipta adalah "unik" untuk tubuh badan mereka sendiri. Seumur hidup penerima akan mengalami kesan psikologi dan emosi. Mustahil penerima boleh mengaturcara minda (otak) untuk menganggap "organ angkat" seperti "organ sendiri".

Pemindahan organ jantung adalah sesuatu yang amat besar dan luar biasa dalam sudut perubatan. Ianya umpama mengubahsuai "litar suis utama" bekalan elektrik di rumah kita. Tidak berfungsinya suis utama bermakna segala aktiviti di dalam rumah akan terhalang.

Adakah organ-organ tubuh badan Hui Yee akan "bersepakat" untuk menerima "pemimpin baru" untuk kali kedua. Inilah tempoh kritikal yang perlu dihadapi oleh Hui Yee dan ahli-ahli perubatan.

Walaupun Hui Yee diberikan peluang kedua untuk meneruskan hidup selepas setahun bergantung kepada jantung mekanikal, ianya bukanlah "senyuman" untuk kita berbangga dengan kecanggihan teknologi perubatan. Kebijaksanaan kita hanyalah "usaha dan ikhtiar" yang tidak mampu menandingi keajaiban ciptaan dan kekuasaan Allah SWT.

Apakah kod mesej seterusnya yang akan disampaikan? Jika jantung penderma seorang remaja berketurunan Melayu gagal serasi, adakah jantung penderma seorang berketurunan Cina mampu diterima oleh Hui Yee?

Kod mesej yang dinanti untuk menimbulkan seribu lagi kod persoalan...


Kod "Subjektif" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, September 28, 2007

Kakak Angkat..."Back To The Future II"

Kembali ke zaman silam...1986...Babak 2...

...Bergelar pelajar "junior" ada ketikanya begitu menyeronokkan. Walaupun ada pengalaman-pengalaman yang "kurang enak" seperti dibuli, dipulau, dikutuk dan sebagainya, aku masih beranggapan kehidupan di asrama masih tetap menjadi landasan penting dalam membentuk keperibadian aku.

Bagi pelajar-pelajar "senior" pula, ketika pelajar-pelajar "junior" melaporkan diri dan menjalani minggu orientasi, mata mereka (terutama pelajar lelaki) mulalah liar mencari adik-adik yang "berdahi licin" atau "cun". Dalam hati mula memasang niat, alangkah seronok dan bangganya kalau si cantik molek menjadi "adik angkat". Yang lelaki mencari adik perempuan, yang perempuan pula mencari adik lelaki. Selang sebulan-dua, setiap kamar mulalah kecoh dengan berita-berita sensasi "siapa yang mengangkat dan siapa pula yang diangkat".

Aku bukanlah dalam kategori "adik yang diangkat" pada ketika semua pelajar kecoh bercerita. Kiranya aku ini dalam kategori "low profile" yang tiada seorang kakak "senior" yang ingin menjeling apatah memandang atau mengajak aku berbual dan berkenalan.
Selang beberapa bulan, pihak asrama telah menganjurkan Pertandingan Nyanyian Antara Kamar. Entah apa mimpi abang-abang "senior", nama aku adalah salah seorang yang telah dicalonkan oleh semua penghuni kamar untuk mewakili Kamar A1.

Setiap kamar perlu menghantar 2 penghuni untuk pertandingan ini yang melibatkan Asrama Putera dan Puteri. Aku mula panik dan menggelabah. Lagu apa pula yang ingin aku sampaikan. Fikir punya fikir...akhirnya lagu "Kepulangan" dendangan Razis Ismail telah menjadi pilihan aku. Hentam sajalah. Sampai atau tak sampai nada suara aku...nasiblah...siapa suruh pilih aku. Abang angkat rasmi aku yang bernama Azman Mugari (Al-Fatihah...telahpun kembali ke Rahmatullah sekitar tahun 1990an) tidak putus-putus memberikan aku semangat.

Tiba hari pertandingan, aku memakai baju bunga (Mat Bunga) berseluar dan berkasut hitam. Kalau hendak dibandingkan dengan peserta-peserta yang lain, kostum aku boleh dianggap yang paling "miskin". Terasa juga jurang perbezaan. Detik mendebarkan telahpun tiba. Nama aku diumumkan sebagai peserta seterusnya. Peluh sejuk mula mengalir. Muka kusam dan pucat. Tangan menggigil memegang "mic". Lantas suara dialunkan mengikut melodi. Cukup bertenaga pada permulaan. Tiba bahagian "chorus"...Ya Allah...lupa pula lirik..."blank"...aduh!....suasana sunyi-sepi. Aku langsung tidak berani mengangkat muka untuk memandang audien. Malu besar!

Aku terus saja memotong chorus dan menyanyi ikut sedap mulut sampailah ke akhir. Cukup melemaskan. Aku seperti berada di gua, hanya mendengar suara sendiri. Hilang fokus. Selesai sahaja melontarkan suara pada lirik terakhir, tanpa berlengah aku terus mengangkat kaki turun dari pentas dengan muka tebal. Tiada tepukan gemuruh yang mengiringi. Cukup Malu!

Dibelakang pentas, tiba-tiba datang seorang kakak "senior" (salah seorang peserta pertandingan) merapati dan menegur aku yang sedang mengelamun dengan muka muram. Aku lupa apa yang aku perbualkan dengannya ketika itu. Menariknya, peristiwa yang memalukan aku sebentar tadi telah membuka "pintu hati" kakak "senior" berkenaan untuk berkenalan dengan aku dengan lebih lanjut.

Akhirnya, hikmah daripada peristiwa memalukan diri aku dan kamarA1 telah merapatkan aku dengan kakak "senior" yang bernama Siti Nor Halid yang berasal dari Parit Yaani, Yong Peng, Johor. Aku telah "diangkat" sebagai "adik angkat" yang telah memberikan aku pengalaman paling menarik sepanjang tahun 1986 di Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB/TIJB).

Kak Siti...dimanakah dirimu sekarang? Alangkah seronoknya jika kita dapat bertemu dan kembali menerokai masa hadapan..."Back To The Future..."

Razis Ismail

Kepulangan


Berlari menuju ke muka pintu

Seakan pasti suaramu

Yang terdengar

Sayup-sayup mesranya memanggilku



Berabad tak mendengar suaramu

Berbisik manja kepadaku

Yang terdengar

Cumalah hanya kalimah pemutus cinta



Gementar perasaanku

Menyahut panggilanmu

Dan demi pintuku buka

Dihadapanku seorang wanita



Airmata bertitisan ke pipinya

Yang cengkung dan layu tak bermaya



Terharu ku mendengarkan nasibmu

Semenjak kau meninggalkanku

Apalah.. daya diri

Tiada kekosongan lagi




Nostalgia 'Terangkat":
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, September 21, 2007

Kod Kehidupan vs "Back To The Future" : Tragedi Nurin Jazlin

...Cukup sebak dan memilukan. Mudah untuk aku menulis bagi menterjemahkan perasaan yang mencengkam jiwa. Namun, berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Syukur aku panjatkan ke hadrat Allah SWT kerana keluargaku masih lagi terpelihara daripada "ujian" yang hebat. Bagi keluarga Nurin, aku percaya inilah "dugaan terhebat" yang sukar diterima. Takziah diucapkan...

Adakah ini sebahagian daripada skrip kod kehidupan Nurin yang tidak boleh dielakkan? Skrip kod kehidupan yang cuba menyampaikan mesej "kesedaran" dan membongkar "virus" kepincangan kehidupan manusia yang kini tidak lagi berpaksikan norma dan nilai murni sejagat. Nurin Jazlin adalah antara mangsa "terpilih" yang menjadi "pelakon utama" kepada "babak bersiri" drama kehidupan dunia senja.

Sejenak aku cuba mengaturcara Kod Kehidupan ini dengan penjelajahan mustahil "Back To The Future". Aku ingin kembali ke tarikh 20hb Ogos 2007, pada malam kehilangan Nurin untuk melihat permulaan detik kesengsaraan anak malang ini.

Kembali ke tarikh 20hb Ogos 2007...

Dari satu lokasi yang jauh, aku dapat melihat dalam kesamaran peristiwa hitam yang terjadi. Seorang anak kecil yang aku pasti Nurin kelihatan dirangkul kasar oleh seseorang. Lalu Nurin dihirit menaiki sebuah kenderaan. Kelihatan Nurin meronta tetapi tidak mampu melepaskan diri. Kedengaran Nurin meraung tetapi suara kecilnya tenggelam dalam kegelapan malam. Lantas ditutup mulutnya, dipukul dan ditampar tanpa belas kasihan. Di dalam kenderaan, airmata Nurin mengalir deras sambil menggigil ketakutan. Darahnya turun ke kaki. Dadanya berombak kencang. Wajahnya menyerlahkan kebingungan. Anak matanya tajam merenung memohon simpati.

Kembali ke tarikh 21hb Ogos 2007 sehingga nafas terakhir...

Saban hari selama hampir sebulan, Nurin dipukul, dicekik, ditendang dan ditengking. Dari hari ke hari, tubuh Nurin kian melidi. Tanpa belas kasihan, sepanjang masa Nurin "diratah". Nurin hanya mampu terbaring sambil tubuh bergulung menahan kesakitan. Anak kecil ini hanya mampu menangis hiba sambil memohon keajaiban berlaku agar dirinya dipulangkan semula ke pangkuan keluarga. Namun apakan daya, Nurin hanya mampu membayangkan wajah ibu dan bapa diruang fikirannya bagi mengubat rindu. Setiap kali terbayang, pasti Nurin menangis dan meratap. Setiap kali menangis dan meratap, pasti tubuh badan anak kecil ini menjadi sasaran.

Aku dapat melihat dengan sayu, "manusia buas" berkenaan seolah-olah tidak mengerti untuk menterjemahkan linangan jernih airmata Nurin, tidak tahu membaca redup anak mata Nurin, tidak memahami bahasa tubuh Nurin yang sentiasa bergulung, tidak merasai sakitnya perut Nurin yang kosong, tidak menyelami erti kerinduan Nurin, tidak sensitif untuk menilai makna kasih-sayang dan tidak takut pada hukuman dan dosa.

Sehingga ke detik terakhir nafas Nurin, "manusia buas" ini masih lagi tersenyum seolah-olah puas dengan lakonan hebatnya yang telahpun tiba ke kemuncak. Cukup menghibakan kerana "manusia buas" ini masih lagi tidak puas untuk meneruskan skrip drama ciptaan songsangnya. Tubuh bogel dan kaku Nurin disumbatkan kedalam beg pakaian tanpa sedikitpun tercuit perasaan bersalah. Ditekan tubuh Nurin dengan kasar sehingga kakinya mengerekot. Masih lagi tiada belas kasihan walaupun Nurin tidak lagi bernyawa. Sukar untuk aku membaca pemikiran "manusia buas" ini.

Cukup memeritkan kerana tubuh kaku Nurin terpaksa menderita selama lebih 6 jam di dalam ruang beg yang gelap dan sempit sebelum dirinya ditemui. Penderitaan yang mempunyai impak paling maksima. Menyentuh ceruk paling dalam naluri kemanusiaan aku.

Kembali ke tarikh 21hb September 2007...

Nurin Jazlin...jasadmu kini telahpun disemadikan. Aku pasti dirimu kini telah berada di alam yang "paling damai". Kod kehidupan skrip dramamu telahpun tamat dengan kemuncak cerita paling memilukan. Dirimu kini telah menjadi sejarah untuk dijadikan "pengajaran" bagi meneruskan skrip Kod Kehidupan manusia yang masih bernyawa...

Al-Fatihah...


Coretan Pilu:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Saturday, September 15, 2007

Ramadan Zaman Persekolahan..."Back To The Future II"

Kembali ke zaman silam...1987...Babak 5...

...Sebagai manusia biasa, tiada yang lebih nikmat pada bulan Ramadan ini selain memenuhi "nafsu makan". Waktu berbuka puasa sentiasa dinantikan dengan "tenaga" dan "selera" yang "super".

Sesekali apabila sudah tersandar dikerusi dengan perut "membukit", fikiranku melayang mengimbas kenangan berbuka puasa di zaman persekolahan terutama disekitar tahun 1986-1987. Satu suasana dan pengalaman berharga yang tidak boleh aku lupakan.

Asrama...ohh..asrama...satu suasana unik yang benar-benar mendidik aku dan membuatkan aku sentiasa "bersyukur" dengan segala nikmat kehidupan yang aku perolehi sekarang.

Seawal jam 4:30 pagi, aku dan rakan-rakan asrama akan dikejutkan dengan bunyi loceng yang bingit, menandakan waktu sahur. Dalam dingin awal pagi, aku bingkas bangun menukar pakaian dan terus ke bilik air membasuh muka. Suasana sepi bertukar riuh dengan suara penghuni asrama. Lampu kamar satu-persatu mula cerah bercahaya menyilaukan mata penghuni-penghuni yang masih lagi lena dibuai mimpi. Aku akan melangkah longlai menuju Dewan Makan yang terletak berhampiran. Tidak perlu beratur seperti kebiasaan. Makanan yang telah tersedia dalam bekas persegi biru dicapai bersama segelas air. Lantas aku akan menuju meja panjang yang sentiasa setia menanti penghuni-penghuni asrama melabuhkan punggung. Apa sahaja menu yang disediakan awal pagi itu akan kami jamah tanpa sedikitpun merungut.

Selesai sahaja bersahur, tiada masa untuk aku berehat. Tuala, gayung, berus gigi, ubat gigi dan bekas sabun terus sahaja dicapai. Tidak berapa lama lagi pastinya azan Subuh akan berkumandang dan aku tidak mahu berebut-rebut dengan rakan penghuni lain didalam bilik air. Cukup menyiksakan jika terpaksa menanti giliran mandi apatah lagi jika terpaksa bersaing dan berebut dengan abang-abang "senior".

"Kring...kring...kring..." loceng seru untuk solat Subuh telahpun dibunyikan oleh Ustaz. Tergesa-gesa aku menuruni anak tangga dan berlari-lari anak menuju surau yang jaraknya lebih kurang 50 meter daripada bangunan asrama. Selesai solat Subuh, Ustaz akan memberikan sedikit tazkirah. Masa inilah aku akan mengambil kesempatan memejamkan mata. Tersenguk-senguk sambil badan menyembunyikan diri disebalik tubuh besar rakan dihadapan. Jam 7:00 pagi, barulah aku dan rakan-rakan menyerbu keluar dari surau sambil berebut selipar dan berlari menuju kembali ke asrama. Tiada istilah rehat. Pantas aku akan menukar pakaian seragam sekolah dan memeriksa jadual, buku dan beg sekolah. Jam 7:30 pagi aku dan sebahagian rakan yang telah bersiap akan bersidai di koridor dan berborak kosong sambil menanti loceng berbunyi.

"Kring...kring...kring..." sekali lagi bangunan asrama dikejutkan dengan bingit loceng. Tergesa-gesa penghuni-penghuni asrama keluar dari kamar dan beratur sebelum beriringan menuju bangunan yang menempatkan bilik-bilik belajar. Disitulah aku dan rakan-rakan akan mengabdikan diri menuntut segala ilmu yang dicurahkan oleh guru sehingga jam 1:00 tengahari.

Selesai sesi persekolahan, aku dan rakan-rakan akan terus menuju ke asrama. Tempoh 30 minit akan aku ambil untuk melabuhkan diri sebentar ditilam nipis. 30 minit yang amat berharga bagi sesiapa yang pernah tinggal di asrama. Sukar sebenarnya untuk memperolehi rehat selama tempoh itu jika ianya bukan bulan Ramadan.

Azan Zohor telahpun berkemumandang dari surau. Seperti robot yang telah diprogramkan, aku akan bingkas bangun dan terus menukar pakaian solat. Sekembali dari surau, aku akan bergegas pula untuk sesi belajar petang. "Kring...kring...kring..." seperti biasa loceng akan kembali berbunyi dan penghuni-penghuni akan beratur dan berarak menuju ke kelas masing-masing.

Sekembali dari sesi belajar petang dan selesai menunaikan solat Asar di surau, aku dan rakan-rakan akan bertenggek di tangga atau bersidai di koridor asrama sambil berborak kosong. Bagi yang bertenaga, selepas menukar pakaian akan terus ke padang bermain bolasepak dan berjogging. Bagi yang tiada aktiviti, katil dan tilam nipis akan menjadi sasaran. Tempoh 2 jam adalah aktiviti bebas kami (ikut suka penghuni).

Jam 6:30-7:00 petang, aku dan rakan-rakan mula sibuk kembali menguruskan diri. Mandi dan bersiap sambil menanti loceng asrama berbunyi. 15 minit sebelum azan Maghrib berkumandang menandakan waktu berbuka, semua penghuni asrama telahpun berada di dewan makan. Makanan dalam bekas persegi biru diperhatikan dengan penuh "nafsu". Kala itu, apa sahaja menu yang disediakan adalah menu yang "terenak" dan kami tidak akan sama-sekali membazirkannya.

Apabila terdengarnya azan Maghrib, doa makan akan dibaca beramai-ramai. Ketika itu rakan sebelah sudah tidak aku hiraukan. Apa yang ada difikiranku kala itu adalah makanan yang berada dihadapanku...Cukup "bernafsu dan berselera".

Kembali ke zaman kini...2007...

Segalanya jauh berbeza...tetapi apa yang aku pasti adalah "nafsu makan" tetap sama. Malah, ianya semakin "berkembang" dan "membesar" mengikut usia aku. Indahnya ciptaan Allah.."Tuhan Yang Maha Kaya" yang mencipta manusia dengan penuh "keajaiban".

"SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA!"


Coretan Ramadan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Friday, September 14, 2007

Kenangan Bersama Atuk (Siri 2)..."Back To The Future I"

...Jam menunjukkan hampir pukul 12 tengah malam. Mataku kian kuyu tetapi masih lagi leka melayan komputer dan televisyen. Sesekali mataku terpaku sebentar melihat drama "Cinta Anak Merdeka" saluran TV2. Ada sesuatu yang menarik minat aku. Babak Makcik Halimah (lakonan Fauziah Nawi) mengajar budak-budak "mengaji" benar-benar membawa aku "terbang" kembali ke era 1980an...

Aku masih ingat lagi ketika umur aku sekitar 8-10 tahun, Atuk begitu "garang" mengajar aku mengaji Muqaddam selepas waktu Maghrib. Ikon pada masa itu adalah "songkok hitam yang hampir lusuh", "kayu rehal atau bantal", "lidi daun kelapa yang halus" dan paling tak boleh aku lupakan adalah "rotan panjang" yang diletakkan disebelah paha Atuk. Cukup menggerunkan. Suara garau dan tengking Atuk jika ada bacaan yang salah cukup memberikan "pakej kegerunan" pada waktu itu.

Aku dapat merasai pada ketika itu, Atuk begitu bersungguh-sungguh mengajar dan membetulkan bacaan aku. Cukup mahir walaupun Muqaddam aku berkedudukan terbalik pada sudut penglihatan Atuk. Setiap patah bacaan aku didengari dan diperbetulkan sampai berulang-ulang kali. Sampai Atuk puas hati. Atuk memang "arif" sangat kerana jarang Atuk melihat bacaan aku satu persatu. Pendengarannya begitu teliti sehingga dapat "menangkap" kesalahan bacaan aku. Pantang silap, pasti aku akan disergah dan ditengking.

Kini...Atuk telah tiada. Ketegasan dan kegarangan Atuk mengajar aku mengaji lebih 25 tahun dahulu benar-benar memberikan "sesuatu yang tidak ternilai". Dizaman penuh kemudahan, budaya kehidupan yang berubah dan kurangnya keyakinan dan kemahiran untuk mengajar, aku tidak mampu "memimpin" seperti Atuk. Anak aku Zuhairi kini hanya belajar mengaji di Sekolah Agama...dan pastinya pengalamannya jauh "berbeza" sama sekali...

Atuk...semoga pusaramu kekal mewangi..."Al-Fatihah"

Coretan Nostalgia:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Tuesday, September 4, 2007

Kod Kehidupan : Murninya Ikatan Silaturrahim

...Baru 4 siri "road-show tea-talk session" dijalankan. Ada lagi 21 siri sehingga hujung tahun. Sempat ke selesai? Agak risau juga. Walau bagaimanapun, melengkapkan 100% jadual bukanlah "KPI" sebenar yang harus aku kejar. Ada yang lebih murni lagi yang harus aku "terokai dan "rasai" yang jarang orang ingin lihat dan ambil berat. Cukup simbolik dan cantik bagi yang mengerti untuk menterjemahkannya.

Pengorbanan aku meluangkan masa 2 jam (6:30pm - 8:30pm) di Cawangan Operasi bersama rakan-rakan dan adik-adik yang bertugas sebagai "frontliner" hanyalah setitis air di lautan. Aku cukup merasai dan memahami "pengorbanan" mereka yang terpaksa "patuh" dengan "kod kehidupan" rutin harian mereka, tidak seperti majoriti kakitangan yang lain. Kalau orang lain sudah "standby" untuk berkemas pada jam 5:30pm untuk pulang ke rumah mengejar anak dan suami atau isteri tetapi adik-adik aku masih lagi "setia" menyelesaikan kerja yang tak pernah selesai. Uniknya, aku cukup bangga melihat mereka begitu "ceria" dan jelas kelihatan "energy" mereka begitu "jujur". Inilah pengalaman yang aku sendiri ingin rasai...bukan hanya mendengar daripada mulut orang.

Manusia dalam banyak keadaan dihubungkan dengan elemen "emosi" dan "psikologi". Ini kepercayaan aku dalam membimbing kakitangan. Aku cuba lari daripada "persepsi" bahawa sesuatu harus berada dalam keadaan "ideal" bagi membuktikan keberkesanan dan pencapaian sesuatu aktiviti. Karut atau "nonsense" kepercayaan ini. Tiada satu perkara yang "ideal" dalam dunia ini. Apa yang ideal adalah "kefahaman" dan "kepercayaan" kita untuk "melihat sesuatu disebalik sesuatu" dan kita harus bijak menyesuaikan diri dengan keadaan yang sentiasa berubah. Aku mampu "melihat" dan "merasai" dalam siri "tea-talk session" ini dan aku cuba terjemahkannya dalam bentuk "perkongsian" yang paling mudah melalui "analogi penceritaan".

Contohnya, memberikan RM 10 atau RM 1,000 kepada orang tua kita bukanlah objektif yang harus kita lihat secara teknikal semata-mata. Secara logiknya RM 1,000 adalah lebih bernilai, lebih ideal dan lebih dipandang orang. Walau bagaimanapun, kepercayaan aku amat kuat berpegang bahawa RM 10 lebih bernilai sekiranya diberikan kepada orang tua kita dengan perasaan tulus ikhlas, bersalaman, bertentang mata, berkata lembut dan "konsisten" setiap bulan berbanding dengan RM 1,000 yang diberikan kepada orang tua kita dengan perasaan "terpaksa", bongkak dan hanya setahun sekali (bila teringat).

Inilah unik dan simboliknya soal perasaan atau emosi. Sentuhan hati yang kena pada tempatnya akan memberikan seribu makna kepada yang terlibat dan mampu membawa manusia lebih jauh ke hadapan. Aku tidak mampu mengubah pemikiran dan perasaan manusia. Hanya mereka sahaja yang mampu menilai dan memandu diri mereka sendiri. Peranan kecil aku...hanya mampu bercerita...bercerita...dan terus bercerita...

Semoga "penceritaan" aku ini akan mengukuhkan lagi ikatan tali silaturrahim antara pihak Pengurusan dan kakitangan. InsyaAllah...


Coretan Kesedaran:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

Sunday, September 2, 2007

Puisi Penghargaan PM..."Back To The Future" - Edisi Khas

Pada 27hb September 2003, aku sempat mengarang beberapa rangkap puisi berbentuk pantun untuk aku rakamkan penghargaan kepada bekas PM kita yang pada ketika itu bergelar Datuk Seri Dr Mahathir Mohamad sempena persaraan beliau.

Hantar ke Utusan Malaysia, seperti yang dijangka memang sukar untuk menepati "citarasa" Ketua Pengarang. Walau bagaimanapun, salah satu rangkap pantun aku akhirnya telah menjadi "sms pertama" yang diterima oleh TV3 dan dibaca oleh pembaca berita Buletin TV3... :-)

Berikut adalah puisi yang aku karang "khas" untuk bekas PM kita:

Kelahiranmu Mencipta Era Perubahan
Memandu Negara Pantas Ke Hadapan
Tanda Kegemilangan Jelas Kelihatan
Dimata Dunia Kitalah Teladan

Suaramu Lantang Lurus Pendirian
Bijak Berbicara Terserlah Keberanian
Prinsipmu Tegas Lambang Keunggulan
Pemimpin Dunia Tiada Sempadan

Wawasan 2020 Puncak Kecemerlangan
Perlu Hayati Sembilan Cabaran
Pandanganmu Jauh Melangkaui Zaman
Panduan Generasi Masa Hadapan

Pemimpin Berwawasan Teras Kemajuan
Menjana Pembangunan Berlandaskan Kesedaran
Budimu Ibarat Bintang Bergemerlapan
Kekal Bersinar Sepanjang Zaman

Perpaduan Bangsa Teras Kekuatan
Rakyat Bermuafakat Negara Aman
Bersyukur Kita Dikurniakan Pahlawan
Rela Berjuang Demi Kesejahteraan


Nukilan Khas:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong
27.09.2003