Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, April 28, 2007

Berani Kerana Benar..."Back To The Future II"

Kembali ke zaman silam...1987...Babak 9...

...Tahun 1987 aku bergelar pelajar senior SMTJB. "Title" yang membenarkan aku bebas untuk bertingkahlaku tanpa rasa takut seperti yang yang aku alami pada tahun 1986 (junior). Seperti tahun-tahun sebelumnya, apabila menjelang peperiksaan SPM, pelajar-pelajar senior dan junior akan diasingkan. Pelajar-pelajar senior akan ditempatkan di Blok B. Bagi sebahagian pelajar, inilah saat-saat yang diidamkan. Bagi pelajar-pelajar junior yang akan menghuni Blok A, ianya umpama bebas dari "sangkar singa", manakala bagi pelajar-pelajar senior ianya bagai orientasi kembali kerana terpaksa mengenali rakan-rakan kamar yang baru. Bagi aku pula...setelah setahun menginap di kamar A1-Ibnu Khaldun, perpindahan ini sesuatu yang tidak menyeronokkan.

Aku telah dipindahkan ke kamar B4-Ibnu Sina. Rakan-rakan senior dan adik-adik junior yang telah menjadi teman bual dan bergurau-senda sejak setahun yang lalu kini telah berpecah. Bagai ada sesuatu yang mencengkam perasaan kami, aku dan 9 orang rakanku semasa menginap di kamar A1 telah membuat perjumpaan tergempar selang 2-3 hari kami diasingkan. Kami berpakat untuk tidur bersama di kamar berkunci di Blok A pada malam Isnin nanti. Tiba ketikanya, kami berkumpul seorang demi seorang. Tilam kusyen di bilik rehat telah kami "songlap" untuk dijadikan alas badan dan kepala. Cukup tidak selesa tapi kami amat gembira kerana dapat berkumpul semula sambil berborak sakan. Apabila kedengaran orang berjalan diluar kamar, kami diam seribu bahasa dan membatukan diri sejenak...

Sebelum azan subuh berkumandang, kami dah mencelikkan mata dan kelam-kabut bergegas dan menyusup kembali ke kamar asal kami. Seperti tiada apa-apa yang berlaku, aku pantas menyiapkan diri untuk menjalani rutin harian asrama dan sekolah. Tiba-tiba, semasa sedang mengambil sarapan, seorang adik junior menyapa aku sambil memberitahu bahawa Cikgu Warden yang kami gelar "J***" telah menyoal siasat semua pelajar junior sebentar tadi bertanyakan berkenaan dengan tilam kusyen yang bersepah di kamar A9. Pelajar-pelajar junior yang disoal memaklumkan bahawa terdapat pelajar senior yang menginap secara haram di kamar A9. Opss....tiba-tiba badanku menjadi seram sejuk. Adik junior memberitahu bahawa Cikgu Warden "J***" telah menyenaraikan nama-nama pelajar senior yang terbabit. Fikiran dan perasaanku kian kalut apabila memikirkan sifat bengis Cikgu "J***" dalam menangani soal disiplin. Tak dapat dibayangkan hukuman yang bakal kami terima...

Sejak awal pagi sehingga tengahari, fikiranku tidak tenteram. Aku hilang fokus untuk belajar. Sebelum tiba waktu rehat tengahari, hatiku tiba-tiba terdetik untuk bertindak. Tanpa melengahkan masa, aku meminta izin cikgu untuk keluar sebentar. Aku terus menuju ke kelas 9 rakan-rakanku yang lain. Satu persatu aku lawati. Akhirnya, aku berjaya mengumpulkan 9 rakan-rakanku walaupun ada yang seolah-olah bingung dengan tindakan aku. Setelah berkumpul disatu lorong, aku menjelaskan keadaan dan apabila mendengar sahaja tujuan dan niat aku untuk membawa mereka ke bilik Cikgu Warden "J***", semua pucat lesi dan ada yang tidak bersetuju dengan tindakan aku. Aku bertegas untuk pergi juga tanpa seorangpun dikecualikan...

Pintu diketuk perlahan. Cikgu "J***" seperti biasa dengan wajah bengis mengizinkan kami masuk. "Hah...nak apa pulak kamu ni?" suara garau Cikgu "J***" benar-benar menggigilkan kepala lutut kami. Memandangkan semuanya tunduk membisu, aku mula membukakan mulut "Cikgu...kami datang ni pasal aduan pelajar junior pagi tadi berkenaan ada pelajar senior menginap haram di kamar A9" suaraku terketar-ketar. "Oh ya...hah...siapa diantara kamu yang tidur di kamar A9 yang pakai kusyen bilik rehat, lepas tu tak kemas balik" suara tegas Cikgu "J***" kian meninggi. Tiada seorangpun yang mengangkat tangan. Memandangkan keadaan itu amat merbahaya, aku tanpa berlengah mengangkat tangan dengan "penuh keberanian". Perlahan-perlahan diikuti oleh beberapa rakan-rakanku yang lain. Cikgu "J***" hanya merenung tajam. Aku kembali bersuara "Cikgu, kami datang nak mohon maaf kerana menginap secara haram semalam". Cikgu "J***" terus membisu sambil mundar-mandir dihadapan kami seolah-olah memikirkan sesuatu. "Sudah! kamu semua balik ke kelas dan jangan buat lagi...dah balik semua!" Cikgu "J***" masih lagi bernada tegas. Tanpa berlengah lagi, kami semua melangkah keluar beredar sambil menarik nafas panjang. Dalam fikiran kami tertanya-tanya kenapakah Cikgu "J***" tidak meneruskan tindakan dengan melibas kami dengan rotan seperti kebiasaan apabila beliau menangani masalah disiplin...Seribu tanda tanya...
Semasa sesi belajar petang, aku kembali berjumpa dengan adik junior yang menyapa aku pagi tadi. Aku bertanyakan siapakah nama pelajar senior yang Cikgu "J***" senaraikan pagi tadi. Satu persatu nama disebutkan dan ianya memang tepat....cuma nama aku tidak disebutkan. Aku pelik. Aku bertanya kenapa nama aku tidak disebutkan. Adik junior menyoal aku balik..."Abang ada ke semalam tidur kat kamar A9?" Jeng...jeng...jeng...

...Aku tersenyum...perasaan bersalah aku telah menyelamatkan aku dan 9 rakan-rakanku yang lain. Baru aku sedari mengapakah raut muka Cikgu "J***" berubah apabila memandang aku tengahari tadi. Rupa-rupanya mungkin dia "terperanjat" dan "terpaku" dengan sikap aku yang benar-benar menterjemahkan nilai "Berani Kerana Benar"...tetapi...apa yang benarnya? Bukankah aku melakukan kesalahan? Ya, memang benar aku melakukan kesalahan tetapi aku "Benar" dan "Jujur" kepada diriku untuk mengakui kesalahan dan aku berani untuk berkata benar terhadap kesalahanku...Malam ini aku akan tidur dengan nyenyak di kamar B4-Ibnu Sina. Kamar A9-Ibnu Khaldun akan hilang dalam lena dan mimpi ku...

...Back to the future...


Hasil Coretan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: