Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Friday, April 20, 2007

Realiti Kehidupan..."Back To The Future - Exclusive Introduction"

...Sesekali ku rasa teringin...nostalgia lagu dendangan Shima begitu menusuk kalbu...dan aku sesekali juga rasanya ingin berpatah ke zaman silam atau meneroka ke masa hadapan untuk melihat apakah "realiti kehidupan" sebenar aku di dunia ini.

Sesekali aku terfikir kenapa manusia sentiasa berkata..."Kalaulah aku tahu...", "Kenapakah aku jadi begini..." Apalah nasibku ini..." dan pelbagai kata-kata yang tanpa disedari telah mencorakkan realiti kehidupan kita pada hari ini.

Aku sentiasa berfikir dan bertanya kepada diriku...dari manakah terciptanya keyakinan diri...dari manakah wujudnya keberanian diri, dari mana lahirnya disiplin diri, dari manakah datangnya prinsip diri dan pelbagai persoalan lain.

Sesekali menonton filem "Back To The Future" lakonan pelakon comel MJ Fox, aku terfikir alangkah indahnya sekiranya aku tahu apakah yang akan berlaku kepada realiti kehidupan aku dimasa hadapan sekiranya hari ini aku boleh meninjau masa hadapan dan melihat diri aku 10 tahun akan datang dan alangkah indahnya jika aku dapat kembali ke zaman silam 10 tahun dahulu yang aku boleh perbetulkan langkah terdahulu bagi memastikan realiti kehidupan aku hari ini seperti seadanya atau sebaliknya...MUSTAHIL...ianya hanya sebuah filem...tetapi analogi filem itu aku telah jadikan pengajaran untuk aku berfikir diluar kotak sempadan pemikiran dan merancang perjalanan. Sesekali aku menarik nafas lega kerana walaupun aku bukan MJ Fox, aku telah pasti sebenarnya terdapat skrip perjalanan kehidupan aku terdahulunya telah berjaya mencorakkan kehidupan aku dimasa kini.

Aku teringat 17 tahun dahulu di UPM aku begitu aktif dalam bidang kesenian...katakan apa sahaja bidang seni...menari, melukis, menulis sajak, menulis cerpen, berlakon teater, menyanyi, berpuisi dan apa jua cabang seni kebanyakannya aku telah ceburi sepanjang tempoh pengajian di UPM. Aku bukan berdarah seni tetapi aku BERANI mencuba..teringat lagi aku, Kholid, Yahaya, Norshah, Affian dan Dollah bersantai dimalam Ahad di Pasar Seni menonton persembahan Wayang Kulit...akhirnya tercetus nukilan sajak bertajuk "Wayang Kulit" yang berjaya menjadi Naib Johan Pertandingan Menulis Sajak Fakulti tahun 1990. Teringat aku menyanyi tanpa muzik di Pusat Pemulihan Orang Cacat, Cheras pada tahun 1989. Teringat aku menari kontemporari bersama lakonan Kholid dan Norshah untuk Hari Kolej pada tahun 1991. Teringat aku menggigil dibelakang rostrum menyampaikan kertas kerja kursus...masa itu aku seperti berada didalam dunia aku sendiri..mendengar degup jantung sendiri...mendengar suara gementar aku sendiri...begitu kelakar jika dikenang. Teringat aku berjaya menghasilkan 2 lukisan potret untuk Syikin dan kakak A (lupa nama)...potret yang aku hasilkan 16 tahun dahulu masih lagi tergantung diruang bilik rakanku itu walaupun dia telahpun beranak 3. Teringat dunia aku seperti tertutup bila gagal kertas Matematik dan Pengajian Pengembangan dan terpaksa mengulang semula. Teringat aku BERBANGGA mendapat markah tertinggi untuk kursus Kepenggunaan. Teringat aku telah kembali memulihkan semangat dan mencipta sejarah menaikkan gred CGPA aku daripada 2.40 ke melebihi tahap 3.00 dalam tempoh 3 semester sahaja. Teringat aku rasa GEMBIRA bila dapat mengekalkan Kepujian Dekan untuk tempoh 2 semester berturut-turut yang menaikkan gred CGPA akhir semester. Teringat aku cukup GEMAR sekiranya peperiksaan kursus memerlukan aku menulis panjang sampai berulang kali mengangkat tangan meminta kertas kajang tambahan. Teringat aku bagaimana aku begitu SERIUS bila aku menjadi ketua kepada rakan-rakan aku untuk kerja kursus. Teringat bakat KEPIMPINAN aku bila bertindak sebagai Penasihat untuk menerbitkan risalah kelas. Teringat lawak spontan aku bila menjadi Pengerusi Majlis untuk aktiviti kelas. Akhirnya, teringat aku berbual dibelakang pentas selepas berakhirnya persembahan Puisidra Kolej...berbual dengan rakan seUniversiti iaitu Noormaizon Ibrahim yang kini adalah isteriku.

Peristiwa diatas hanyalah 10% daripada skrip kehidupan aku 19 tahun dahulu. Sekiranya direnung berdasarkan analogi "Back To The Future", aku amat percaya, detik permulaan skrip diatas sebenarnya telahpun bermula 20-30 tahun dahulu. Ini kerana aku masih teringat aku menyanyikan lagu "Hingga Akhir Nanti" dihadapan rakan-rakan sekelas aku semasa di Darjah 5. Maknanya KEBERANIAN BERDIRI dihadapan orang ramai telahpun bermula diwaktu aku berumur 11 tahun..Alangkah indahnya realiti kehidupan.

Banyak lagi peristiwa-peristiwa menarik yang boleh aku kongsikan seperti peristiwa di asrama semasa aku bersekolah di Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru, peristiwa-peristiwa menarik sewaktu aku bekerja di Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan sebagainya. Sekiranya difikirkan, segala peristiwa yang aku alami sepanjang umur aku 37 tahun ini sebenarnya adalah kepingan-kepingan "Puzzle" yang akan melengkapkan skrip kehidupan aku masa kini dan masa hadapan. Kepingan-kepingan "Puzzle" kecil itulah yang membentuk, melatih dan mengajar aku perkataan BERANI, YAKIN, IKHLAS, AMANAH, SYUKUR, DISIPLIN, TEGAS, USAHA, TEKAD, FOKUS, INISIATIF, KREATIF, PROAKTIF, SENSITIF dan sebagainya.

Bidang seni telah lama aku tinggalkan..tiada lagi menulis cerpen, tiada lagi menulis sajak, tiada lagi melukis potret...tiada lagi tarian kontemporari, tiada lagi lakonan...Adakah aku rugi meninggalkannya...Tidak sama sekali...aku sentiasa berfikir diluar pemikiran biasa..aku amalkan PEMIKIRAN REFLEKTIF. Semua bakat dan kemahiran aku sebenarnya telah lama sebati dalam tubuh dan aliran darah aku tanpa boleh dibuang...Ya ke? Ya, kerana sesekali jika perasaan aku begitu mendalam, aku akan cuba menghasilkan nukilan bermutu. Terbukti dengan tersiarnya Puisi Kemerdekaan 2003 didalam Akhbar Utusan Malaysia. Aku terjemahkan bakat penulisan kreatif aku dalam bentuk yang lain kini sesuai dengan jawatan aku dalam bidang Sumber Manusia di syarikat Telekomunikasi Terulung di Malaysia. Aku kini lebih fokus kepada bentuk penulisan Komentar dan Motivasi. Bakat melukis, aku terjemahkan pula dalam bidang kerja yang memerlukan penelitian yang tinggi (bukankah melukis memerlukan FOKUS dan PENELITIAN). Ya, segalanya berkaitan cuma aku harus pandai MENTERJEMAHKAN BAKAT dan KEMAHIRAN yang berada didalam tubuh dan aliran darah aku sesuai dengan keperluan semasa.

Sejarah telah membuktikan dan mengajar aku...aku percaya apa jua NIAT dan TINDAKAN aku hari ini akan menentukan skrip kehidupan aku dimasa hadapan...Skrip Kehidupan masa hadapan aku telahpun bermula..bukan hari ini...bukan jua 5 tahun dahulu tetapi telah bermula sejak dahulu lagi...cukup cantik perjalanan kita bagi kita yang ingin berfikir dan menilai...Inilah Realiti Kehidupan...

...Back to the future...

Catatan Sejarah:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

2 comments:

Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.
Anonymous said...
This comment has been removed by a blog administrator.