Koleksi artikel komentar ini telah aku sumbangkan untuk Website Malaysia On Net sekitar tahun 1999 semasa masyarakat Malaysia terkejut dengan isu artis popular bergambar bogel. Baru-baru ini, kita dikejutkan lagi dengan isu yang sama. Nampaknya, kita masih lagi berlegar dengan topik moral yang sama walaupun setelah 8 tahun berlalu semenjak aku menulis perkara ini. Berikut adalah artikel berkenaan :
"Hangat...hangat...panas....panas..." Ungkapan yang menjadi sebutan dibibir kebanyakan orang sejak kebelakangan ini. Sekiranya benar kecanggihan teknologi maklumat telah disalahgunakan oleh pihak tertentu, ini merupakan satu penyalahgunaan pengetahuan dan kemahiran yang dipinjamkan sementara oleh Tuhan.
Pelbagai pihak telah mengutarakan teori masing-masing. Jika sebelum ini perkataan "superimpose" hanya bermain dibibir insan-insan grafik, tetapi kini ianya telah menjadi sebutan popular masyarakat umum tidak kira di rumah, pejabat atau kedai kopi.
Benarlah bahawa teknologi kini boleh melakukan segalanya samada untuk tujuan baik atau buruk. Ia hanya alat ciptaan manusia dan ia tidak mengenal siapa sasarannya. Bagi manusia yang lalai dan sentiasa bergelumang dengan maksiat, teknologi akan menjadi alasan terbaik untuk menyelamatkan maruah diri jika tersilap langkah dan bagi manusia yang teraniaya, ianya merupakan satu titik hitam dalam kehidupan yang mengukir sejarah seumur hidup.
Isu artis bergambar bogel atau lucah kategori "double 18SX" atau "over exposed" baru-baru ini seolah-olah menjadi satu panahan petir yang mengejutkan lena pelbagai pihak. Sekiranya difikirkan sejenak, kejutan imej lucah ini seolah-olah ingin melambangkan satu petanda atau simbol betapa kroniknya masyarakat kita pada hari ini (lupakan dulu soal kesahihan gambar). Kita tidak boleh menafikan bahawa isu kerosakan moral masyarakat kini telah sampai ke tahap kemuncak. Identiti masyarakat timur yang terkenal sejak zaman dahulu kala dengan sifat sopan-santun, lemah-lembut, pemalu, tertib, peramah dan sebagainya seolah-olah telah diragut dengan rakus oleh generasi zaman kini.
Kini, dengan sokongan teknologi maklumat dan atas nama kemajuan, kita sopan pula dengan wang ringgit, lemah-longlai dalam dakapan noda, pemalu dengan nilai-nilai murni, tertib berpakaian ghairah dan peramah pula dengan pujuk rayu. Di media massa, laporan kes haruan makan anak, khalwat, rogol, bunuh, dera, bohjan, bohsia dan sebagainya sentiasa dipaparkan. Walaupun statistik kajian masih boleh dipertikaikan oleh banyak pihak tetapi hakikatnya nilai moral kini semakin runtuh menyembah bumi dan ini adalah sesuatu yang amat membimbangkan.
Jika difikirkan, imej "superimpose" yang menjadi "over exposed" di internet dan media massa ini hanyalah sebagai alat atau signal untuk menggemparkan pihak-pihak yang berkaitan supaya usah lagi lena diulit mimpi dan mengambil mudah dalam menangani isu kerosakan moral. Tindakan tegas dan penggembelingan bersama melibatkan institusi keluarga dan pihak berkuasa amat perlu dilaksanakan kini untuk mengkaji dan menilai isu moral secara lebih menyeluruh dan bersepadu.
Masyarakat hari ini harus dibimbing agar tidak leka dalam arus keseronokan (wang ringgit dan kemodenan) dan tidak hilang pertimbangan dalam membezakan antara baik dan buruk, antara mulia dan hina dan antara dosa dan pahala. Pegangan agama perlu atas kesedaran dan penghayatan yang mendalam. Unsur-unsur seperti pergaulan bebas, berpakaian dan beraksi ghairah, hubungan seks tanpa nikah, penganiayaan, hasad-dengki, fitnah, dendam kesumat dan sebagainya tidak harus dijadikan rencah dalam kehidupan atas alasan mengejar kemajuan.
Sesungguhnya, pembangunan dan kemajuan umpama rumah yang mempunyai tiang. Kerosakan moral umpama anai-anai. Diluaran nampak kukuh dan padu tetapi sehingga tiba waktu yang sesuai yang mungkin kita tidak jangkakan, anai-anai akan menjelma dan bertempiaran bebas (tiada lagi kawalan) kerana tiang sudahpun patah dan rumahpun sudah runtuh.
Apakah kita hanya ingin bercakaran mempersoalkan kesahihan dan gelojoh mengutarakan teori-teori penyembuhan sahaja, sedangkan bunyi anai-anai telahpun jelas kedengaran dan sekali-dua terdapat anai-anai yang nakal menjelmakan diri seperti imej "superimpose"? Fikirkan bersama.
Hasil Coretan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
1999
No comments:
Post a Comment