Koleksi artikel komentar ini telah aku sumbangkan untuk Website Malaysia On Net sekitar tahun 1999 semasa masyarakat Malaysia terkejut dengan penemuan bangkai dugong. Berikut adalah artikel berkenaan :
Media massa tempatan sejak kebelakangan ini cukup galak memberikan perhatian khusus atas isu dugong. Bermula dengan episod kisah Pak Atan yang telah menemui bayi dugong, Si Tenang yang cedera parah lantas dirawat dan dipeliharanya bagai menatang minyak yang penuh; seterusnya mengiktiraf diri dan keluarganya sebagai bapa dan keluarga angkat si Tenang; sehinggalah episod-episod drama bersiri penemuan bangkai dugong dewasa yang kematiannya begitu memilu dan mengguris perasaan.
Pelbagai teori atau tafsiran telah dikemukakan. Bagi sesetengah pihak, mereka percaya bahawa penemuan bangkai dugong dewasa ini mungkin ada kaitan dengan Si Tenang. Wujudlah teori keluarga dugong dengan sifat keibuan dan kekeluargaannya, teori pencemaran alam, teori pemakanan dan sebagainya sebagai punca kematian dugong. Pelbagai pihak cuba mengutarakan teori masing-masing. Terdengarlah kata-kata masyarakat umum..."Hah...anak dugong dah mati, mak dugong dah mati, bapa dugong dah mati, abang dugong dah mati, kakak dugong bila lagi..."
Kematian dugong secara bersiri adalah satu tragis apatah lagi ianya disulami dengan kontroversi. Kisah sedih ini pastinya akan terpahat dalam buku sejarah Malaysia (Hari Ini Dalam Sejarah).
Apakah hikmah disebalik peristiwa ini? Kita sebagai manusia disamping bijak mengeluarkan pelbagai tafsiran, perlulah memikirkan sejenak bahawa kita sebagai manusia yang dianugerahkan Tuhan dengan akal dan fikiran perlu mengambil iktibar daripada kisah tragis ini. Peristiwa ini harus mengajar kita betapa pentingnya semangat kekeluargaan, betapa eratnya hubungan antara ibu dan anak, betapa perlunya susu ibu dugong kepada anak dugong, betapa tegasnya prinsip pihak berkuasa, betapa prihatin dan uniknya sikap Pak Atan dan keluarganya serta betapa hibanya masyarakat umum.
Jika ibu dan keluarga Si Tenang sentiasa berendam air mata kerana sedih dan menyesal atas kehilangan Si Tenang yang comel dan terpaksa menanggung rindu dendam serta sanggup tidak makan dan akhirnya mati kelaparan kerana diseksa dengan seribu penantian; kita sebagai manusia yang boleh mengawal dan menyesuaikan hidup (tidak seperti dugong) seharusnya melebihi martabat dugong dalam soal tanggungjawab dan kekeluargaan.
Bagi manusia yang tergamak membuang anak, ibubapa yang tanpa belas kasihan mendera, membiar, merogol anak dan sebagainya perlulah merenung jauh kisah pilu drama dugong ini. Hayatilah mesej tersirat disebalik tragedi ini. Hayatilah pengorbanan Pak Atan dan keluarga sejati Si Tenang. Merananya Pak Atan dan keluarganya adalah kerana putusnya kasih sayang mereka dengan Si Tenang yang menjadi tempat bermanja. Terkorbannya ibu dan keluarga Si Tenang kerana memendam rasa kasih sayang yang tidak kesampaian. Malangnya pihak berkuasa pula kerana menyalurkan sifat kasih sayang mereka melalui undang-undang yang menginginkan Si Tenang membesar didalam alam semulajadinya. Antara semua makna kasih sayang ini, akhirnya Si Tenang terjerat dan hilang segala-galanya. Hilang kasih sayang manusia dan hilang kasih sayang ibu sejati. Sesungguhnya, kasih sayang itu adalah sesuatu yang tiada terbanding nilainya dan seharusnya ianya disemai dan dipupuk didalam jiwa kita.
Sekiranya kisah dugong ini telah melatahkan banyak pihak yang kini berganding bahu melakukan segala bentuk kajian daripada segi undang-undang sehinggalah ujian DNA; kita juga perlu berganding bahu segera untuk membuat bedah siasat kes-kes masyarakat dengan lebih serius. Diharapkan sifat kasih sayang dalam kisah dugong ini dapat menjadi pemangkin dalam mencipta penawar yang mujarab untuk pembangunan keluarga dan masyarakat.
Kisah dugong ini pada suatu masa akan menjadi kenangan dan sejarah. Jika Si Tenang diawet untuk menjadi tatapan manusia, pastikan agar bukan hanya fizikalnya sahaja ditatapi tetapi hayati dan renungilah juga semangat dan sifat kasih sayang yang menjadi intipati tragedi ini untuk pengajaran kita bersama.
Hasil Coretan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
1999
No comments:
Post a Comment