Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, January 4, 2009

Edisi Khas : Budaya Berpenyakit Tahun Baru


Satu permulaan yang kurang sihat untuk catatan blog pertama aku untuk Tahun 2009.

Aku cukup panas hati apabila membaca laporan berita yang memaparkan peristiwa dan tragedi "terencat akal" sempena sambutan Tahun Baru 2009. Antaranya:

  • Pesta seks di hotel murah disekitar ibukota
  • Gejala dadah dan minum arak
  • Kemalangan jalanraya gara-gara memandu dalam keadaan mabuk
  • Pesta hiburan separuh bogel
"Apa nak jadi?" Teringat lagu dendangan Dato' SM Salim. Lakonan budaya Malaysia yang mempunyai dua watak yang jauh berbeza. Jarak masa yang hanya selang beberapa hari antara Sambutan Tahun Baru Islam (Maal Hijrah 1430H) dan Sambutan Tahun Baru Masihi (2009).

Bagi sambutan Tahun Baru Islam, ianya jelas memaparkan lakonan kita yang bersungguh-sungguh ingin membina Islam Hadhari seperti petikan dibawah:

Islam Hadhari adalah Islam yang syumul atau komprehensif dengan penekanan kepada pembangunan ekonomi dan tamadun menyeluruh - yang berupaya menjadi penggerak dan pendorong kepada peningkatan daya saing bangsa Melayu dan umat Islam amnya.

Islam Hadhari akan menjadikan warisan dan tamadun Islam yang memperlihatkan kejayaan cemerlang umat Islam masa lampau sebagai pendorong kepada pembangunan dan kemajuan tamadun umat Islam masa kini dalam semua bidang kehidupan.

Lantaran itu Islam Hadhari telahpun dijadikan satu kerangka Dasar Nasional yang akan dijadikan sebagai asas di dalam perancangan pembangunan Malaysia sebagai sebuah negara Islam Maju menjelang Tahun 2020.

Dalam erti kata lain, Wawasan 2020 yang telah dijadikan sebagai 'mainstream' negara selama ini haruslah berpaksikan kepada ruh Islami atau dalam istilah yang lebih progresifnya ialah Islam Hadhari .

Inilah rahsia yang tersurat disebalik kesungguhan kepimpinan negara di bawah teraju YAB Dato' Seri Abdullah Ahmad Badawi memperkenalkan Islam Hadhari.

Disebaliknya pula, pada Sambutan Tahun Baru Masihi, kita semua pantas berubah watak. Mengalahkan watak badut terhebat dunia. Kita begitu ghairah menciplak budaya negara barat yang "mati berangan" jika tidak menganjurkan pesta hiburan dan percikan bunga api berjuta ringgit dilangit gelap. Mata dan hati kita telah dilatih sejak zaman-berzaman bahawa tidak sah atau tidak akan "naik angka tahun baru" kalau tiada ulat-ulat manusia berkumpul sambil bergesel tubuh badan. Pastinya merangsang dan menaikkan ghairah anak-anak remaja.

Saban tahun kita membebel panjang tentang "budaya berpenyakit" sempena menyambut Tahun Baru. Keesokan harinya pasti didada-dada akhbar memaparkan laporan dan komentari yang menyakitkan hati. Seperti biasa, selepas seminggu-dua, kita akan senyap, sunyi dan sepi daripada terus membicarakan perkara meloyakan ini. Tanggal 1 Januari 2010, kita kembali melatah. Inilah budaya Malaysia yang berpenyakit. Sombong untuk belajar daripada sejarah. Cukup melemaskan.

Golongan pemimpin yang memegang kuasa harus mengambil langkah "drastik" dan lebih berani bagi membenteras budaya berpenyakit ini. Usah hanya mengomel dan merungut. Ini bukan lagi soal tahap penguatkuasaan. Kita memang cekap dalam melaksanakan projek "ad-hoc" seperti menyerang dan menyerbu hotel-hotel murah untuk menangkap pasangan berkhalwat dan yang sedang enak menggegarkan katil. Kita mahukan satu "pembinaan budaya" yang "mencegah" penyakit ini daripada terus berjangkit kepada anak-anak kita dan generasi muda akan datang. Siapakah yang bertanggungjawab menyediakan ruang bebas dan landasan terbuka untuk mereka tanpa segan-silu melakukan maksiat?

HARAMKAN SEGERA budaya berkumpul dan berhibur sempena menyambut tahun baru. Susah benarkah wahai Pemimpin? Apakah tidak jelas lagi dimata dan telinga kita anak-anak remaja Melayu kita terutamanya yang kian terpesong adat, budaya dan akidahnya.

INGAT wahai pemimpin-pemimpin besar dan kecil. Kamu adalah Khalifah yang harus membimbing rakyatmu kearah kebaikan. Usah hanya mengulangi skrip dan perkataan sedih dan dukacita dikaca televisyen tetapi pada masa yang sama kamu tidak bersungguh-sungguh dengan kudrat tenaga dan kuasamu. Jika tidak mampu, kamu harus berundur sebelum diakhirat kelak kamu disoal sehingga tidak cukup nafas.

Fikirkan wahai manusia yang bernama PEMIMPIN!

Coretan "Berpenyakit" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

1 comment:

Anonymous said...

Good article, good things, good feelings, good BLOG!