Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, April 22, 2007

Pembinaan Keperibadian..."Back To The Future III"

Kembali ke zaman silam...malam, 23 Mac 1988...

Babak 1 (Dalam Keretapi)

...Perjalanan malam itu bersama beberapa orang teman sekolah dengan menaiki Keretapi Tanah Melayu (KTM) amat menggembirakan. Gembira tetapi pada masa yang sama aku agak gementar. Gembira kerana kami telah 3 bulan tidak bertemu setelah tamat peperiksaan SPM 1987 dan gementar kerana esoknya aku akan melihat keputusan peperiksaanku setelah 2 tahun (1986-1987) berada di Sekolah Menengah Teknik, Johor Bahru (SMTJB). Terbayang wajah sejuta harapan atuk dan nenek yang telah memeliharaku sejak tapak kaki aku dua jari sehingga kini. Cukup takut jika aku pulang dengan pangkat 3 (secara peribadi aku anggap gagal).

Perjalanan yang sunyi sepi dengan tiupan deras angin dari luar gerabak keretapi membuat aku lena dalam riuh rendah dan gelak ketawa rakan-rakan. Sesekali terjaga jika keretapi singgah sebentar di stesyen perhentian. Di stesyen Gemas, seperti biasa setelah 2 tahun berulang-alik dari KL ke JB, mataku akan terpaku melihat seorang ibu dengan anak kecilnya menjinjing bakul kuih dan nasi lemak di luar gerabak sambil melaungkan.."kuih...nasi lemak.......kuih...nasi lemak.." cukup sayu kedengaran diawal pagi. Mataku kembali lena setelah bunyi unik gerabak mula bergerak dan melalaikan aku...suasana cukup damai ketika itu...

Babak 2 (Di Ruang Pejabat Sekolah)

Pagi itu umpama pesta. Jarang kami melihat sesama sendiri dengan pakaian yang berwarna-warni. Dua tahun di SMTJB, didalam banyak keadaan kami hanya melihat warna putih, biru dan hitam (pakaian seragam sekolah) dan hanya melihat kami bergaya sedikit bila mengikuti kelas petang dan malam.

Giliran aku mengambil keputusan telah tiba. Jantung kian berdegup kencang..dup..dap..dup..dap...Tiba dimeja cikgu bertugas, slip keputusan dihulurkan. Mata terpaku kepada kepingan kertas putih kecil dan terdengar suara cikgu menyebut..."TAHNIAH ZAMER! Syukur Alhamdulillah...penat-lelah, bergolok bergadai atuk dan nenekku menghantar aku belajar jauh-jauh ke JB ini tidak sia-sia. Aku berjaya memperolehi Pangkat 1 dengan agregat paras hidung...agregat 23. Aku akui ianya bukanlah satu pencapaian yang cemerlang tetapi cukuplah bagi aku yang bukan dikategorikan sebagai pelajar cemerlang. Mataku terus tertumpu kepada setiap gred subjek. Alhamdulillah...BM, BI, Geografi, Matematik dan semua subjek Sains (Fizik, Kimia, Biologi dan Sains Pertanian) aku mendapat kredit dan tiada satupun subjek yang gagal termasuk subjek "Fobia" iaitu Matematik Tambahan.

Sambil aku mengambil dan menandatangani Sijil Berhenti Sekolah, sekali lagi mataku terpukau dengan catatan tambahan..."SEORANG PELAJAR PERAMAH, BERJIWA SENI, BERDISIPLIN, AKTIF DALAM BIDANG SUKAN DAN BAIK DALAM SEMUA TINDAKANNYA". Aku tertanya-tanya...apa yang dimaksudkan oleh Pengetua dalam catatan ini. Aku cuba melihat catatan rakan-rakanku yang lain. Tiada catatan yang agak khusus seperti aku. Kelihatan catatanku agak unik dan begitu spesifik.

Babak 3 (Dalam Keretapi)...malam, 24 Mac 1988...

Perasaan yang membelenggu perjalanan balik ke KL tidak seperti perjalanan datang ke JB semalam. Ada rakan-rakanku yang termenung dengan mata merah. Seorang rakan perempuanku yang bernama "J" telah mendapat pangkat 2 tetapi gred subjek asas untuk syarat layak ke Universiti agak kurang memberansangkan. Dia hanya membisu sejak tadi dan aku tidak mahu mengganggunya. Seorang rakanku yang lain begitu "kecoh" pula kerana keputusannya amat membanggakan...boleh dikatakan pelajar cemerlang. Macam-macam gelagat aku perhatikan. Suasana begitu ketara berbeza...

Aku kembali memikirkan catatan tambahan dalam Sijil Berhenti Sekolah aku. Perkataan "PERAMAH", "BERJIWA SENI", "BERDISIPLIN", "AKTIF SUKAN" dan "BAIK DALAM SEMUA TINDAKAN" berputar-putar dimindaku. Ahh...takan kerana aku hanya berlari dalam 4x100 meter mewakili rumah sudah dkatakan aktif, ahh...takan kerana hanya aku menjadi "Pelukis Sidang Redaksi Majalah Sekolah" dan pernah menjadi "Johan Pertandingan Melukis Mural" aku sudah dianggap berjiwa seni...dan takan ahhhhhhhhh.....begitu keliru...SIAPAKAH AKU DIMATA CIKGU...ahhhhhh....

Kembali ke masa hadapan...era 1988-1991...era 1992-1996...era 1997-2007...

Aku kini tersenyum...seribu persoalan aku pada malam 24 March 1988 telahpun terjawab. Patutlah aku boleh melukis Potret pada tahun 1991 kerana aku telah mempunyai asasnya pada tahun 1986-1987, patutlah aku boleh menari pada tahun 1988-1995 (penari kolej, UPM dan penari Kementerian dalam Pertandingan Kesenian antara Kementerian) kerana aku telah disahkan "berjiwa seni" pada tahun 1988, patutlah aku boleh mengarang sajak dan cerpen pada tahun 1990 kerana aku telah memulakan asasnya semasa mendapat tempat ketiga pertandingan mengarang "Sajak Kemerdekaan Kelas" pada tahun 1987 dan uniknya aku mengulangi peristiwa yang sama...mengarang "Sajak Kemerdekaan" pada tahun 2003.

Sememangnya tidak dinafikan zaman persekolahan benar-benar membentuk "KEPERIBADIAN" aku. Memang aku tidak dapat melihat apakah "impak masa hadapan" pada tahun 1988...tetapi kini ianya benar-benar terbukti dan amat UNIK...Semuanya berkesinambungan. Apakah babak seterusnya untuk tahun-tahun yang akan datang...seribu tanda tanya...

...Back to the future...


Hasil Coretan:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

1 comment:

Anonymous said...

Yep,, aku percaya yang sama.. Setiap sesuatu yang besar (great) dalam hidup ini, selalunya bermula dengan sesuatu yang kecil dan terpencil satu ketika dahulu. Banyak pengalaman duduk di asrama membentuk peribadi kita semua. Don't under estimate small good things in our lives. So let's start giving.. (mcm lagu rock jer nie.... hehheh..) Serious note. Syabas,, anda berjaya mengembali kenangan saya juga. Memang kita tak dapat lihat banyak baju warna bebudak TIJB zaman itu melainkan time ambil result periksa.. Heh..heh.. Rambut pun begitu jugakk...

amri