Pembantu rumah cuba lari dari tingkat 15
KUALA LUMPUR 16 Jun – Akibat tidak tahan didera sejak empat bulan lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia hari ini nekad melarikan diri dengan turun melalui tingkap rumah majikannya di tingkat 15 sebuah kondominium di Sentul Indah di sini menggunakan kain dan pakaian yang disambung-sambung.
KUALA LUMPUR 16 Jun – Akibat tidak tahan didera sejak empat bulan lalu, seorang pembantu rumah warga Indonesia hari ini nekad melarikan diri dengan turun melalui tingkap rumah majikannya di tingkat 15 sebuah kondominium di Sentul Indah di sini menggunakan kain dan pakaian yang disambung-sambung.
Apakah perkataan yang paling tepat bagi menterjemahkan tindakan pembantu rumah warga Indonesia ini? Nekad...berani mati...tawakal...bisa Pak...tiada pilihan atau cuba nasib. Aku tidak dapat membayangkan betapa "parahnya" jiwa pembantu rumah ini sehingga terdetik perasaan ingin menjadi "Spider Woman". Mengalahkan "keberanian" pelakon "stunt" adegan filem "James Bond 007". Kalau akulah...berdiri dan melihat ke bawah dari tingkat 4 dengan memegang pagar bahagian dalampun sudah cukup menggoyangkan perasaan dan minda aku. Inikan pula dari tingkat 15 yang kalaulah jatuh menjadi loya pula untuk mengutip serpihan tubuh yang bersepai. Huishh! Cukup ngeri untuk dibayangkan.
Persoalannya yang ingin aku kupas disini adalah mengapalah ada hati manusia yang sanggup memperlakukan manusia umpama "binatang". Kalau benarpun pembantu rumah kita bermasalah, tindakan mendera adalah satu perbuatan yang sukar untuk aku terima secara peribadi.
Aku sendiri mempunyai seorang pembantu rumah dan aku dapat membayangkan senario yang dihadapi oleh pembantu rumah yang didera kerana pembantu rumah aku yang pertama dahulu pernah berkongsi dengan isteri aku tentang kawan-kawannya yang saban hari didera. Walaupun hanya segelintir tanpa mengira bangsa dan agama, memang sukar untuk aku terima sekiranya seorang pembantu rumah dipaksa memandikan anjing (bagi yang muslim), awal pagi bangun basuh kereta, dicatu pemakanan, diberi makan atas lebihan, dikurung didalam rumah yang berkunci, dipaksa bekerja sehingga lewat malam, tidur beralaskan simen, berkerja di dua atau tiga rumah (rumah saudara-mara) dan sebagainya. Apakah jenis penyakit majikan yang memperlakukan sedemikian. Kurang waras atau gila. Adakah berbaloi gaji RM350-450 sebulan yang mereka perolehi? Patutnya diwujudkan "elaun dera" kerana seolah-olah dera sudah menjadi rencah majikan.
Pembantu rumah aku yang kedua pula sempat aku korek latar-belakangnya semasa "sesi orientasi hari pertama". Difahamkan pembantu rumah aku ini berasal daripada keluarga nelayan. Kerjanya di Sumatera sebelum ini adalah mengambil upah memilih hasil laut yang dibawa nelayan tanpa mengira masa dan juga mengambil upah membasuh kain dari rumah ke rumah. Memang penat dan tiada istilah rehat katanya. Apatah lagi untuk merasa kemodenan seperti letrik dan televisyen. Memasakpun pakai dapur kayu. Kemewahan sememangnya jauh panggang dari api. Kedatangannya ke Malaysia setelah jenuh berhempas pulas mengumpul rezeki untuk membantu keluarga dalam usia muda dan dia ingin merasa sedikit keselesaan dan kebebasan. Tiada halangan pada aku dengan alasannya asalkan dia tahu tujuan kedatangannya bekerja di Malaysia. Mendera...tiada terlintas langsung dalam kamus Kod Kehidupan aku.
Aku tidak menafikan bahawa terdapat juga pembantu rumah warga asing yang mendatangkan seribu permasalahan. Walau bagaimanapun, mendera bukanlah jalan penyelesaian. Banyak lagi cara yang lebih beretika. Bagi yang "melimpah-ruah duit", hantar saja mereka pulang ke negara asal. Setakat hendak membayar penalti RM250 kepada Imigresen bukanlah soalnya berbanding "sakit kepala" kita memelihara pembantu rumah yang bermasalah. Usah jadi seperti kes di atas. Nasi telah menjadi bubur. Bagi yang kurang mampu disegi kewangan, usahakanlah dahulu "sesi kaunseling" seperti yang pernah aku lakukan kepada pembantu rumah aku yang pertama. Gunakan skil yang ada, insyaAllah...merekapun ada "mata hati".
Pembantu rumah aku yang pertama dahulu, atas dasar kepercayaan aku bagi balik pulang bercuti ke Sumatera setelah lebih setahun berkhidmat dengan keluargaku. Pada firasat aku dalam tempoh setahun, dia tiada menunjukkan tanda-tanda yang tidak sihat walaupun pada awalnya dia mengatakan ejen menipu dia kerana ejen tidak memberitahu kena menjaga 2 orang budak (anak-anak aku). Apa nak buat...dah datang...kena teruskan sajalah dengan bibir muncung pada awal-awal bulan.
Panas jugak hati apabila memikirkan penat aku bertolak dari percutian di Genting Highland menuju ke LCCT, batang hidung dia tak muncul-muncul seperti yang dijanjikan. Sah, aku sudah dipermainkan. Bagi pulang 3 hari, terus tidak pulang-pulang. Bijak...bijak, tiada tanda-tanda dia ingin meninggalkan Malaysia. Sebahagian pakaian masih lagi tersusun di almari. Sebelum berlepas, siap berjanji dengan anak aku yang dia hanya pulang sebentar. Langsung tidak terlintas difikiran aku atas tindakannya yang "tidak berhemah" ini. Akhirnya, majikan yang "berhemah" ini tertipu..."Tipah Tertipu...Zamer Tertipu".
Pembantu rumah aku yang kedua ini pula masih "budak" lagi. Tidak pernah bekerja sebagai pembantu rumah. Letih sedikitlah nak melatih. Tunjuk saja perkakas mencuci rumah yang pelbagai sudah menggaru kepala. Tidak mengapalah, yang penting ada orang untuk membantu dan menjaga anak-anak aku. Sekurang-kurangnya kos belanja bulanan sudah tetap berbanding kos relatif menghantar anak-anak ke Pusat Jagaan. Bayaran lebih masa tidak boleh dijangkakan. Nampaknya yang baru ini boleh makan saman sebab dia "fresh" berbanding yang pertama dahulu (berpengalaman). Tetapi tidak tahulah dalam jangka masa panjang. Rambut sama hitam, hati manusia siapa yang tahu. Pengalaman mengajar aku untuk lebih berhati-hati dan aku dan isteri telah mempunyai tip-tip sebagai langkah kawalan berhemah.
Kod Mesej:
Walau apapun alasannya, usahlah kita mengambil tindakan yang akan membuatkan kita menyesal sepanjang hayat. Kita kena ingat, diwaktu kita berkerja di luar rumah secara purata 11-12 jam sehari, anak-anak dan rumah kita pula berada didalam "genggaman" pembantu rumah kita. Tidak rugi jika kita melayan pembantu rumah kita dengan baik dan beretika berbanding "kos risiko" yang akan kita hadapi kelak.
Tidak mengapa sekiranya pembantu rumah kita bertindak diluar jangkaan seperti merengek hendak pulang bercuti, malas sekali-sekala dan buat perangai tanpa provokasi. Kita harus melayan mereka sebagai manusia melebihi layanan sebagai pekerja dan majikan. Lebih baik sekiranya kita menganggap mereka sebagai salah seorang "ahli keluarga" kerana kita tahu peranan mereka "hebat" dirumah dan kebanyakan tindakan mereka dirumah "diluar kawalan" kita (sewaktu kita di pejabat).
Semoga kehidupan kita dipelihara daripada segala musibah dan bencana. Cukup gerun apabila memikirkan kes-kes jenayah yang berlaku yang melibatkan pembantu rumah warga asing. Moga dielakkan...InsyaALLAH...
Kod Perkongsian:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong
No comments:
Post a Comment