Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, June 9, 2007

Pesta "Funfair"..."Back To The Future I"

Kembali ke zaman silam...1970an...

Pesta "Funfair" datang lagi ke Pekan Sg. Besi. Penduduk Kampung Selamat riuh bercerita. Aku yang bongsu dalam keluarga Atuk & Nenek bagai ternanti-nanti suara Pakngah dan Makngah. Menanti suara ajakan mereka untuk beramai-ramai berkunjung ke pesta "Funfair" yang bukan selalu bertandang. Yehaa!!! seperti dijangka, Makngah mula merengek memujuk Pakngah ke pesta "Funfair". Peluang cerah untuk aku mengepit sama.

Selepas waktu Maghrib, bagaikan musim perayaan, aku, Pakngah, Makngah, Paklang, Paktih, Pakcik dan Kak Nora bersama-sama dengan anak muda, anak remaja dan budak-budak sekampung berduyun-duyun berjalan berpimpin tangan menyusuri jalan tar menuju pekan Sg. Besi. Suasana kelihatan begitu meriah kerana sepanjang perjalanan kami akan sentiasa bercerita, bergurau-senda dan berlumba dengan rakan sekampung untuk sampai awal ke tapak pesta. Jarak 5 batu terasa begitu dekat kerana terlampau seronok. Perasaan aku pula pada masa itu umpama "diri dijulang ke langit". Terlalu gembira. :-)

Malam itu, pekan Sg. Besi bermandikan cahaya. Riuh-rendah dengan suara dan jeritan keriangan pengunjung-pengunjung dari serata tempat. Segala apa yang ada di tapak pesta semuanya canggih dan memikat hati. Penuh debaran aku membaling gelung besi ke atas "bukitan" tabung-tabung tembikar dan segala macam bentuk hadiah yang menjadi "umpan" jika gelung besi tersangkut. Sekuat tenaga aku membaling bola ke arah tin-tin kosong minuman ringan yang disusun secara "piramid". Lemah-gemalai aku melontar bola ping-pong ke arah jaring besi dan mengharapkan bola ping-pong lolos ke dalam jaring. Pada malam itu aliran wang umpama air yang mengalir. Tidak sedar berapa $ habis kerana terlalu seronok dengan "godaan" pelbagai jenis permainan.

Kemuncak kegembiraan yang paling tidak boleh aku lupakan adalah menaiki "alat canggih" yang "memukau" pandangan iaitu "Merry Go Round". Ianya umpama "Mercu Tanda" dan kemegahan pesta "Funfair". Semua pengunjung "teruja" untuk menaiki dan merasai pengalaman berada dalam "ketinggian". Apabila pusingan terhenti seketika, akan kedengaran suara-suara jeritan bagi "bakul besi" yang berada di atas sekali. Seronok teramat sangat. :-)

Jam 12:00 tengah malam barulah aku, Pakngah, Makngah, Kak Intan, Abang Long, Paklang, Paktih, Pakcik, Kak Nora dan sebilangan penduduk sekampung melangkah kaki pulang. Jarak 5 batu terasa jauh pula. Perjalanan pulang tidak seperti perjalanan pergi. Suasana sunyi-sepi dan gelap-gelita. Hanya suluhan lampu picit menjadi panduan tapak kaki kami. Apabila melalui pokok "ketapang" besar di tepi jalan, perasaan kami mula gundah-gelana. Penduduk Kampung Selamat kebanyakannya "percaya" bahawa pokok ketapang dipinggir jalan masuk ke Kampung Selamat itu sememangnya "berpuaka". Dalam ketakutan dan kegelisahan, mataku merenung ke atas dan terpukau melihat kerlipan bintang dan awan kemulus bercahaya disebalik suluhan bulan mengambang. Cukup menawan. :-)

Kembali ke zaman kini...2007...

Cetusan perasaan dan rentetan pengalaman yang aku lalui dahulu sebenarnya tiada tolok-bandingnya. Walaupun kini masih kedengaran terdapat lagi pesta "Funfair" di lokasi atau musim tertentu tetapi pada aku "aura" pesta yang ada kini tidak sama dengan "aura" pesta "Funfair" Pekan Sg. Besi. Mengapa? Pada zaman 1970an, itulah satu-satunya alat dan saluran hiburan aku dan penduduk kampung. Kalau ada TVpun pada zaman itu hanyalah berwarnakan "Hitam-Putih". Jadi pesta "Funfair" yang penuh "bercahaya" benar-benar "dinantikan" dan mengujakan perasaan aku dan penduduk kampung.

Tambahan pula, kita kini amat mudah disuapkan dengan pelbagai bentuk, saluran dan pendekatan hiburan. Kita boleh memperolehinya "bila-bila masa dan dimana jua". Di televisyen percuma atau kabel berbayar, di Genting Highland, di Sunway Lagoon, di Desa Water Park, di Bukit Merah Lake Town Resort, di A-Farmosa, di Lost World Tambun, di Panggung Wayang, di Pusat Membeli-belah, di Petro Sains KLCC, di Komputer, di Permainan Video dan sebagainya. Terlalu banyak ruang pilihan yang membuat aku tidak lagi "teruja perasaan" seperti terujanya perasaan aku menanti pesta "funfair" Pekan Sg. Besi yang hanya bertandang "setahun sekali".

Dahulu, sementara menanti tahun hadapan dengan penuh "harapan", aku dan rakan-rakan yang "tiada pilihan" akan terus meneruskan "rutin hiburan" kami dengan golekan guli, pangkahan gasing, galah panjang, congkak, panjat pokok, tepuk terup, layang-layang, lompat getah, teng-teng, main mercun, berkebun, lumba basikal, lumba lari keliling kampung, main pondok-pondok, main "combat", mandi lombong dan sebagainya...

Ya! Benar-benar teruja...tapi apakan daya...aku kini berada di masa hadapan...dan aku hanya mampu mengimbas kenangan... :-)

Coretan Sejarah:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: