Terowong SMART gagal atasi kesesakan?
SAYA ingin bertanya apakah langkah dan tindakan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menyuraikan kesesakan yang kian kronik di jalan raya Tun Razak - Seremban.
SAYA ingin bertanya apakah langkah dan tindakan Kementerian Kerja Raya (KKR) untuk menyuraikan kesesakan yang kian kronik di jalan raya Tun Razak - Seremban.
Berdasarkan pemerhatian saya pada waktu puncak pagi dan petang, kempen terowong SMART yang ‘enak’ mengatakan akan menyuraikan kesesakan jalan raya di lokasi berkenaan pada hakikatnya adalah tidak seperti yang dicanangkan.
Berdasarkan penilaian saya yang melalui terowong SMART semasa tempoh percuma ini, kenderaan hanya lancar dengan permukaan jalan raya yang kasar semasa berada di dalam terowong (ada yang memecut melebihi 60km/jam) tetapi akhirnya akan ‘berlonggok’ di terowong keluar.
Pada waktu pagi berhampiran RHB, kesesakan makin ketara berbanding sebelum terowong SMART dibuka. Jalan telah menjadi tiga lorong dan kenderaan ‘berpusu-pusu’ keluar dari terowong, ditambah pula kesesakan biasa dua lorong yang lain dari jalan lama Sungai Besi dan dari persimpangan/bulatan Kg. Pandan (di hadapan bangunan Time).
Cukup menyesakkan minda dan perasaan. Saya dapati sistem jalan raya di sekitar kawasan berkenaan tidak selaras.
Sistem lorong sedia ada menyebabkan kenderaan ‘bertentang arus’. Yang kanan hendak ke kiri, yang kiri hendak ke kanan (di hadapan RHB). Inilah punca sebenarnya menyebabkan kesesakan.
Di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat, kesesakan makin kronik. Kenderaan empat baris berebut untuk menjadi dua baris. Baiknya, tiada kenderaan yang membunyikan hon menunjukkan masing-masing faham dan saling bertolak ansur memberikan ruang.
Saya kurang pasti alternatif apakah yang perlu kita lakukan untuk menyuraikan kesesakan lalu lintas ini.
Projek berbilion ringgit terowong SMART ternyata tidak mengurangkan kesesakan lalu-lintas melainkan boleh menyuraikan ‘banjir besar' di Kuala Lumpur seperti yang dihebahkan dan ia masih belum terbukti.
Saya percaya pihak kementerian telah banyak menerima rungutan masyarakat berkenaan perkara ini. Tulisan saya ini sekadar ‘melepaskan perasaan’ sebagai salah seorang pengguna jalan raya di Malaysia.
Semoga kementerian berkenaan mempunyai idea untuk mencari jalan penyelesaian terbaik dan saya doakan agar terowong SMART tidak menjadi ‘Tugu Pemandangan’ kepada pengguna jalan raya apabila kadar tol diumumkan kelak.
– ZAMER RIZAL OSMAN,
Puchong, Selangor.
No comments:
Post a Comment