Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Monday, June 11, 2007

Wayang Gambar Pertama..."Back To The Future I"

Kembali ke zaman silam...1975

...Hari Selasa lepas (5 Jun 2007) sempena cuti sekolah, masa terluang tengahari hingga petang aku dan keluarga bersantai dengan menonton wayang di GSC IOI Mall, Puchong. Keseronokan dan terpegunnya aku menyaksikan kecanggihan teknologi animasi semasa menonton Shrek 1 dan 2 dahulu membuatkan kami teruja untuk menonton Shrek 3 pula.

Walau bagaimanapun, bukannya Shrek 3 yang aku ingin ulas tetapi aku ingin berkongsi pengalaman "Back to the future" aku menonton "Wayang Gambar Pertama" yang secara tidak langsung mengajar aku mengenai budaya menonton filem/wayang.

Ianya berlaku pada tahun 1975 (umur berapa?...5 Tahun). Jarang aku dapat mengingat nostalgia hidup aku dalam peringkat umur seawal ini tetapi pengalaman menonton "Wayang Gambar Pertama" ini benar-benar terpateri dalam memori aku sehingga kini.

"Wayang Gambar Pertama"
yang aku tonton dan mengujakan segenap pelosok Kampung Selamat pada kala itu adalah berjudul "BUNGA PADI BERDAUN LALANG" lakonan hebat "Hussein Abu Hassan" dan "Mahyon Ismail", bersama pelakon pembantu "Tamam Idris" dan "Razali Buyong". Dalam usia 5 tahun, aku sememangnya tidak mengerti apa-apa untuk menonton filem kategori "dewasa" ini apatah lagi untuk memahami jalan cerita.

Petang itu, penduduk Kampung Selamat dikejutkan dengan perarakan "lori filem" yang mengumumkan melalui "pembesar suara" bahawa malam itu akan ada tayangan "wayang gambar" di padang terbuka Kampung Selamat. Aku kurang ingat samada tayangan ini berbayar atau tidak. Perarakan "lori filem" ini amat unik sekali. Di hadapan, di belakang dan di tepi "lori filem" ini dipenuhi dengan "poster bergambar". Budak-budak tanpa berselipar dengan girangnya akan mengekori dan mengiringi "pergerakan perlahan" lori berkenaan ke seluruh ceruk kampung sambil berteriak sama. Ianya benar-benar bagai pesta.

Malam telahpun menjelma. Bapa-bapa, ibu-ibu, anak remaja dan kanak-kanak bagaikan berpakat sama-sama "berlonggok" di padang terbuka Kampung Selamat dengan membawa tikar, surat khabar, bangku dan sebagainya bagi tujuan mencari keselesaan menonton kelak. Aku masih ingat lagi aku duduk mencangkung bersama bapa dan ibu saudaraku sambil mulut melopong dan kepala mendongak ke skrin besar. Di sekelilingku, berbagai gaya dan ragam penonton dapat dilihat. Ada yang berkain pelikat, ada yang bersinglet dan tidak kurang juga budak-budak yang riuh berkejaran ke sana dan ke mari. Apek sengau bermotosikal yang menjual aiskrimpun tumpang sekaki malam itu.

Nun di belakang sekali, "Jentera Pemutar Filem" dari "Lori Filem" ligat berputar sambil mengeluarkan bunyi yang "unik". Aku dapat melihat pancaran lampu filem ke skrin besar yang memukau penduduk Kampung Selamat untuk terus melekat di padang tanpa berganjak sedikitpun. Terpegun dengan kecanggihan.

Aku masih ingat lagi babak filem yang dahulunya tiada definasi "Censored". Babak Hussein Abu Hassan mencampakkan pakaian dalam ("seluar dalam") ke tepi katil dan...kesimpulan babak seterusnya dapat kita bayangkan tanpa perlu aku ulas disini. Banyak babak-babak yang "menghairahkan" tetapi sebagai budak-budak yang berumur 5 tahun aku tak ambil pusing. Tak mengertipun. Hanya mata saja yang membuntang tetapi tidak mempunyai apa-apa perasaan.

Kembali ke zaman kini...2007

Itulah kecanggihan teknologi filem yang aku kenali dahulu. Jika hendak dibandingkan dengan zaman sekarang, ianya terlalu banyak jurang perbezaan. Itulah namanya kemajuan dan pembangunan. "Lori Filem" merupakan salah satu "medium berkesan" Syarikat Perfileman mempromosikan filem mereka terutama bagi kawasan perkampungan. Cukup unik.

Kini, segalanya terlalu mudah dan amat pantas. Teknologi dan kreativiti semakin berkembang pesat. Penonton pula semakin bijak dan cerewet dalam membuat pilihan menonton. Seharusnya filem kita semakin maju dalam pembikinannya selaras dengan kemajuan infrastruktur yang terdapat di dalam negara kita.

Filem kita wajah kita...


Coretan Nostalgia:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: