Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, August 15, 2009

Edisi Khas 18: Dilema Selesema Babi


BUKIT MERTAJAM 15 Ogos — Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menganggarkan lima juta atau 20 peratus rakyat negara ini berisiko dijangkiti virus selesema babi atau influenza A (H1N1) jika langkah pencegahan tidak diambil secara serius oleh orang ramai.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, kajian WHO juga menjangkakan penularan wabak itu mungkin berlarutan antara enam bulan hingga setahun lagi.

“Kajian itu menyebut bahawa jika penularan virus H1N1 di sesebuah negara tidak berjaya ditangani dengan berkesan, 20 peratus penduduknya akan terdedah dengan jangkitan virus itu,” katanya kepada pemberita selepas melawat Hospital Bukit Mertajam di sini hari ini.- BERNAMA

Menulis dan merungut pasal BABI lagi. Ini kali ketiga aku menulis tentang perkataan yang cukup sakit telinga mendengar jika digunakan untuk menyumpah-seranah orang. Kali pertama dan kedua aku menulis tentang BABI adalah pada 14 dan 19 April 2008. Kini, masih lagi berkokok.

Selepas lebih setahun, masyarakat kita kembali berceloteh tentang BABI. Mungkin dahulu, kini dan selama-lamanya kita akan mengomel tentang BABI dan bukan KELDAI. Siput pula tidak semena-mena terpalit sama kerana namanya dikaitkan dengan BABI iaitu SIPUT BABI.

BABI kini adalah haiwan yang paling popular diseluruh dunia. BABI yang disahkan menjadi PERUMAH untuk MEMUTASIKAN segala jenis virus selesema sedia ada untuk melahirkan generasi virus selesema yang baru yang lebih ajaib. Peliknya virus ditakuti tetapi PERUMAH iaitu BABI masih lagi dipelihara. Jika ditembak semua BABI-BABI yang ada, bimbang pula menjadi isu agama dan perkauman. Apakah ianya perlu sebagai langkah kawalan yang bersifat revolusi? Gagal pula Gagasan 1 Malaysia. Inilah yang membuat kita terus berada di dalam dilema.

Jika hendak membangkitkan isu tentang Selesema BABI atau perkataan moleknya Virus H1N1, memang segala cabang kita boleh bicarakan. Dari aspek keagamaan sehinggalah soal kebersihan dan penyakit, segalanya boleh dikaitkan dengan BABI. BABI yang menjadi makanan utama sebahagian masyarakat dunia. Bukan sahaja dagingnya dimakan, malah dijadikan teman tidur diranjang. Aku pasti sedikit-sebanyak pendamik penyakit Selesema BABI ini telah memberikan kesan psikologi dan fobia kepada manusia yang memakan daging BABI atau apa sahaja jenama keperluan harian yang berasaskan nama BABI.

Malam ini semasa menonton Buletin TV3, menyampah pula aku mendengar komen sinis Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin apabila ditanya pendapat tentang cadangan untuk mengumumkan kepada rakyat berkenaan kawasan-kawasan panas gejala penyakit Selesema Babi. Bercakap sambil tertawa kecil memberi gambaran kepada aku bahawa beliau seakan-akan mengambil ringan soal penyakit kronik ini. Mungkin pada beliau ianya cadangan yang tidak praktikal. Ya, benar. Akupun berfikiran demikian. Sebarang keputusan ada pro dan kontranya. Cuma, janganlah memberikan komen sambil tertawa sinis. Rakyat seluruh Malaysia memerhatikan kamu wahai Timbalan Perdana Menteri. Elakkan meninggalkan persepsi negatif kepada rakyat seperti apa yang aku fikirkan sekarang.

Kenyataan Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong pula mengharukan lagi suasana. Cukup membimbangkan jika dianggarkan 5 juta penduduk Malaysia berisiko dijangkiti virus Selesema BABI. Apakah kebarangkalian aku terkena penyakit ini? Pastinya budaya hidup, aktiviti sosial dan kepadatan penduduk di setiap kawasan akan menjadi faktor utama. Virus ini pasti akan cepat tersebar dikawasan yang menjadi tumpuan orang ramai dan juga kawasan yang kependudukannya padat.

Klinik dan hospital kini bagai pusat membeli-belah. Penuh dan padat bak sardin dalam tin. Doktor-doktor di klinik swasta walaupun dalam keletihan melayan pesakit, mereka tetap tersenyum kerana poket semakin padat atas dan bawah. Adakah pemimpin-pemimpin kita prihatin terhadap rungutan rakyat terhadap kesesakan yang berlaku di pusat-pusat rawatan? Ya, bersama dalam kenyataan politik tetapi mereka dan ahli keluarga mereka tetap "rakyat emas". Jika rakyat biasa terpaksa menanti giliran untuk mendapatkan rawatan, adakah mereka juga bersama kita untuk menunggu nombor giliran muncul? Pasti tidak. Mereka pasti akan diutamakan atas nama "rakyat kelas pertama". Itulah lumrah alam yang perlu kita telan .

Setakat manakah kemampuan kita mengelak dan mencegah penyakit ini daripada terkena kita? Jika aku seorang sahaja yang mengambil langkah kawalan, ianya tidak memadai. Aku harus memastikan isteri dan anak-anak aku juga mengambil langkah yang sama. Seorang terjangkit, keberangkalian ahli keluarga juga terjangkit adalah tinggi. Inilah dilema yang harus kita harungi hari demi hari. Selagi kita bernafas menyedut oksigen percuma, keberangkalian terjangkit penyakit ini tetap tinggi. Kalau kita nampak virus ini berterbangan diudara memberikan signal, bolehlah juga kita menahan nafas sehingga virus ini berlalu.

Kerajaan hanya bijak mencanangkan agar rakyat mengambil inisiatif peribadi bagi membendung gejala penyakit ini. Sebahagiannya adalah kos tambahan kepada rakyat. Fikiran reflektif aku hanya ingin menjurus kepada rakyat kelas rendah yang hendak membeli beraspun kadangkala masih berkira-kira. Inikan pula hendak membeli topeng pakai buang, sabun pencuci tangan, tisu dan segala macam jenis peralatan pencegahan. Tambahan pula anak di rumah berderet-deret. Pasti membebankan mereka. Jika orang mewah boleh memulaukan diri mereka di rumah dengan wang tetap mengalir ke kocek, rakyat kelas menengah dan rendah tidak banyak pilihan. Mereka harus keluar bekerja dan bercampur-gaul dengan orang ramai demi sesuap nasi. Pasti merekalah yang lebih berisiko berbanding rakyat kelas mewah. Ini yang kerajaan perlu lihat. Jangan jadi seperti filem "Titanic" pula nanti. Hanya menyelamatkan penumpang-penumpang Kelas 1.

Sehingga hari ini, aku masih lagi belum memakai topeng atau "mask" apabila berada diluar rumah. Adakah aku tidak serius untuk mengambil langkah pencegahan? Entahlah. Hanya anak-anak aku sahaja yang bersungguh-sungguh mengenakan "mask". Sudah dianggap sebahagian pemakaian wajib ke sekolah. Naluri budak-budak yang seronok dengan benda-benda baru dalam kehidupan.

Bilakah pendamik dunia ini akan berakhir? Pada aku segala yang berlaku adalah PETANDA. Bukan petanda awal tetapi petanda akhir. Petanda untuk mengajar dan menghukum manusia yang kian bongkak untuk belajar daripada ketetapan Allah SWT. Inilah akibatnya!

Coretan "Hingus Meleleh" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: