Ramadhan datang lagi. Apakah perbezaan yang mampu aku lakukan pada tahun ini? Pada aku Ramadhan berkait-rapat dengan IMAN dan HATI. Ianya bukan sekadar kosmetik luaran seperti ayat yang biasa aku dengar iaitu "Puasa bukan sekadar menahan lapar dan dahaga...".
Semasa kecil-kecil dahulu, hati ini kerap terdorong untuk melakukan perbuatan yang membatalkan atau memakruhkan puasa. Sebut apa sahaja. Maklumlah jiwa, iman dan hati budak-budak. Boleh dimaafkan.
Kini, setelah umur hampir menjangkau 39 tahun, aku kadangkala terfikir apakah ASAS yang telah aku bina selama ini cukup kuat? Ramadhan bulan penilaian peribadi. Mungkin aku kuat untuk menahan lapar dan dahaga daripada awal pagi sehingga matahari terbenam. Tiada masalah kerana hari-hari biasapun aku bukannya seorang yang kuat makan. Cuma persoalannya adakah aku KUAT untuk MENAMBAH NILAI ibadah puasa aku. Inilah persoalan yang kerap bermain-main di minda aku.
Aku mahu percaya bahawa soal IMAN dan HATI adalah unik untuk setiap manusia di dunia. Ada insan terpilih yang amat cantik ibadah puasanya. Cukup ibadah wajib dan sunatnya. Malam hari diiringi bacaan ayat-ayat suci Al-Quran dan sebagainya. Cemburu pula rasanya HATI ini. Dimanakah diri aku?
Aku sentiasa berfikir mengapakah hati ini cukup LIAT untuk menambah nilai ibadah yang dilakukan. Cukup DEGIL untuk membuat perubahan atau transformasi. Apa yang tidak cukup. Pengetahuan dan kemampuan rasanya bukanlah halangan.
Semoga aku mampu melawan untuk mencipta perubahan diri. Bukan sekadar berharap tetapi harus melangkah setapak demi setapak untuk merasai NIKMAT ibadah dalam erti kata sebenarnya. Aku tetap BERSYUKUR kerana HATI ini masih terang dan lembut untuk MENYEDARI KELEMAHAN diri.
SELAMAT MENJALANI IBADAH PUASA 1430H
Kod "1430-39" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor
No comments:
Post a Comment