Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Sunday, August 23, 2009

Edisi Khas 19: Pendamik Virus D2


KUALA LUMPUR 22 Ogos – Dalam keghairahan umat Islam berbuka puasa di hotel pada bulan Ramadan ini ramai yang tidak sedar bahawa hanya 1.4 peratus daripada kira-kira 2,000 hotel di seluruh negara diiktiraf sebagai halal.

Malah seperti satu budaya, apabila tiba bulan Ramadan hotel-hotel tersebut akan berlumba-lumba menawarkan pakej berbuka puasa walaupun tidak mempunyai sijil halal untuk dapur utama mereka.

Berdasarkan statistik Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dan Persatuan Hotel Malaysia, sehingga Mei lalu, hanya 27 hotel di seluruh negara yang dapur utama mereka diiktiraf halal.

Apabila aku terbaca laporan terbaru akhbar Utusan Malaysia ini, fikiran dan hati aku terdetik persoalan "Apakah Malaysia benar-benar NEGARA ISLAM?"

Disatu sudut kita sentiasa mencanangkan bahawa kita adalah contoh negara Islam di dunia. Apa yang contohnya jika soal pokok HALAL dan HARAM masih lagi berada di persimpangan dilema. Angka 1.4% atau 27 daripada 2000 hotel seluruh negara yang disahkan mempunyai SIJIL HALAL benar-benar membimbangkan dan menakutkan aku. Aku bukanlah kerap sangat memijakkan kaki ke hotel-hotel mewah atau separuh mewah. Hanya sekali-sekala jika ada tugasan rasmi. Terfikir pula aku di dalam banyak-banyak hotel mewah yang aku singgahi, adakah HALAL makanan yang disajikan dan aku jamah selama ini?

Disatu sudut pula, aku dapat membayangkan bahawa inilah bahana kepada pemimpin-pemimpin kita yang kala ini bersikap seperti "kucing dengan anjing". Lihat sahaja di dada akhbar. Bergaduh dan berkelahi tentang isu-isu politik yang tiada titik noktah. Aku mahu berfikiran bahawa darah daging (D2) mereka telah tercemar dengan "virus" kerana secara logiknya golongan orang-orang politik inilah yang kerap menyinggahi pintu-pintu hotel untuk pelbagai aktiviti dan program samada yang sihat atau tidak sihat. Sudah pasti makanan yang dihidangkan dijamah sama. Patutlah sikap mereka tidak keruan.

Disatu sudut lain pula, aku berasa malu dengan slogan dan kempen kepimpinan yang mengagung-agungkan bahawa negara kita adalah negara Islam yang tulen. Ya benar, agama Islam adalah agama rasmi tetapi apakah PENGISIANNYA? Jika tulen, mengapakah soal asas ini masih lagi tiada jalan penyelesaian.

Aku percaya perkara ini bukanlah isu baru. Walaupun tiada laporan akhbar yang memaparkan statistik, badan-badan penguatkuasa sepatutnya boleh mengambil langkah yang lebih proaktif dan terancang. Usah dicucuk baru hendak melatah. Ditolak baru hendak bergerak.

Apakah pemimpin-pemimpin kita benar-benar berwibawa untuk mengambil langkah drastik menghalalkan semua dapur hotel-hotel diseluruh negara atau jika tidakpun meningkatkan angka 1.4% kepada 50% dalam tempoh tertentu (KPI). Peranan pemimpin manakah ini?

Memanglah mudah untuk pemimpin-pemimpin kita berkata "Jika was-was janganlah makan di hotel-hotel". Itu adalah jawapan orang pendek akal yang mengambil jalan mudah soal halal dan haram. Jika kita ada kuasa dan tanggungjawab, kita harus berperanan untuk membetulkan keadaan bukan sekadar bercakap sambil tersembur air liur merata-rata.

Wujudkan perjanjian dan garis-panduan yang lebih spesifik tentang penyediaan makanan halal di hotel-hotel. Susah benarkah? Makanan halal mementingkan KEBERSIHAN. Maka, tidak timbul soal pertembungan agama dan budaya. Semua agama dan budaya mementingkan kebersihan. Islam adalah agama SUCI yang LENGKAP tanpa ada jurang bangsa, martabat, kelas masyarakat dan sempadan dunia.

Itu baru soal makanan halal. Banyak lagi perkara-perkara ASAS yang perlu direvolusikan di hotel-hotel terutama yang bertaraf 5 dan 6 bintang. Aku cukup pantang jika masuk bilik air ruang lobi yang cukup indah dan harum mewangi tetapi kepala paip dan getah penyalur air tidak dibekalkan. Cukup haru dan panik jika membuang air kecil dan besar. Tidak mungkin aku ingin mengesat dengan tisu tandas walaupun kertas tisunya selembut sutera.

Terdapat juga hotel yang hanya menyediakan kemudahan surau yang asalnya bilik penginapan. Hotel punyalah besar dan gah bak istana tetapi surau sekangkang kera. Mengapakah rekabentuk bangunan tidak mengambil kira untuk menyediakan bilik khas yang bernama surau? Kita bukanlah mengharapkan ruang besar seumpama Bilik Seminar Utama tetapi biarlah keluasan surau berpadanan dengan jenama hotel mewah. Inilah soal asas yang pihak pentadbiran hotel (yang rata-rata diuruskan oleh bangsa asing) yang perlu pemimpin-pemimpin kita lihat.

Pada aku apa rugi dan salahnya pembinaan hotel menerapkan NILAI-NILAI KEISLAMAN. Nilai Islam bukan sekadar hiasan dinding, arca gambar berukiran dan mercu tanda di bangunan. Ianya menyentuh segenap aspek kehidupan yang sebahagian daripada kita menganggapnya remeh.

Semua norma dan budaya bangsa mampu diharmonikan dengan nilai-nilai Islam. Seperti adanya kepala paip tidak sedikitpun memudaratkan bangsa-bangsa lain yang lebih gemar menggunakan tisu tandas. Ianya umpama kemudahan tambahan atau bonus kepada mereka seperti kita orang Islam menganggap tisu tandas umpama kemudahan tambahan atau bonus kepada kita.

Sebagai rakyat biasa, aku hanya ingin berfikiran mengikut kebiasaan dan logik akal. Apa yang berlaku benar-benar memberikan mesej dan signal kepada aku tentang budaya kepimpinan di Malaysia. Cakap berdegar-degar tetapi habukpun tiada. Insaflah wahai pemimpin-pemimpin negara. Kamu bertanggungjawab tentang apa yang kamu pikul dan luahkan. Buatlah sesuatu kerana kamu ada kuasa dan autoriti.

Coretan "Sah Halal" oleh:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong, Selangor

No comments: