Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Saturday, July 28, 2007

Satu Ketika Dahulu Vol. 2..."Back To The Future I"

...Bahasa melambangkan bangsa. Bagi aku bahasa juga melambangkan "zaman". Satu ketika dahulu, perkataan-perkataan dan bahasa-bahasa dibawah amat popular dan sentiasa bermain dibibir aku dan rakan-rakan sekampung sekitar tahun 1970an dan 80an...

"Polis entri wan tujaga/together...polis mati pencuri jaga'
...dilagukan secara ramai-ramai oleh aku dan rakan-rakan dipetang hari. Sebelah kaki kami diatur secara "bulatan" dan salah seorang akan memimpin sambil menyanyi dan menyentuh kaki-kaki kami. Akhirnya, terbentuklah kumpulan "Polis" dan kumpulan "Pencuri". Seterusnya, kami akan berlari sakan, berkejaran, bergulingan, bergelimpangan dan berpelukan di atas pasir tanpa mengira lelaki atau perempuan. Emak dan bapak merenung jauh dari muka pintu dan akan menjerit suruh pulang apabila senja menjelma. Kata mereka "Setan dan mambang kuning dah mula berkeliaran". Nanti kena sampuk...

"Lat talilat...laili..tamplom"...
dilagukan apabila kami perlu membuat satu keputusan seperti menentukan kumpulan. Hanya ada dua bentuk iaitu samada telapak tangan "tertutup" atau "terbuka". Siapa yang telapak tangannya "sama" akan membentuk satu kumpulan. Ianya boleh juga dijadikan elemen menentukan "pemenang" jika ada tiga orang pesaing. Telapak tangan yang "ganjil" akan "terkeluar". Apabila tinggal dua pesaing, kebiasaannya "one...two...som" akan menentukan "pemenang"...

"One...Two...Som"...
genggaman tangan disorok disebalik belakang kepala atau belakang badan. Kami akan serentak menghulurkan genggaman tangan...Ada yang "terbuka" melambangkan "air"...ada yang menggenggam "buku lima' melambangkan "batu" ada yang "menghimpun" hujung jari berbentuk "muncung burung" melambangkan "burung". Air akan menang jika bertemu batu, tetapi akan kalah jika bertemu burung...

"Sep...sep...sep...tom...tom...tom"...
kebiasaannya lagu ini dimainkan oleh dua orang kanak-kanak perempuan...nampak sopan mereka "berlaga telapak tangan" sambil duduk bersila...

"One...two...GO!...
biasanya dilaungkan jika kami ingin berlumba lari. Macam lipas kudung dilepaskan oleh pengadil tak bertauliah. Berkaki ayam berlumba lari keliling kampung. Habis diredah halaman dan dapur rumah orang...

"Woi! Curi Ayam!..
perkataan yang biasa kedengaran apabila kami bermain bola. Tiada istilah "offside"... Aku boleh "bersidai" ditepi tiang gol lawan sambil berborak dengan penjaga gol. Bila rakan menghantar bola, aku kuis aje bagi masuk...dan GOL!!! Aku akan lari keliling padang dan bagusnya, gol ini akan dikira tanpa ada pergaduhan...

"Back To The Future"...

Kini, tiada atau jarang lagi kedengaran bahasa-bahasa dan perkataan-perkataan seumpama itu. Hanya kadangkala anak aku Amira melagukan "Sep...sep...sep...tom...tom...tom"...sambil mengajak aku bermain sama. Serupa sahaja corak permainan, pergerakan dan melodinya. Cukup "evergreen" walaupun setelah lebih 30 tahun zaman kanak-kanak aku berlalu....Indahnya!


Kembali Mengimbas:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara, Puchong

No comments: