Melodi Kehidupan


MusicPlaylistRingtones
Create a playlist at MixPod.com

Thursday, July 5, 2007

Kod Kehidupan : Kalau Sudah Menjadi TABIAT...

Senario :

...Pagi tadi topik pagi Radio ERA membawa tajuk "Alasan Anda Datang Lewat Ke Pejabat". Cukup sinonim dan begitu dekat di hati aku. Perjalanan menuju ke pejabat yang memakan masa hampir sejam terasa amat terisi. Fikiran yang kosong dan segar di awal pagi terus cergas dengan "komen dan sms hangat" pendengar ERA.

Aku "terkedu" mendengar salah seorang pemanggil yang nada suaranya begitu "ceria" menceritakan bahawa dia masih dalam perjalanan ke pejabat. Jam telah menujukkan 7:49 pagi dan dia harus berada di pejabat pada jam 8:00 pagi. Waktu itu dia masih berpuluh-puluh kilometer jauh dari pejabat. Apa nak jadi ni? Tiada perasaan "gelisah" dan "malu" langsung menceritakan "masalah disiplin" sendiri selaku kakitangan organisasi. Organisasi seperti "diperbodohkan" oleh kakitangan seumpama ini. Mungkin topik pagi ERA begitu bersantai yang membuatkannya begitu ceria. Aku boleh memahaminya jika begitu. Walau bagaimanapun, selepas mendengar kenyataan lanjut yang "memalukan" seperti kerap "meminta rakan "punch" kad kehadiran dan mencipta "sejuta alasan" yang bukan-bukan, aku mula memahami bahawa ianya bukan lagi masalah di luar kawalan tetapi ianya adalah masalah "TABIAT" dan yang lebih parah lagi kalau dah "berkudis". Memang susah hendak dibuang.

Disatu ruang pemikiran, aku mula tertanya-tanya dimanakah "nilai moral" kakitangan ini. Tidakkah mereka "rasa bersalah" kepada organisasi (tempat mencari rezeki halal), malu kepada rakan-rakan dan yang lebih penting sanggup "menipu diri sendiri". Apabila ditegur, mereka ini tidak akan makan saman, apabila ada insentif tahu pula mempertikaikan soal "keadilan". Disuruh berhenti, tahu pula merayu dan menyatakan zaman sekarang susah hendak mendapat pekerjaan. Tetapi perlakuan mereka tidak menterjemahkan konsep "Berterima Kasih" dan "Bersyukur". Pelik.

Disatu ruang pemikiran, aku mula bersetuju dengan "persepsi" aku bahawa kalau dah jadi buluh memang tidak boleh lagi dilentur...sesuai dengan peribahasa "melentur buluh biarlah daripada rebungnya". Cukup mendalam maknanya. Masalah terbinanya tabiat buruk ini bukanlah satu atau dua hari proses. Ianya telah lama bermula dan bersebati sejak bertahun-tahun lagi. Bila difikirkan perkara ini, minda aku mula teringat tabiat aku yang kadangkala suka meneliti rekod-rekod kakitangan yang bermasalah. Aku akan mengkaji "perkaitan" kakitangan dengan keputusan SRP/SPM/Diploma/Ijazah, nama sekolah/institusi, CGPA, latar-belakang keluarga dan sebagainya. Secara rawak, memang aku dapati ada perkaitan "tidak saintifik". Ada satu kes, aku dapati mereka ini pernah bersekolah di Sekolah yang terkenal dengan kenakalan murid-muridnya. Sekolah ini cukup popular. Hasilnya, anak didik sekolah ini telah menjadi kakitangan organisasi dan mendatangkan seribu permasalahan. Wow! cukup menarik.

Kod Mesej:

Betapa ceteknya kefahaman segelintir manusia. Mereka berbangga dan gembira dalam melakukan perkara yang tidak berfaedah. Tanpa rasa bersalah. Inilah masalah organisasi kala ini. Aku masih ingat lagi pengalaman perit aku 12 tahun dahulu memberi seribu alasan untuk tidak keluar minum jam 10:00 pagi apabila diajak rakan-rakan. Begitu sukar untuk mengelak. Mengapa? Ianya telah menjadi "budaya oragnisasi" untuk keluar minum pada jam 10:00 pagi dan 3:00 petang. Bos dan kakitangan sama sahaja. Aku yang "tetap prinsip" akan menjadi "kera sumbang" dan terasa "dipulaukan". Perkataan-perkataan sindiran telah menjadi lumrah seperti..."Hai, rajin kerja nampak...melintanglah tahun ni" dan sebagainya. Sebagai orang muda waktu itu, aku memang kuat untuk menepis semua itu. Budaya organisasi yang tidak sihat ini harus dicantas. Itulah kod pegangan aku yang memberikan "tenaga dalaman" yang unik.

Kod Buang Tabiat:
Zamer Rizal Osman @ ZoRrO
Bandar Kinrara

No comments: